Monday 30 January 2012

Tingkatkan kawalan keselamatan, elak kes curi bertambah

KENYATAAN MEDIA 
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

TINGKATKAN KAWALAN KESELAMATAN, ELAK KES CURI KERETA BERTAMBAH
(30 Januari 2012) 

PAS Wilayah Persekutuan melahirkan kebimbangan dengan kejadian curi kereta di negara ini dengan laporan terkini yang menyatakan sebanyak 150 buah kenderaan dicuri setiap hari. Dalam laporan tersebut juga dinyatakan bahawa terdapat 112,503 buah kereta berjaya dicuri sejak 2010 manakala kira-kira 55,041 kes pada September 2011 dan kebanyakan kenderaan baru yang dicuri seperti paduan empat roda dieksport ke negara Timur Tengah. 

Kes ini menggambarkan kepada masyarakat bahawa negara Malaysia bukan sebuah negara yang selamat untuk pemilik kenderaan terutama kereta import atau mewah. Bagi pelancong, negara ini bukan suatu destinasi selamat kerana risiko kenderaan yang mudah dicuri selain dari kadar peningkatan jenayah yang lain. Tambah membimbangkan lagi adalah penduduk kawasan sekitar Kuala Lumpur yang rata-rata penduduknya memiliki kenderaan sendiri. Kawasan padat dan trafik sesak seperti Kuala Lumpur mungkin menjadi ‘syurga’ buat penjenayah curi kereta menyebabkan pemilik kereta merasa amat khuatir mengenai tahap keselamatan kenderaan mereka. 

PAS WP meminta supaya kerajaan mengambil langkah segera dalam memastikan kejadian curi kereta dapat diatasi. Dalam hal ini, PAS WP meminta pasukan keselamatan mengetatkan kawalan keselamatan mereka terutama di kawasan kediaman penduduk di sekitar Kuala Lumpur. Kekhuatiran ini dirasai lebih lagi oleh penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana kenderaan mereka diletakkan di tempat awam yang risiko kecuriannya amat tinggi. Dalam keadaan tiada pengawal keselamatan, dan tiada pemantauan ketat, tiada jaminan kereta yang mereka letakkan di kawasan perumahan mereka tidak dicuri.

Selain itu, kompleks membeli belah, kawasan pejabat, serta kawasan parkir kereta awam adalah kawasan berpotensi besar kejadian curi kereta berlaku. Seharusnya di setiap kawasan terbabit mempunyai pengawal keselamatan atau kamera litar tertutup (CCTV) supaya setiap penghuninya merasa selamat dan terkawal. Mana-mana kawasan gelap perlu diterangi supaya boleh dilihat oleh orang ramai. Kawasan-kawasan ‘hitam’ pula perlu dibuat pemantauan ketat dengan kekerapan rondaan dilakukan. Setiap kenderaan keluar masuk di kawasan terbabit bersama pemandunya dikenalpasti supaya kejadian curi kereta tidak berlaku . 

Akhirnya, PAS WP benar-benar berharap kejadian curi kereta di negara ini dapati diatasi dengan pelbagai kaedah dan kawalan keselamatan yang dipertingkatkan. Apa yang paling dirisaukan adalah timbulnya persepsi yang negatif dari kalangan masyarakat terhadap keselamatan mereka dan harta mereka di negara ini yang semakin terdedah dengan pelbagai bahaya jenayah.

Disediakan oleh; 

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan 

Friday 27 January 2012

Jangan Gadai Tanah dan Masa Depan Peneroka Felda

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

NASIHAT BUAT KERAJAAN NEGERI : 
JANGAN GADAI TANAH DAN MASA DEPAN PENEROKA FELDA 

(27 Januari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik tindakan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Kelantan yang berkeras tidak akan menyerahkan tanah Felda milik negeri-negeri kepada Felda Global Venture (FGV) dengan tidak menandatangani perjanjian antara kerajaan negeri dengan syarikat terbabit. 

Tindakan ini penting bagi memastikan hak peneroka serta tanah milik mereka terjaga dan tidak akan tergadai begitu sahaja. Lebih dari itu, DPPM merasa bimbang dengan pendedahan Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak), saudara Mazlan Aliman bahawa Felda Holdings Berhad (Felda) akan mengalami defisit sejumlah RM1.5 billion setahun sekiranya rancangan penyenaraian Felda Global Venture Berhad (FGVH) diteruskan. Faktanya seperti yang dinyatakan oleh Sdr Mazlan Aliman bahawa, Felda pada tahun lepas, secara purata memperolehi pendapatan sekitar RM2.4 bilion setahun dengan kos perbelanjaan sejumlah RM2 bilion dimana Felda akan memperoleh lebihan pendapatan dan keuntungan sebanyak RM400 juta. 

Sebaliknya, selepas penyerahan untuk pajakan kepada FGVH, Felda hanya akan menerima purata pendapatan sekitar RM251 juta hasil pajakan tanah seluas 880,000 hektar dan 15 peratus hasil Minyak Sawit Mentah (MSM) iaitu sejumlah RM257 juta dengan kadar RM2,900 se tan. Jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM508 juta setahun akan menjadikan Felda mengalami defisit ekoran kos pengeluaran lebih tinggi daripada nilai pendapatan. 

Hakikat ini perlu disemak secara teliti oleh setiap Menteri Besar kerajaan-kerajaan negeri. Kerajaan negeri terdedah kepada risiko kerugian hasil perjanjian ini dan boleh menyebabkan peneroka akan hilang hak mereka. DPPM mensarankan sebaiknya Menteri Besar atau Ketua Menteri dapatkan khidmat nasihat pakar dan mereka yang berkelayakan sebelum memutuskan perkara sepenting ini. Lebih meyakinkan lagi sekiranya ketua-ketua kerajaan negeri dapatkan respons dahulu dari peneroka felda bagi mendapatkan persetujuan mereka kerana ia melibatkan hak mereka. 

DPPM mendesak agar kerajaan negeri mengambil langkah serupa dengan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah, Kelantan dan Selangor sekiranya kerajaan negeri benar-benar prihatin terhadap kebajikan dan masa depan tanah peneroka. Kerajaan negeri sepatutnya memikirkan langkah lain yang lebih menguntungkan peneroka daripada memikirkan keuntungan yang bakal diperolehi oleh segelintir golongan yang tamak dan berkepentingan. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

.

Thursday 26 January 2012

Jika Popular, Kenapa Najib Takut Berdebat?

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

JIKA POPULAR, KENAPA TAKUT BERDEBAT? 
(26 Januari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan cadangan diadakan perdebatan antara Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dicadangkan oleh banyak pihak. Ini menunjukkan banyak pihak sedang ternanti-nanti kedua-dua pemimpin utama negara itu bersemuka di atas satu pentas bagi melihat hujah yang dikemukakan oleh pemimpin tersebut. 

Bagi DPPM, debat adalah suatu dimensi politik baru yang perlu diterokai oleh kedua-dua pemimpin negara ini. Jika selama ini, rakyat terbelenggu dengan hanya maklumat dari sebelah pihak sahaja. Dengan cengkaman media yang berat sebelah, ditambah pula dengan propaganda yang memburukkan imej pemimpin pembangkang di negara ini sejak sekian lama, wacana debat adalah perlu bagi menilai pandangan kedua-dua tokoh terbabit. 

Dengan suasana sudah berubah, rakyat sudah semakin terbuka dan bijak dalam menilai sesuatu maklumat yang diterima. Rakyat memerlukan suatu saluran bagi mendapatkan suatu informasi berharga bagi menajamkan pemerhatian mereka terhadap politik negara dan debat terbuka adalah langkah terbaik untuk semua. 

Tambahan pula, populariti Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan semakin baik dan mengalahkan populairiti Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dinyatakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Dengan populariti yang baik dan meningkat naik, tidak wajar Datuk Seri Najib melepaskan peluang ini untuk menerima pelawaan debat yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia. Mungkin debat yang bakal dianjurkan ini pula bakal menjadi suatu peristiwa bersejarah kerana pemimpin negara berjiwa besar sanggup duduk semeja dan berhujah dengan Ketua Pembangkang. 

Oleh itu, Datuk Seri Najib tidak perlu risau dan gentar bagi menghadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pentas perdebatan. Yang diadili bukan siapa menang atau kalah, yang penting siapa yang benar dan siapa yang salah. Jika Datuk Seri Najib di pihak yang benar, apa yang perlu ditakutkan? 

Apa yang DPPM harapkan, wacana politik yang bakal dianjurkan nanti perlu dibuat secara terbuka dan jika dapat, disiarkan secara langsung supaya setiap rakyat boleh melihat hujah perdebatan tersebut. Perdebatan ini pastinya penting sebagai usaha bagi membangunkan negara dan masa depan rakyat di negara ini. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

.

'GERAM' : Platform Anak Muda Melakukan Perubahan

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN TITIWANGSA 

‘GERAM’: PLATFORM ANAK MUDA MELAKUKAN PERUBAHAN
(26 Januari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) akan melancarkan Gerakan Anak Muda (GERAM) Kuala Lumpur bagi menerajui kebangkitan anak-anak muda khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan. Majlis Pelancaran GERAM akan diadakan pada 28 Januari 2012, bermula jam 8.0 malam bertempat di Darul Ummah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan akan disempurnakan oleh Sdr Kamaruzaman Mohamad, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Dijangka seramai 150 anak-anak muda sekitar Kuala Lumpur akan hadir pada majlis tersebut.

Sesuai dengan namanya, GERAM adalah platform bagi anak muda melepaskan amarah dan amukan mereka melihat segala kebobrokan dan keabsahan yang berlaku dalam negara ini. Anak Muda pastinya GERAM melihat telatah pemimpin negara yang meratah harta rakyat demi kepentingan diri mereka sendiri. Isu penyelewengan wang zakat, penyelewengan kuasa dalam isu skandal Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC), kelulusan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang mengenepikan hak penduduk, rampasan tanah-tanah orang Melayu di Kuala Lumpur, Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Akta Pekerja dan lain-lain adalah episod kemarahan anak muda terhadap pemerintah. 

Selain itu, kadar pengangguran yang meningkat, kos sara hidup yang bertambah serta kadar jenayah terutama di ibu kota yang bertambah semakin menaikkan suhu kemarahan anak-anak muda. Anak Muda merasa GERAM kerana selama berpuluh tahun negara merdeka, dan dengan limpahan kekayaan harta negara, kehidupan rakyat di ibu kota masih tidak berubah. Masih ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan, gagal memiliki rumah sendiri, keselamatan mereka dan keluarga sentiasa terancam, serta pendapatan yang jauh dari kemampuan sebenar mereka. Kebanyakan anak muda merasa hampa kerana pemerintah yang mereka letakkan harapan untuk membela mereka gagal membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat yang semakin terbelenggu dengan faktor kemiskinan bandar. 

GERAM adalah landasan terbaik mengumpulkan anak-anak muda bagi menyatakan noktah terakhir kepada UMNO-BN dalam PRU ke 13. Bermula dari titik itu, GERAM akan terus meluncur laju sesuai dengan kehendak anak-anak muda. Taqwim aktiviti disajikan sebagai menarik anak-anak muda menyertai GERAM. Antaranya Hi Tea Anak-anak Muda PPR Jelatek bersama artis terkenal serta Pimpinan PAS Pusat pada 19 Februari 2012, Santai Anak Muda dan BBQ di Desa Pandan pada 24 Februari 2012, ‘Lunch Hour’ Anak Muda Alam Shah pada 25 Februari 2012 di kawasan sekitar Masjid Alam Shah, Konvoi dan Rehlah Anak Muda Kampung Baru di Sungai Sendat pada 4 Mac 2012, serta Pertandingan Futsal Inter Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Titiwangsa pada 25 Mac 2012. Kemuncak daripada ini adalah Program Talk Show yang akan menampilkan Ustaz Azhar Idrus bersama artis terkenal tanahair yang akan diumumkan tarikhnya kelak.

GERAM bertekad mahu membina sebuah lanskap baru politik Malaysia yang bersih dan bebas dari penyelewengan dan mengangkat pemimpin yang cakna kebajikan rakyat terutama anak-anak muda. Anak Muda wajib berubah, demi selamatkan Malaysia! 

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa 


.

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek Ketinggalan Zaman

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

DATUK SERI DR CHUA SOI LEK KETINGGALAN ZAMAN 
(25 Januari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa sokongan kepada DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa adalah suatu kenyataan provokasi dan penuh sentimen kebencian terhadap PAS. 

DPPM merasakan Datuk Seri Dr Chua cuba menanamkan sikap prejudis antara kaum supaya timbul perasaan tidak senang komuniti Tionghua terhadap PAS. Sedangkan rakyat umumnya mahukan kesejahteraan, keadilan dan kemakmuran di dalam sistem politik baru yang sedang dibawa oleh Pakatan Rakyat lebih dari sentimen politik sempit perkauman. Kenyataan Datuk Seri Dr Chua sebenarnya adalah kenyataan lapuk yang telah ditolak oleh masyarakat yang peka dan arif dengan perkembangan politik negara. Datuk Seri Dr Chua kelihatan seperti ketinggalan zaman dengan kenyataan-kenyataan ‘usang’ yang cuba diolah kembali bagi ‘menghidupkan’ kembali politik beliau yang telah dilupakan orang. 

DPPM menegaskan, PAS adalah sebuah Parti Islam di Malaysia yang bercita-cita mahu menegakkan sebuah negara dan pemerintahan berlandaskan Islam. Semua rakyat mengetahui hala tuju dan matlamat PAS sejak ia ditubuhkan. PAS tidak pernah menyembunyikan identitinya bahkan ia dihebahkan kepada umum. Islam adalah agama rahmat untuk sekalian manusia. Ia membawa cahaya kebenaran, keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada semua kaum. Islam tidak pernah menyekat kebebasan kaum lain untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing. Malah, tidak pernah dalam sejarah ketamadunan, pemerintahan Islam melakukan kezaliman kepada bangsa atau agama yang lain. 

Di samping itu, PAS bersama Pakatan Rakyat tetap komited memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme, kezaliman, penyelewengan, penindasan serta sikap rasis sesetengah pihak. Pakatan Rakyat bertekad mahu membebaskan rakyat dari belenggu rejim korup UMNO-BN yang sedang menanti rebah. Adakah ini yang sangat ditakuti oleh pemimpin seperti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek? 

DPPM amat yakin, sekiranya semua kaum mengerti matlamat perjuangan PAS, mereka tidak akan membantah, malah akan terus memberikan sokongan kepada PAS. Oleh kerana itu, PAS memiliki Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang terus memberikan sokongan meskipun mereka tahu PAS meletakkan perjuangan Islam sebagai matlamatnya. 

Justeru, DPPM menasihatkan Datuk Seri Dr Chua agar bermain politik secara bijak dan matang. Rakyat mahu melihat apakah hasil dari perjuangan yang telah diusahakan oleh beliau dan partinya, bukan hanya berkokok tidak tentu pasal. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia

.

Wednesday 25 January 2012

Tingkatkan Keselamatan Elak Kejadian Culik dan Tawan Berulang

KENYATAAN MEDIA 
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN 
 
TINGKATKAN KESELAMATAN ELAK KEJADIAN CULIK DAN TAWAN BERULANG 
(25 Januari 2012) 

PAS Wilayah Persekutuan melahirkan rasa simpati di atas kejadian culik dan tawan selama enam jam terhadap Fifi Ramadhani Safruddin, kanak-kanak berusia 10 tahun di Kampung Baru kelmarin. PAS WP merasa terkejut kerana insiden tersebut yang biasanya berlaku di negara-negara barat atau di dalam filem benar-benar berlaku di Kuala Lumpur dan di negara ini. PAS WP juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) kerana bertindak cepat bagi menggagalkan usaha ini sehingga berjaya menangkap penjenayah terbabit. Sudah tentu, usaha ini tidak akan berlaku sekiranya tiada sokongan dan bantuan penduduk tempatan yang turut bertindak dalam insiden baru-baru ini. 

Dengan kejadian ini, PAS WP merasa bimbang dengan kadar jenayah yang berlaku di negara ini. Kadar jenayah bukan semakin menurun, malah semakin bertambah dari tahun ke tahun, dan ianya berlaku secara amat tragis dan di luar perikemanusiaan. Jenayah pembunuhan, rogol, samun, pecah rumah, culik, ragut dan sebagainya sudah menjadi berita lumrah kepada masyarakat. Seolah-olah segelintir masyarakat yang terlibat dengan jenayah tidak merasa gentar atau takut dengan pelaksanaan undang-undang sedia ada. 

Justeru, PAS WP mengharapkan PDRM meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan terbabit dan kawasan sekitar supaya kejadian yang sama tidak berulang. Kawasan kediaman seperti Kampung Baru amat terdedah dengan bahaya jenayah memandangkan ianya terletak di pusat bandar Kuala Lumpur dan orang awam mudah akses dengan kawasan tersebut sebagai laluan penting di bandaraya ini. 

PAS WP juga menasihatkan supaya penduduk setempat mengadakan kawalan keselamatan di rumah mereka dan di kawasan kediaman mereka. Pintu rumah tidak harus dibiarkan terbuka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Rumah perlu dikunci setiap kali penghuni mahu meninggalkan rumah dan memesan kepada jiran tetangga supaya memerhatikan keselamatan rumah mereka. Selain itu, rondaan keselamatan oleh penduduk setempat adalah amat perlu terutama di waktu malam. Ini menunjukkan kebersamaan penduduk kampung dalam menangani isu keselamatan. 

Akhirnya, PAS WP mendoakan semoga keluarga mangsa bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian yang berlaku dan semoga mereka lebih berhati-hati di masa akan datang. 

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan 
PAS Wilayah Persekutuan 

.

Tuesday 24 January 2012

Nik Aziz Sedia Isytihar Harta, PM Bagaimana?

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

YAB TUAN GURU NIK AZIZ SEDIA ISYTIHAR HARTA, PM MACAMANA?
(23 Januari 2012)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Menteri besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana kesediaan beliau untuk mengisytiharkan harta beliau sekiranya undang-undang menetapkan demikian. DPPM menganggap kenyataan YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menunjukkan sikap keterbukaan dan ketelusan pemimpin PAS sebagaimana juga yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng da anggota Exconya yang telah mengisytiharkan harta mereka.

Kesediaan mengisytiharkan harta menunjukkan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat sanggup meletakkan keutamaan rakyat melebihi kepentingan diri mereka sendiri. Malah pemimpin PAS sanggup ‘membahayakan’ dirinya sendiri dengan menafikan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang mengelak untuk mengisytiharkan harta mereka kerana takutkan ‘bahaya’ yang menimpa mereka. DPPM berpendapat, rakyat berhak mengetahui aset pemimpin mereka supaya mereka mengerti bahawa pemimpin yang diangkat benar-benar ikhlas memperjuangkan rakyat, bukan diri mereka sendiri.

Mengisytiharkan harta boleh mengelakkan berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah dari kalangan pemimpin negara. Tidak timbul isu pemimpin ‘bershopping’ secara bermewah dan melampau dalam berbelanja. Juga tidak akan berlaku pemimpin korup yang mengambil kesempatan di atas kedudukan dan kuasa yang mereka miliki.

Malahan, DPPM serta seluruh rakyat khususnya penduduk negeri Kelantan boleh berbangga dengan cara hidup berserdehana YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Meskipun telah memerintah negeri Kelantan lebih dari 20 tahun, namun gaya hidup pemimpin itu tidak menggambarkan beliau seorang yang rakus dalam membaham harta rakyat. Beliau masih duduk di rumah sendiri, makan di kedai-kedai seperti insan yang lain, solat berjemaah di masjid-masjid tanpa kawalan ketat pengawal peribadinya, rumahnya yang mudah dikunjungi tanpa protokol, mengelak mengambil pelbagai elaun yang diberikan, berkunjung ke pasar-pasar tanpa kekok.

Tambahan lagi YAB Tuan Guru dan keluarganya tidak pernah dilaporkan berbelanja mewah di luar negara, tidur di hotel-hotel ternama yang mahal, serta menaiki jet peribadi atau kenderaan import yang berharga jutaan ringgit. Lebih membanggakan apabila pemimpin kerajaan beliau selama ini tidak pernah dipalitkan dengan apa juga kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

DPPM dengan ini mencabar Perdana Menteri dan seluruh pemimpin kabinet untuk bersedia mengisytiharkan harta mereka kepada awam sekiranya benar mereka adalah pemimpin rakyat dan bersih dari sebarang penyelewengan. Tidak apa yang perlu dirisaukan sekiranya mereka tidak bersalah bahkan tindakan ini adalah suatu kebanggaan kepada seluruh rakyat di negara ini.

Disediakan oleh


RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Sunday 22 January 2012

Rakyat Diminta Berjimat Untuk Tampung Keborosan Rosmah?


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

RAKYAT DISURUH BERJIMAT; PM DAN ISTERI BELANJA TIADA HAD!

(23 Januari 2012)


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kecewa kerana Perdana Menteri (PM), Datuk seri Najib Tun Razak gagal mengawal tingkah laku isterinya dari berbelanja mewah sehingga sanggup berboros beratus ribu ringgit hanya untuk ‘bershopping’ di luar negara. Dalam laporan Akhbar Australia Sydney Morning Herald beberapa hari lalu melaporkan isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor membelanjakan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney dua minggu lalu. Malahan Rosmah dan Najib semasa cuti tersebut, menginap di penthouse A$20,000 (RM65,100) semalam di Hotel Darling.

DPPM menyifatkan laporan akhbar tersebut mendedahkan siapa sebenar wajah Datuk Seri Najib dan isterinya. Dalam keadaan Perdana Menteri mahu menggunakan pendekatan wasatiyyah (berserdehana) dan mengajak rakyat berjimat cermat, beliau dan isterinya pula berbelanja jauh di luar kemampuan. Apakah ini pendekatan wasatiyyah sebenarnya pada persepsi Najib. Ternyata pendekatan Najib yang turun bertemu dengan rakyat di kampung-kampung, makan nasi di restoran, naik pengangkutan awam adalah retorik semata-mata, kerana sememangnya beliau dan keluarganya hidup dalam keadaan mewah. Turun menjenguk rakyat adalah suatu sikap hopikrit yang cuba disembunyikan dari pengetahuan rakyat, hakikatnya mereka tidak sedikitpun kisah dengan penderitaan rakyat.

Dalam hal ini, DPPM menyokong saranan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara telus mengenai laporan ini. Belanja sebanyak RM325,000 serta bermalam di sebuah penthouse sebanyak RM 65,100 untuk semalaman merupakan suatu perbelanjaan yang melampau. SPRM perlu siasat dari manakah sumber kewangan mereka dan adakah kerajaan memperuntukkan sebanyak itu atau lebih lagi kepada pemimpin utama negara? DPPM tidak mahu SPRM menutup mata dan fail hanya semata-mata ianya melibatkan pemimpin tertinggi negara.

DPPM meyakini sekiranya seluruh rakyat mengetahui nafsu sebenar berbelanja Najib dan isterinya, sudah tentu mereka merasa terkilan kerana Perdana Menteri tidak menjadikan diri dan keluarganya sebagai role model yang boleh dicontohi oleh semua. Ternyata slogan wassatiyyah dan saranan berjimat cermat ditujukan hanya untuk rakyat, bukan untuk dirinya.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

.

Saturday 21 January 2012

Pemuda Pas WP : PM Jangan Tabur Janji Kosong

KENYATAAN MEDIA
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

LAWATAN PM KE WP KL : HARAP TIADA LAGI JANJI KOSONG UNTUK RAKYAT

(20 Januari 2012)

PAS Wilayah Persekutuan berharap lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kali ini dapat memberi manfaat kepada warga Kuala Lumpur dalam memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti hidup di ibu kota ini. Ini kerana warga Kuala Lumpur amat mengharapkan pelbagai kemudahan dan insentif dapat dinikmati oleh mereka serta segala permasalahan mereka dapat diselesaikan dengan baik. Sebaliknya warga Kuala Lumpur tidak mahu lawatan PM sekadar memenuhi jadual politik dan memberi janji kosong yang penuh retorik sahaja.

PM seharusnya menggunakan kesempatan lawatan ini untuk menjenguk rakyat serta berkongsi kesusahan dengan mereka. Rumah-rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu dilawati dan melihat sendiri bagaimana suasana kehidupan masyarakat golongan berpendapatan rendah. Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas adalah penghuni setia PPR yang dambakan perhatian dan bantuan. PM sebaiknya lihat sendiri tahap kebersihan PPR dan kesukaran parkir di kawasan tersebut, merasai sendiri kesesakan lalulintas di jalan utama ibu kota, bersesak dengan orang ramai dalam kenderaan awam, serta turun ke pasar dan melihat sendiri kehidupan rakyat ala kadarnya. Dari sudut lain, PM perlu turun sama mendengar cetusan hati para peniaga di sekitar Chow Kit, pemandu-pemandu bas dan teksi di ibu kota, serta golongan lain yang turut berkongsi sama mencari rezeki di tengah ibu kota Kuala Lumpur ini.

Selain itu, penduduk dan pemilik Kampung Baru mungkin ternanti-nanti adakah siri lawatan PM singgah bertemu dengan penduduk di situ. Jika Menteri Besar Selangor sanggup turun dan bersemuka dengan rakyat dengan usaha membantu penduduk, apakah PM pula berani mendengar pertikaian penduduk Kampung Baru terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang diluluskan oleh kabinetnya. Apakah PM sanggup membaca sendiri sepanduk dan kain rentang yang membantah tindakan kerajaan meluluskan RUU tersebut.

PAS WP berharap lawatan kerja PM ke Kuala Lumpur dapat menginsafkan beliau betapa kehidupan sebahagian warga KL tertinggal jauh dari arus kemodenan dan memisahkan jauh antara mereka dengan golongan berada. Mungkinlah lawatan ini menjadikan PM lebih prihatin dengan masalah rakyat disamping bertegas untuk membanteras segala penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang sedang membarah di dalam parti dan pemimpin kanannya seperti yang didakwa ramai hari ini. PM perlu jadikan lawatan ini untuk mengajar beliau supaya melantik pemimpin-pemimpin bawahannya yang benar-benar membela rakyat dan mengerti kesusahan mereka, bukan mengkayakan diri mereka sendiri.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan

.

Isytihar Harta : Pemuda Pas bidas kenyataan helah Nazri Aziz

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

ISYTIHAR ASET : TAKUT MASA DEPAN MENTERI DALAM BAHAYA?

(19 Januari 2012)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang menolak cadangan supaya harta dan aset menteri dan ahli keluarga terdekat diisytiharkan dengan alasan tidak patut dilakukan kerana boleh membahayakan mereka.

DPPM musykil dengan kenyataan ‘bahaya’ seperti yang dilontarkan oleh Datuk Seri Nazri. Apakah yang dimaksudkan dengan bahaya itu? Adakah ia bahaya terhadap keselamatan harta dan keluarga menteri tersebut atau bahaya pada masa depan mereka jika diketahui aset mereka yang bernilai jutaan ringgit itu? Umum mengetahui pemimpin negara mempunyai kawalan keselamatan yang ketat dan amat sukar bagi penjenayah mengambil kesempatan terhadap pemimpin negara sekiranya aset mereka diketahui ramai. Mungkin Datuk Seri Nazri Aziz bimbang sekiranya aset pemimpin negara didedahkan, lebih ramai menteri kabinet tidak mempunyai masa depan yang cerah kerana ditolak oleh pengundi.

DPPM menganggap kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz itu sebagai alasan remeh dan amat dangkal. Ia adalah suatu helah supaya aset pemimpin negara tidak diisyiharkan kepada umum seolah-olah beliau mahu menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum. Adakah Datuk Seri Nazri Aziz mahu melindungi ‘pekung’ atau keburukan pemimpin negara supaya tidak dapat dihidu dan dilihat rakyat? Mungkin jika diketahui aset mereka ini, lebih banyak lagi skandal akan dibongkar oleh rakyat menyebabkan ramai pemimpin-pemimpin negara bakal tersungkur.

DPPM menegaskan, dengan pengisytiharan harta, rakyat dapat melihat dan mengakses maklumat mengenai aset pemimpin-pemimpin negara. Ini dapat membuktikan bahawa pemimpin tersebut benar-benar ikhlas berkhidmat untuk rakyat, tanpa mengambil kesempatan di atas jawatan dan pengaruhnya untuk mengaut sebanyak mana harta demi kepentingan dirinya sendiri. Ia juga membuktikan pemimpin tersebut benar-benar bersih dari sebarang penyelewengan, penipuan atau skandal. Selama ini, seringkali pemimpin negara dipalitkan dengan rasuah dan penyelewengan kuasa. Bahkan ada antara mereka yang telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman.

DPPM mencabar Datuk Seri Nazri Aziz supaya melaksanakan syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) agar aset menteri kabinet dan pasangan mereka didedahkan untuk pengetahuan umum. Sekiranya menteri-menteri kabinet benar-benar bersih dari sebarang penyelewengan, tidak ada apa yang perlu dilindungi dan ditakutkan.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

.

Buka Keanggotaan MAS Suatu Langkah Positif

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN TITIWANGSA

MEMBUKA KEANGGOTAAN M.A.S SUATU LANGKAH POSITIF

(19 Januari 2012)


Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) menyambut baik usaha Menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk melakukan penambahbaikan terhadap Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Kampung Baru bagi menjaga kepentingan penduduk tersebut. Antara usaha beliau seperti yang diumumkannya adalah dengan membuka keanggotaan MAS kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional supaya ia lebih berkesan dalam memastikan kepentingan pemilik tanah dapat dipertahan.

DPPKT menganggap keputusan Menteri Besar Selangor itu amat baik dan berpetapatan pada masanya. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat amat prihatin terhadap nasib rakyatnya yang jauh mendahului kerajaan UMNO-BN. Menteri Besar Selangor membuktikan bahawa Kampung Baru tidak tertinggal dalam agenda pembangunan negeri Selangor malah ianya masih menjadi perhatian utama negeri tersebut sehingga beliau sendiri turun menjenguk dan berdialog dengan rakyat semalam.

Keanggotaan MAS dibuka kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional amat baik supaya peranan MAS benar-benar dapat digerakkan oleh mereka yang berkelayakan serta berniat untuk menjaga kepentingan penduduk. MAS perlu memainkan peranan yang penting selaku organisasi perantara antara pihak kerajaan dengan suara penduduk. MAS perlu menyampaikan suara penduduk kepada pihak kerajaan disamping sebagai pemudah cara antara pihak berkuasa dengan penduduk.

Selain itu, keberadaan MAS sebagai badan pendesak bagi memastikan kepentingan penduduk terpelihara. DPPKT tidak mahu tragedi Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang diluluskan di Parlimen dan Dewan Negara tempohari dengan mudah tanpa campurtangan dan bantahan oleh MAS.

DPPKT mengharapkan, meskipun keanggotaan ini dibuka kepada pelbagai kelompok masyarakat dan profesional, ianya dikawal dan dihadkan hanya kepada pemilik serta pewaris Kampung Baru sahaja dan bukan untuk mereka yang lain selain dari warga itu. Ahli Jawatankuasa MAS pula dipilih dari suara majoriti pemilik tanah Kampung Baru tanpa adanya campurtangan dari mana-mana pihak. DPPKT menaruh harapan agar Mas benar-benar bebas daripada campurtangan pihak luar supaya tiada ‘tangan hitam’ yang menggerakkan organisasi tersebut.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa

.

Pas WP Sokong Isytihar Harta Menteri

KENYATAAN MEDIA
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

ISYTIHARKAN ASET MENTERI KABINET KEPADA UMUM

(18 Januari 2012)

PAS Wilayah Persekutuan menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan mewajibkan ahli keluarga dan pasangan menteri kabinet unuk mengisytiharkan harta dan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PAS WP melihat tindakan ini merupakan suatu permulaan yang baik bagi memastikan integriti dalam pentadbiran kerajaan. Usaha ini boleh mengelakkan berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah dari kalangan pemimpin-pemimpin negara. Ia juga bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dalam keadaan baik, bersih dan telus.

Selama ini pemimpin negara sering menjadi bahan cemuhan masyarakat sama ada di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa kerana mempunyai reputasi yang tidak baik. Ada kalangan pemimpin negara yang berstatus menteri mempunyai aset dan harta yang mencecah puluhan juta ringgit. Ada di antara pemimpin negara yang dilaporkan memiliki rumah di dalam dan di luar negara yang bernilai berjuta ringgit, jauh daripada pendapatan mereka. Selainnya, ada yang mempunyai perhiasan mewah, kenderaan-kenderaan mewah, syarikat-syarikat atau kepentingan dalam syarikat, saham serta pelbagai aset yang amat tinggi nilainya. Sehingga ada pemimpin negara yang dipalitkan dengan pelbagai kes rasuah serta penyelewengan kuasa dan dihadapkan ke mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman.



PAS WP juga mengesyorkan supaya aset pemimpin negara dan pasangannya diisytiharkan juga kepada umum supaya masyarakat boleh akses dan melihat dengan sendiri maklumat tersebut. Ia bagi memberi kepercayaan kepada masyarakat bahawa menteri kabinet benar-benar telus dan bersih dari sebarang skandal yang mengaibkan mereka. Lebih dari itu, rakyat meyakini bahawa SPRM benar-benar berusaha memastikan pemimpin-pemimpin negara bersih dari sebarang penyelewengan dan tiada maklumat mengenai aset pemimpin negara yang diselindungkan daripada pengetahuan masyarakat.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan 

.

Wednesday 18 January 2012

Jom Makan Durian bersama penduduk Flat Sungai Baru

Semua penduduk tempatan dijemput hadir.



.
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

SISTEM PILIHANRAYA DI MALAYSIA PERLU REFORMASI MENYELURUH
(18 Januari 2012)


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kenyataan Tan Sri Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir bahawa Barisan Nasional (BN) membeli undi dengan wang tunai dalam kempen pilihanraya umum dengan taktik yang dikenali sebagai ‘bom’ bagi memenangkan mereka dalam pilihanraya.

Bagi DPPM, dakwaan ini amat berat kerana melibatkan penyelewengan kuasa dan rasuah yang melibatkan UMNO dan Barisan Nasional. Tambahan pula dakwaan ini dilontarkan oleh bekas Menteri Kabinet dan merupakan bekas pemimpin UMNO. Pengakuan beliau berdasarkan kepada pengalaman beliau semasa menjadi anggota Kabinet dan beliau mendakwa melihat sendiri aktiviti pembelian undi dilakukan.

Dakwaan Tan Sri Datuk Abdul Kadir membenarkan telahan ramai bahawa selama ini BN sememangnya menggunakan wang tunai untuk membeli undi setiap kali pilihanraya. Oleh kerana itu, tidak salahlah keraguan yang timbul dalam fikiran rakyat terhadap perjalanan pilihanraya di negara ini yang berlangsung dalam suasana tidak sihat selama ini.

Justeru, DPPM mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat termasuk pemimpin tertinggi yang mengarahkan operasi ini dilakukan. SPRM perlu menyiasat dan membongkar penyelewengan ini supaya rakyat mengetahui bahawa siapa yang mengikut arus demokrasi yang tulen dan siapa pula yang berbohong kepada rakyat melalui pilihanraya. Rakyat juga ingin mengetahui sejak bilakah aktiviti ini dilakukan dan berapakah jumlah dana yang diperuntukkan oleh UMNO-BN bagi aktiviti haram ini.

Dengan demikian, DPPM merasakan sewajarnya juga himpunan Bersih 3 digerakkan sekiranya semua tuntutan Bersih 2 termasuk syor dan cadangan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen (PSC) tidak dilaksanakan. Hanya dengan reformasi menyeluruh akan memastikan perjalanan pilihanraya di negara ini berlangsung dengan bersih, adil dan telus. DPPM melihat tidak ada gunanya penyertaan Pakatan Rakyat dalam setiap kali pilihanraya sekiranya reformasi tidak dilakukan kerana ia sekadar mengulangi episod penipuan seperti yang berlaku sebelum ini. Akhirnya, DPPM juga percaya tidak ada sesiapa pun rakyat di negara ini rela dengan sistem pilihanraya yang kotor, busuk dan jahat seperti yang ada sekarang ini.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

DPPWP sokong Menteri, keluarga isytihar harta

KENYATAAN MEDIA
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

ISYTIHARKAN ASET MENTERI KABINET KEPADA UMUM
(18 Januari 2012)


PAS Wilayah Persekutuan menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan mewajibkan ahli keluarga dan pasangan menteri kabinet unuk mengisytiharkan harta dan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PAS WP melihat tindakan ini merupakan suatu permulaan yang baik bagi memastikan integriti dalam pentadbiran kerajaan. Usaha ini boleh mengelakkan berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah dari kalangan pemimpin-pemimpin negara. Ia juga bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dalam keadaan baik, bersih dan telus.

Selama ini pemimpin negara sering menjadi bahan cemuhan masyarakat sama ada di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa kerana mempunyai reputasi yang tidak baik. Ada kalangan pemimpin negara yang berstatus menteri mempunyai aset dan harta yang mencecah puluhan juta ringgit. Ada di antara pemimpin negara yang dilaporkan memiliki rumah di dalam dan di luar negara yang bernilai berjuta ringgit, jauh daripada pendapatan mereka. Selainnya, ada yang mempunyai perhiasan mewah, kenderaan-kenderaan mewah, syarikat-syarikat atau kepentingan dalam syarikat, saham serta pelbagai aset yang amat tinggi nilainya. Sehingga ada pemimpin negara yang dipalitkan dengan pelbagai kes rasuah serta penyelewengan kuasa dan dihadapkan ke mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman.

PAS WP juga mengesyorkan supaya aset pemimpin negara dan pasangannya diisytiharkan juga kepada umum supaya masyarakat boleh akses dan melihat dengan sendiri maklumat tersebut. Ia bagi memberi kepercayaan kepada masyarakat bahawa menteri kabinet benar-benar telus dan bersih dari sebarang skandal yang mengaibkan mereka. Lebih dari itu, rakyat meyakini bahawa SPRM benar-benar berusaha memastikan pemimpin-pemimpin negara bersih dari sebarang penyelewengan dan tiada maklumat mengenai aset pemimpin negara yang diselindungkan daripada pengetahuan masyarakat.

Disediakan oleh,

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan
KENYATAAN MEDIA

PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

TAHNIAH PELANTIKAN DR AHMAD YUNUS SEBAGAI EXCO KERAJAAN SELANGOR

(18 Januari 2012)


PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah di atas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco kerajaan negeri Selangor yang baru berkuatkuasa hari ini.

Pemilihan Dr Ahmad Yunus oleh kepemimpinan PAS Pusat amat tepat pada masanya dan beliau seorang yang berkelayakan untuk menduduki jawatan tersebut. Dengan latarbelakang beliau sebagai seorang profesional, Dr Ahmad Yunus sememangnya tokoh paling sesuai untuk mewakili PAS Selangor sebagai Exco kerajaan negeri Selangor.

PAS WP mengharapkan semoga Dr Ahmad Yunus memainkan peranan penting dalam menggerakkan portfolio yang dipegang beliau iaitu Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan dan memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan ini mampu dilaksanakan sebaik mungkin. PAS WP juga meyakini seluruh ahli dan pendokong PAS khususnya di negeri Selangor menyokong pemilihan beliau dan akan memberikan sumbangan bagi membantu beliau melaksanakan amanah yang diberikan ini.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekeutuan 

.

Tuesday 17 January 2012

DPPWP Sokong Perlantikan Pak Samad

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

PELANTIKAN PAK SAMAD SEBAGAI PENGERUSI BERSIH TEPAT MASANYA
(17 Januari 2012)


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan pelantikan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said sebagai Pengerusi Bersama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2) seperti yang diumumkan hari ini.

Bagi DPPM, pelantikan Pak Samad tepat pada masanya memandangkan beliau merupakan seorang tokoh yang selalu ke depan bagi memperjuangkan isu-isu rakyat. Malah Pak Samad adalah antara tokoh negarawan yang berani dan bersuara lantang dalam memperjuangkan keadilan tanpa mempeduli tekanan dan ugutan yang dihadapi olehnya. Lebih membanggakan, Pak Samad tanpa gentar memimpin barisan hadapan dalam himpunan Bersih 2.0 pada bulan Julai 2011 yang lalu.

Sebagai ikon masyarakat, pelantikan Pak Samad sudah tentu akan membuka mata masyarakat bahawa perjuangan membersihkan sistem pilihanraya di negara ini bukan suatu perjuangan kecil dan sia-sia. Sebaliknya Perjuangan Bersih 2.0 adalah suatu perjuangan yang besar dan memerlukan pengorbanan yang tinggi. Betapa seorang sasterawan negara yang telah dimamah usia seperti Pak Samad masih mampu melihat dengan jelas segala kepincangan dalam sistem demokrasi di negara ini. Beliau di antara jutaan rakyat di negara ini yang bencikan kebobrokan dan penyelewengan yang berlaku oleh pemerintah. Sudah berpuluh tahun negara ini diperintah dengan secara tidak adil oleh rejim yang angkuh. Suara dan kebangkitan rakyat cuba dilenyapkan dengan pelbagai peraturan dan akta yang direka bagi menakut-nakutkan rakyat.

Pelantikan Pak Samad sebagai Pengerusi Bersih 2 membuktikan bahawa perjuangan membersihkan pilihanraya di negara ini bukan hanya didokong oleh Pakatan Rakyat, malah turut sama dipelopori oleh gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh-tokoh masyarakat. PPM juga mengalu-alukan lebih ramai penyertaan tokoh-tokoh dan pemimpin masyarakat bersama dengan perjuangan rakyat.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

.

Beri Royalti Kelantan Jika BN Ikhlas

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

BERIKAN ROYALTI KEPADA KELANTAN BUKTI KERAJAAN IKHLAS BANTU RAKYAT
(16 Januari 2012)


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar kerajaan Malaysia supaya memberikan royalti kepada kerajaan Kelantan sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu menolong rakyat khususnya orang Melayu di negeri itu.

DPPM melihat kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bahawa Kelantan belum lagi layak mendapat royalti minyak kerana Ordinan Darurat baru sahaja dibatalkan dan perlu menunggu sehingga enam bulan adalah alasan beliau semata-mata. Bagi DPPM, jawapan tersebut merupakan alasan terknikal yang diguna bersandarkan kepada undang-undang. Sepatutnya Datuk Seri Nazri Aziz menjawab dengan usaha mempertimbangkan tuntutan kerajaan Kelantan untuk memberikan royalti tanpa menunggu tamatnya Ordinan Darurat. Kerajaan juga perlu memberi jaminan untuk mengusahakan pemberian royalti itu kepada kerajaan Kelantan pada waktu yang sepatutnya.

Isu royalti Kelantan menunjukkan belang sebenar pemimpin UMNO dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini. Selama ini berdegar-degar suara mereka di seluruh pelusuk dunia kononnya hanya UMNO sahaja pejuang bangsa Melayu. UMNO adalah tempat berpaut orang Melayu dan UMNO sahaja mampu membantu orang Melayu di negara ini.

Namun demikian, dalam isu royalti minyak di Kelantan, tindakan kerajaan UMNO-BN seakan dwi standard terhadap kerajaan Kelantan. Sedangkan rakyat mengetahui bahawa Kelantan diperintah oleh orang Melayu beragama Islam. Majoriti rakyat di Kelantan pula adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Soalnya, apakah orang Melayu Kelantan berbeza dengan orang Melayu di negeri lain? Adakah orang Melayu Kelantan tidak berhak menikmati kemudahan seperti mana perjuangan yang dilaung-laungkan oleh pemimpin UMNO? Mengapa tiada usaha serius dilakukan oleh kerajaan pusat bagi membantu rakyat dan negeri itu dalam keadaan mereka mengetahui bahawa rakyat Kelantan ada yang hidup dalam keadaan susah?

DPPM hairan bagaimana UMNO boleh bermimpi untuk menawan Kelantan dalam keadaan pemimpin mereka menyekat hak yang patut dinikmati oleh rakyat di negeri itu. Ini menunjukkan pemimpin UMNO sendiri tidak ikhlas membantu rakyat di negeri itu kerana tidak turut sama berjuang memberikan hak kepada Kelantan tanpa mengira siapa pemerintahnya. Rakyat Kelantan kini lebih mengenali siapa pemimpin sebenar untuk diangkat sebagai pemerintah yang jujur dan ikhlas dan siapa pula yang hanya berpolitik dan mahu mengambil kesempatan di negeri itu.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

.

Saturday 14 January 2012

Pas Titiwangsa Anjur Majlis Sumbangan Sempena Tahun Baru Cina

Oleh : Mohamad Suhaimi bin Abdul Aziz – Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa

PAS Kawasan Titiwangsa berjaya menganjurkan sumbangan kepada masyarakat Tionghua sempena Sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Majlis ini diadakan pada 14 Januari 2012, Sabtu bertempat di Dewan Orang Ramai, Projek Perumahan Rakyat, Desa Rejang, Setapak.

Majlis bermula pada jam 8.00 malam dengan ucapan perasmian oleh Ustaz Nur Raihan Abdul Aziz, Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Titiwangsa. Seramai 150 orang penerima sumbangan dari kalangan masyarakat Tionghua Desa Rejang hadir bagi memeriahkan majlis ini.


Hadirin kaum Tionghua yang hadir ke program

Ustaz Raihan dalam ucapan perasmian menekankan persoalan kesamaan hidup masyarakat di Malaysia antara setiap kaum. Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan bangsa, perasaan hormat menghormati perlu disemai supaya semua pihak dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Beliau juga menambah bahawa budaya masyarakat hari ini menolak semangat perkauman sempit yang cuba ditiupkan oleh sesetengah pihak. Baginya, usaha ini merupakan suatu usaha yang sia-sia memandangkan masyarakat di negara ini memahami dan bertoleransi antara semua kaum. Justeru, setiap kaum berhak merayakan hari-hari kebesaran kaum dan bangsa mereka.

Majlis itu diakhiri dengan serahan sumbangan kepada semua penerima yang hadir dan disampaikan oleh Ustaz Nur Raihan Abdul Aziz. Setiap penerima menerima sumbangan berupa beras 5 kilogram, ang pau, kad raya, serta beberapa biji buah limau. Selain itu, 50 kanak-kanak Tionghua turut menerima sumbangan angpau di majlis tersebut.

PAS Titiwangsa mengharapkan majlis sumbangan ini mampu memberikan keceriaan kepada warga Tionghua khususnya dari PPR Desa Rejang dalam merayakan Sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 23 Januari 2012.

Rentetan dari itu, PAS Titiwangsa akan turut mengedarkan sumbangan buah limau dan kad raya Cina kepada warga Tionghua di kawasan Taman Maluri pada 21 Januari 2012 bermula jam 9.00 pagi. Untuk edaran ini, PAS Titiwangsa telah menyiapkan 10,000 biji limau serta kad raya untuk diedarkan kepada masyarakat Tionghua. Majlis ini menandakan keprihatinan PAS Titiwangsa terhadap semua kaum di kawasan ini dan semoga kaum Tionghua dapat merayakan Sambutan Tahun Baru dengan penuh kemeriahan.

.

Wednesday 11 January 2012

Pemuda Pas desak Jamil Khir letak jawatan

Isu Penyelewengan Wang Zakat. Siri 1

Yb. Datuk Jamil Khir Baharom
Mesti Meletakkan Jawatan


1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Yb. Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Che Mat Che Ali Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan tidak boleh lari dari tanggungjawab setelah berdepan dengan dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa. Paling ringan, tanggungjawab yang mesti diambil oleh mereka ialah meletakkan jawatan. Perletakan jawatan itu kelak akan memudahkan proses siasatan diambil apabila dakwaan rasmi telah dikemukakan ke atas salah laku mereka.

2. Menggunakan RM 63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka mengadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suatu perbuatan tercela justeru ia melibatkan wang milik asnaf yang sewajibnya diagihkan.

[ Merujuk kepada laporan Ketua Audit :

a] 11 Januari 2010 MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir kerana mewakili ketiga-tiga mereka di atas bagi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari.

b] Datuk Che Mat Che Ali Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [MAIWP] telah meluluskan bayaran RM31,500 daripada peruntukan Am pada 28 Januari 2010. Geran kerajaan masih lagi belum diterima, bayaran dibuat menggunakan peruntukan zakat pada 9 Februari 2010.

c] MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman RM32,150 pada 29 April 2010 menggunakan peruntukan zakat.

3. Timbul beberapa persoalan besar yang jelas bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab seorang pemegang amanah.

a] Mereka tiada hak dan kelayakan menggunakan wang zakat justeru mereka bukanlah asnaf yang berhak menerimanya . Persoalan dan kedudukan hukum ini akan saya jelaskan dalam kenyataan saya pada siri kedua nanti.

b] Berlaku Penyalahgunaan kuasa apabila yang meluluskan sejumlah wang zakat tersebut atas nama Setiausaha MAIWP kepada Pengarah JAWI untuk pembiayaan kos guamannya, sedang pemegang kedua - dua jawatan itu adalah orang yang sama iaitu Datuk Che Mat Che Ali.

4. Kelihatan Yb Datuk Jamil Khir cuba untuk melarikan diri dari isu ini apabila menuding kononnya ini adalah propaganda pembangkang. Sedang isu ini adalah jelas bagaimana beliau menggunakan wang zakat dan ternyata beliau tidak boleh menafikan kesohihan dakwaan tersebut.

5. Lebih kesal apabila mufti turut diseret oleh beliau untuk mengeluarkan kenyataan mempertahankan kebathilan yang dilakukan oleh beliau selaku Menteri Agama iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap amanah ummat Islam. Mufti selayaknya mengeluarkan kenyataan untuk memelihara dan memihak kepada kebenaran bukan mencari aqal untuk membebaskan salah laku mereka yang bertaraf menteri.

Tugas utama Mufti ialah jaga agama bukan jaga menteri.

NASRUDIN BIN HASSAN
KETUA PEMUDA PAS MALAYSIA

.

Menteri Agama seleweng duit zakat


Rakyat miskin terpaksa minta sedekah












Menteri Agama kaya guna duit zakat untuk kepentingan peribadi








KEADILAN TAMPIL DENGAN BUKTI SALAHGUNA WANG ZAKAT MAIWP

Saya pada hari ini tampil dengan bukti-bukti dakwaan salahguna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharum selama ini.

Pertama ialah set dokumen daripada MAIWP sendiri termasuk baucer bayaran bernombor 2010B04112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150.00. Baucer tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat.

Kedua merupakan surat daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat (iaitu bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat di dalam baucer tersebut) digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Jamil Khir berkali-kali menegaskan bahawa MAIWP mempunyai peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM700,000 bagi menampung pelbagai pembayaran termasuk kos guaman.

Namun Laporan Ketua Audit menyebut bahawa MAIWP hanya memulangkan wang tersebut pada Disember 2010, kira-kira enam bulan selepas peruntukan tersebut disalurkan ke dalam MAIWP. Jamil langsung tidak menyebut tentang hal ini.

Saya juga ingin membetulkan laporan Utusan pada 4 Januari lalu yang memetik Bahagian Hal Ehwal Korporat Jabatan Audit Negara bahawa isu salahguna zakat ini tidak dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010. KEADILAN tidak pernah mendakwa demikian, sebaliknya kami merujuk kepada surat Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-Kira Negara seperti tertera.

KEADILAN memandang serius penyalahgunaan institusi penting umat Islam ini. Saya akan membuat laporan polis esok 11 pagi di Balai Polis Dang Wangi berkaitan dengan kes salahguna wang zakat ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT

.

Tuesday 10 January 2012

Hi Tea Pas Titiwangsa kutip RM45,000

Oleh : Hedzer Bin Ibrahim (Setiausaha PAS Kawasan Titiwangsa)



PAS Kawasan Titiwangsa berjaya mengumpul dana berjumlah RM 45,000.00 dalam program Hi Tea anjuran Jentera Pilihanraya PAS Kawasan Titiwangsa baru-baru ini. Meskipun jumlah sasaran keseluruhan sebanyak RM 100,000.00 bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13 belum mencukupi, namun PAS Titiwangsa merasa yakin jumlah itu akan dapat dicapai menjelang PRU ke 13.

Hi Tea PAS Titiwangsa yang dianjurkan pada hari Ahad, 8 Januari 2012 bertempat di dataran Darul Ummah, Markaz PAS Titiwangsa di Kampung Pandan, bermula seawal jam 5.30 petang dilangsungkan dengan suasana sederhana tetapi penuh kemeriahan. Seramai 150 orang tetamu jemputan hadir bagi memeriahkan program. Kupon yang dijual berharga RM 50.00 hampir habis terjual memandangkan banyak kerusi yang dipenuhi oleh pengunjung-pengunjung.

Antara tetamu utama yang hadir adalah Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Majlis dimulakan dengan ucapan ringkas oleh Yang Di Pertua PAS Kawasan, Mej (B) Ustaz Abdullah Abdul Wahab diikuti oleh Ucapan Perasmian dan amanat penting oleh Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Dalam amanatnya, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim menyentuh peranan infak fi sabilillah sebagai salah satu jihad penting bagi memenangkan Islam. Beliau turut menyebut mengenai sirah perjuangan Rasulullah SAW yang mengharungi kehidupan dalam mendaulatkan Islam dengan penuh liku dan seruan Baginda supaya menginfakkan harta di jalan Allah. Hadirin tersentuh hati mendengar kisah seorang sahabat Nabi SAW yang kudung kedua tangan dan kakinya yang bekerja menceduk air untuk mendapatkan upah bagi membiayai jihad fi sabilillah. Pengorbanannya dibalas dengan pahala yang sangat tinggi di sisi Allah SWT meskipun beliau hanya mampu infak beberapa buah tamar sahaja.

Program diakhiri dengan serahan banting sumbangan dana PRU ke 13 kepada Unit-Unit Peti Undi dan Dewan-Dewan. Hampir keseluruhan cawangan PAS di Titiwangsa memberi sumbangan sekurang-kurangnya RM 500.00 dengan tunai mahupun berbentuk akujanji. Ini termasuk Dewan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa yang menyumbangkan sebanyak RM 500 manakala Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa menyumbangkan RM 1000. Selain itu, sumbangan individu telah mengumpul sebanyak RM 7186.00 sementara akujanji dari individu-individu dan agensi PAS Kawasan Titiwangsa mencecah sebanyak RM 30,000.00.

PAS Kawasan Titiwangsa mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah berbesar hati memberi sumbangan bagi mendanai jentera pilihanraya PAS Kawasan Titiwangsa. Bagi mereka yang ingin terus menyumbang ke tabung pilihanraya PAS Kawasan Titiwangsa, boleh salurkan terus ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama PAS Kawasan Titiwangsa melalui no akaun : 14032010012772.

Sumber : Pemuda Pas Wilayah

.

Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3


"BERSIHKAN MALAYSIA"




.

Kampung Baru Tergadai?

 Oleh :  
AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI

(Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampong Bharu)

Sekretariat Pembangunan Kg. Bharu (SPKB) mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu kerana atas keteguhan dan kejituan semangat mereka maka pada hari ini (3/10/2011) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) telah menarikbalik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 (RUU PPKB 2010 – DR 45/2010). Sekalung penghargaan dan Al-Fatihah juga selayaknya dihadiahkan kepada Allahyarhamuha YB Dr. Lo’lo’ Hj Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang tidak pernah jemu membawa suara dan hasrat pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.


SPKB mengalu-alukan penarikan RUU PPKB 2010 – DR 45/2010 ini tetapi berpendapat tindakan KWPKB ini hanyalah tindakan untuk mengaburi mata pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu semata-mata. Tindakan penarikan balik RUU PPKB 2010 tidak mempunyai apa-apa makna kerana dalam masa yang sama KWPKB telah membentangkan pula suatu Rang Undang-Undang baru iaitu Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 – DR25/2011. Tindakan KWPKB ini hanyalah suatu permainan silap mata sahaja.Mulanya menarikbalik tetapi kemudiannya membentangkan yang baru.

Asas pendirian SPKB ini ialah RUU PPKB 2011 yang baru dibentangkan untuk Bacaan Kali Pertama di Dewan Rakyat hari ini hanyalah penambahbaikan sebahagian daripada RUU PPKB 2010 sebelum ini. Ini hanyalah tindakan kosmetik yang cuba melalaikan dan melenakan para pemilik dan pewaris tanah. Pokok persoalan asas RUU PPKB samada yang lama atau yang baru ialah jaminan hak para pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru. Rata-rata pemilik dan pewaris tanah mahukan jaminan bahawa setiap perancangan pembangunan yang hendak dilakukan di Kampung Baru di atas tanah hakmilik mereka dibuat dengan mengambilkira hak dan kepentingan serta faedah mereka, bukannya kepentingan mana-mana pihak lain yang tiada apa-apa kepentingan langsung. 

Persoalan RUU PPKB 2010 dan RUU PPKB 2011 ini ialah persoalan teknikal yang mungkin akan mengelirukan para pemilik dan pewaris tanah. Ini persoalan undang-undang yang perlu dijelaskan sejelas-jelasnya kepada semua pemilik dan pewaris tanah sebelum persetujuan mereka diperolehi.

SPKB ingin merekodkan di sini bahawa RUU PPKB 2010 yang ditarikbalik tiada apa-apa perbezaan ketara di dalam RUU PPKB 2011.Kuasanya masih berada MUTLAK di tangan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Peruntukkan fasal 17 RUU PPKB 2011 masih sama seperti RUU PPKB 2010. Fasal 17 RUU PPKB 2010 dan RUU PPKB 2011 memperuntukkan seperti berikut :-

Perbadanan hendaklah bertanggungjawab kepada Menteri, dan Menteri boleh, dari semasa ke semasa, memberikan arahan yang tidak bercanggah dengan peruntukkan Akta ini dan Perbadanan hendaklah melaksanakan segala arahan yang diberi itu.

Peruntukan ini dengan jelas memberikan kuasa penuh kepada MENTERI sedangkan sepatutnya jika benar para pemilik dan pewaris tanah hendak dilibatkan, maka Perbadanan tersebut hendaklah tertakluk dan bertanggungjawab kepada para pemilik dan pewaris tanah. Siapa Menteri yang hendak memandai-mandai menentukan untung nasib pemilik dan pewaris tanah? Tanah yang hendak dibangunkan itu adalah tanah orang-orang Kampung Baru, bukan tanah milik Kerajaan.


RUU PPKB 2011 telah memotong peruntukkan Fasal 15(2)(h) di dalam RUU PPKB 2010 yang menyatakan bahawa tanah Kampung Baru boleh diambil menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Pemotongan peruntukkan tersebut dibuat dengan harapan agar para pemilik dan pewaris tanah merasa terjamin bahawa tanah mereka tidak akan diambil secara paksa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Ini dibuat semata-mata mengambilhati dan untuk tidak membangkitkan kemarahan pemilik dan pewaris tanah.

Perlu diambil perhatian bahawa walaupun RUU PPKB 2011 tidak memperuntukkan tentang Akta Pengambilan Tanah 1960, ini tidak bermaksud bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak boleh digunakan. Kekosongan dan kelompangan tentang penggunaan Akta tersebut tetap membolehkan tanah Kampung Baru diambil menggunakan Akta tersebut. Malah Menteri sendiri mengakui di dalam Dewan Rakyat bahawa Kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan konsep pembangunan secara komprehensif ke atas Kampung Baru, di mana antara mekanisme pembangunan yang akan dijalankan ialah menerusi kaedah penyerahan dan pemberimilikan semula hakmilik tanah di bawah peruntukan Seksyen 204D Kanun Tanah Negara 1965 dan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Peruntukan Fasal 57 RUU PPKB 2010 dipotong di dalam RUU PPKB 2011 dan ini akan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penyelesaian. Fasal 57 RUU PPKB 2010 ialah peruntukkan yang membatalkan Malay Agricultural Settlement Rules 1950 yang menubuhkan Kampung Baru dan membubarkan Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu atau sinonimnya Lembaga Pentadbiran MAS. Apabila peruntukkan fasal 57 ini dipotong maka Lembaga MAS masih wujud dan berfungsi seperti sediakala seperti kewujudannya sejak tahun 1900 dahulu. Jika Lembaga MAS masih wujud, kenapa perlu ada sebuah Perbadanan baru yang mempunyai fungsinya yang sama? Apa akan jadi dengan Lembaga MAS sekiranya Perbadanan diwujudkan melalui RUU PPKB 2011 ini?

Kenyataan KWPKB bahawa Perbadanan hanyalah sebagai penyelaras dan pemudahcara kepada pembangunan di Kampung Baru hanyalah penipuan semata-mata. Perkara ini dibuktikan dengan Fasal 14 RUU PPKB 2011 berkaitan fungsi Perbadanan yang antaranya untuk melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubungan dengan pembangunan Kampung Baru mengikut pelan struktur dan pelan tempatan yang disediakan di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982. Apakah dasar di dalam pelan struktur tersebut? Ianya telah diluluskan seperti yang terdapat di dalam Pelan Pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur 2020yang mempunyai suatu jilid khusus tentang Kampung Baru yang tidak pernah diterangkan kepada awam termasuk pemilik dan pewaris tanah. Dalam Pelan Pembangunan tersebut juga dinyatakan dengan jelas bahawa antara pihak yang akan terlibat dengan pembangunan Kampung Baru ini ialah GABEM iaitu satu biro ekonomi dalam parti politik. Soalnya, mengapakah badan ini dilibatkan sedangkan ia tidak langsung mempunyai kepentingan ke atas tanah Kampung Baru? Apakah ada muslihat atau agenda pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan di atas nilai tinggi tanah Kampung Baru ini?

Fungsi Perbadanan juga adalah untuk menyebarkan apa-apa maklumat mengenai potensi pelaburan dan pemasaran kepada pelabur samada pelabur asing atau tempatan dalam kawasan pembangunan Kampung Baru. Perbadanan juga selain itu berfungsi untuk menguruskan dan mempromosikan penjualan hartanah di dalam kawasan pembangunan Kampung Baru. Adakah fungsi-fungsi yang diperuntukkan dengan nyata di dalam Fasal 14 RUU PPKB 2011 ini menunjukkan Perbadanan hanya sebagai pentadbir, penyelaras dan pemudahcara sahaja ataupun ia jelas menunjukkan bahawa Perbadanan sebenarnya merupakan satu “business entity” atau entiti perniagaan yang tidak dapat melindungi kepentingan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru? 

Kenyataan Menteri pada hari ini memaklumkan bahawa RUU PPKB 2011 yang dibentangkan akan memberikan suara yang lebih kepada pemilik tanah merupakan suatu kenyataan penyedap hati sahaja. Adakah hanya dengan memberikan keanggotaan di dalam Perbadanan kepada enam (6) orang wakil tuan tanah sudah memadai untuk Kerajaan menyatakan bahawa suara tuan tanah sudah didengar sedangkan kuasa penuh terhadap Perbadanan berada di tangan Menteri? 

Sebelum ini pada Jun 2011, Menteri yang sama menyatakan bahawa undang-undang berkaitan Kampung Baru hanya akan diteruskan setelah mendapat keputusan referendum pemilik dan pewaris tanah. SPKB mendesak dan mencabar KWPKB mendedahkan kepada umum hasil referendum tersebut.Adakah RUU PPKB 2011 ini dibentangkan hasil referendum tersebut? Jika benar, dedahkan hasil referendum tersebut.Jangan hanya menyebut angka sahaja tanpa bukti yang jelas dan kukuh.

SPKB sekali lagi menegaskan bahawa penarikan balik RUU PPKB 2010 ini hanyalah tindakan terdesak KWPKB untuk melenturkan kemarahan pemilik dan pewaris tanah.Ia juga tindakan mengelirukan pemilik dan pewaris tanah kerana walaupun ditarikbalik, ianya digantikan dengan suatu RUU yang baru yang hakikatnya masih sama iaitu hak pemilik dan pewaris tanah tidak dijamin sepenuhnya. SPKB tetap dengan pendirian bahawa apa saja bentuk perancangan pembangunan tanah Kampung Baru hendaklah mengambilkira suara dan hasrat pemilik dan pewaris tanah sendiri dan bukannya kepentingan mana-mana pihak lain yang mempunyai kepentingan tersendiri.

.

Monday 9 January 2012

Pas Titiwangsa anjur Program Talkshow


Sumber : Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Program Talkshow anjuran Nisa’ Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa berjaya dilangsungkan dengan jayanya. Program yang diadakan di Surau Al Falah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, kelmarin dihadiri kira-kira 250 orang penduduk tempatan yang memberikan sambutan yang amat memberangsangkan.

Program bermula pada jam 9.00 pagi dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Surau Al Falah dan Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan. Majlis perasmian disempurnakan oleh Mejar (B) Ustaz Abdullah Abdul Wahab, Yang Dipertua PAS Kawasan Titiwangsa.

Talkshow yang bertajuk ‘Dipenghujung Cintaku’ itu mengetengahkan Adeep, bekas penyanyi kumpulan Fabulous Cat, Ustazah Teh Izanuri Jamaluddin, personaliti televisyen dan moderator oleh Ustaz Syed Mohamad Al Haddad, pendakwah bebas.

Adeep berjaya mencuri hati penonton dengan pengkisahan pengalaman beliau mengharungi kehidupan dan bagaimana beliau boleh berubah. Melalui Ustaz Said Mohamad Al Haddad, beliau mengenali Islam, dan mengenali dunia dakwah. Selama ini menurut beliau, hidupnya seakan kosong tanpa makna sehinggalah akhirnya Allah mencampakkan hidayah kepada beliau. Ustazah Teh Izanuri pula menarik perhatian penonton dengan realiti kehidupan yang tiada makna tanpa Islam.

Hakikatnya ramai yang tersesat dalam mencari kehidupan sebenar sekiranya mereka gagal mengenali Islam dan Islam adalah jalan penyelamat manusia. Ramai manusia terjerumus dengan cinta yang memerangkap kepada runtunan hawa nafsu yang merosakkan akhlak dan akidah umat manusia.

Talkshow diakhiri dengan persembahan khas oleh Adeep yang mendendangkan dua buah lagu beliau berunsurkan dakwah. Rata-rata ramai yang berpuas hati dengan program itu dan berharap ianya akan dijayakan lagi dalam masa akan datang.

.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.