Monday 13 February 2012

Budaya Samseng Semakin Menjadi-jadi

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

SEMAKIN HAMPIRI PRU KE 13 , BUDAYA SAMSENG SEMAKIN MENJADI-JADI. 
(13 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan kekesalan di atas sikap segelintir pihak yang menggangu ceramah yang diadakan oleh sekumpulan mahasiswa di atas isu kebebasan akademik yang diadakan di Kampung Idaman, Klang kelmarin. DPPM menganggap tindakan sekumpulan pemuda yang menggangu ceramah tersebut sebagai tindakan tidak bertamadun dan tidak rasional. Lebih mendukacitakan apabila kumpulan samseng itu menganggu ceramah sekumpulan mahasiswa, yang sudah tentu mereka ini bukanlah lawan ‘fizikal’ yang layak bagi samseng terbabit. 

DPPM merasa kecewa kerana insiden ini berlaku buat kali kedua selepas ceramah ‘Asalkan bukan UMNO (ABU)’ yang diadakan di Jalan Kebun, Klang beberapa minggu lalu telah diganggu dengan serangan ganas oleh sekumpulan pemuda yang memukul dan mencederakan peserta ceramah tersebut. Insiden kedua pula berlaku di kawasan yang tidak jauh dengan insiden pertama, seolah-olah ada kawasan tertentu menjadi ‘ sarang kumpulan samseng’ yang akan menggangu ceramah siapa sahaja daripada pihak pembangkang atau rakyat. 

Apa yang menghairankan, bagaimana kumpulan samseng boleh dibiarkan hidup bermaharajalela tanpa pemantauan atau tindakan tegas dibuat? Adakah mereka ini sengaja ‘dibela’ atau ditaja oleh pihak tertentu dengan tujuan bagi ‘memutihkan’ kawasan berdekatan daripada ceramah aktivis atau pemimpin Pakatan Rakyat serta menghalang rakyat daripada mendengar ceramah mereka? Lebih dari itu, tindakan keganasan dilihat semakin menjadi-jadi menjelang pilihanraya umum ke 13. Seakan-akan ada suatu tekanan daripada pihak tertentu yang merasa terancam dengan sokongan dan sambutan rakyat. 

Lebih membimbangkan adalah budaya samseng dengan menjadikan keganasan, ugutan, pukul dan mencederakan ini semakin menular bagi menyekat kebebasan bersuara rakyat. DPPM menganggap ini merupakan langkah terdesak pihak tertentu bagi menghalang suara rakyat dalam menyampaikan pandangan mereka dan seterusnya menafikan rakyat daripada mendengar kebenaran daripada hujah yang dikemukakan. DPPM bimbang sekiranya budaya ini tidak dicegah, semakin kuat tindakan jahat dan kotor dilakukan oleh kumpulan samseng sehingga boleh membahayakan nyawa sesiapa sahaja. 

Oleh itu, DPPM meminta pihak keselamatan mengambil tindakan terhadap pelaku keganasan dalam insiden tersebut dan memastikan kejadian itu tidak berlaku lagi. Sepatutnya insiden pertama menjadi panduan bahawa kawasan terbabit atau berdekatan dengannya memerlukan pengawasan ketat supaya mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh sesiapa juga perlu dilindungi bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini. 

Disediakan oleh; 

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia


Sunday 12 February 2012

Sambutan Valentine's Day : Mana Suara Pemimpin Umno?

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

SAMBUTAN VALENTINE’S DAY : MANA SUARA PEMIMPIN UMNO? 
(13 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak pendirian rasmi UMNO dalam isu sambutan Valentine’s Day (Hari Kekasih) yang disambut setiap tahun di negara ini. Ini kerana sejak isu ini timbul tidak sedikitpun suara pemimpin UMNO kedengaran bagi menyatakan pendirian berhubung isu yang menjadi pertikaian umat Islam sejak dahulu. 

Dalam hal ini, DPPM menyatakan pendirian PAS sejak dahulu sehingga kini tetap bertegas bahawa sambutan Hari kekasih adalah haram untuk umat Islam dan tidak wajar bagi kerajaan mempromosikan hari tersebut kepada masyarakat khususnya kepada umat Islam. Ini telah dikuatkan lagi dengan fatwa daripada Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah menghukumkan haram terhadap sambutan itu. Ketegasan PAS tetap dipegang sekalipun yang menentangnya adalah rakan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan PAS tidak pernah mengikut telunjuk atau menjadi kuda tunggangan mana-mana pihak. PAS adalah parti Islam sejak dahulu sehingga kini dan tetap berpegang kepada prinsip dan dasarnya walau dengan siapa ia berkawan. 

Namun demikian, DPPM merasa kesal kerana media utama hanya sibuk mencari titik perbalahan antara parti dalam Pakatan Rakyat. Sebaliknya UMNO yang menjadi tunjang dalam kerajaan tidak sedikitpun mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung sambutan hari tersebut. Malahan pemimpin UMNO diam seribu bahasa dengan mengambil sikap jalan selamat demi mengelakkan persengketaan dalaman antara parti komponen dalama Barisan Nasional. 

Bagi DPPM, pemimpin UMNO tidak wajar berdiam diri tanpa mengeluarkan sebarang pendirian rasmi berhubung sambutan Valentine’s Day. Sebagai pemimpin umat Islam di negara ini pemimpin utama UMNO wajib menyatakan pendirian mereka. Kemungkaran mesti dicegah walau ditentang oleh rakan-rakan sekutunya kerana ia adalah perintah Allah SWT. Tambahan lagi umat Islam di negara ini pasti akan merasa kecewa sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri membiarkan terus polemik ini berlalu tanpa sebarang kenyataan mahupun tindakan tegas diambil. Lebih dikesali apabila ulama’ dalam UMNO serta Menteri Di jabatan Perdana Menteri yang menjaga urusan hal ehwal agama Islam di negara ini turut berdiam diri berhubung isu ini. 

Akhirnya DPPM mengharapkan umat Islam di negara ini membuka mata dengan melihat sikap sebenar UMNO dalam soal mempertahankan syariat Islam. Dalam keadaan seluruh negara riuh rendah dengan penolakan dan penentangan terhadap isu ini, pemimpin-pemimpin UMNO menutup mulut dan terus membiarkan kemungkaran berleluasa. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Kehadiran Najib di Batu Caves : Para Mufti Perlu Bersuara

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

KEHADIRAN NAJIB DI BATU CAVES : PARA MUFTI PERLU BERSUARA 
 (11 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana berani menyatakan kebenaran dengan membantah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Batu Caves sempena perayaan Thaipusam pada hari Selasa. Dalam satu kenyataan, beliau melahirkan rasa terkilan kerana Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup ‘menggadai akidah’ apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam di Batu Caves. 

DPPM melihat keberanian inilah yang perlu ditunjukkan oleh para Mufti di negara ini apabil melihat kemungkaran berlaku di depan mata tanpa mengira siapa pun pelakunya. Soal aqidah umat mesti menjadi keutamaan dan para ulama’ tidak harus berdiam diri apabila melihat aqidah umat rapuh atau runtuh. 

Kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam sememangnya mengundang kegelisahan umat Islam di negara ini. Meskipun Datuk Seri Najib hadir atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada penganut agama Hindu, disisi Islam perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan. Walaupun agama Islam tidak pernah melarang penganut agama lain merayakan perayaan masing-masing, namun Islam tetap mengharamkan umatnya menyambut perayaan agama lain kerana ia boleh menjejaskan aqidah umat Islam. Kehadiran Datuk Seri Najib dikhuatiri akan merosakkan aqidah beliau dan umat Islam yang lain memandangkan beliau adalah Perdana Menteri di negara ini, dan tindakan beliau pasti akan diikuti oleh rakyat jelata. Perdana Menteri tidak perlu hadir ke Batu Caves hanya untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan atau menyerahkan kepada pemimpin MIC untuk mengucapkan selamat menyambutnya. 

Tindakan Perdana Menteri itu menunjukkan beliau amat kemaruk untuk mendapatkan pengaruh dan populariti bagi mengekalkan kuasa beliau sehingga sanggup melanggar syariat dan aqidah. DPPM hairan mengapa penasihat agama beliau termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir tidak tampil lebih awal memberikan nasihat supaya beliau tidak hadir ke Batu Caves bagi mengelakkan kritikan rakyat. 

Oleh itu, DPPM meminta lebih ramai para mufti, para ulama’ dan agamawan di negara ini bersuara bagi menyatakan kebenaran di sebalik isu ini. Bagi DPPM, apa juga pandangan ulama’ perlu diambil kira biarpun hasilnya pahit untuk ditelan. Demi aqidah umat, tiada siapa harus berdiam diri atau menyembunyikan kebenaran! 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Pemuda Pas Ajak Pemimpin Umno Bantah Rejin Syria

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

AYUH AHLI DAN PEMIMPIN UMNO TURUN BERDEMO ESOK! 
(9 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak seluruh pemimpin dan ahli UMNO serta NGO-NGO di bawahnya seperti Perkasa dan Pekida untuk turut serta bersama PAS serta NGO-NGO Islam yang lain dalam himpunan aman membantah kekejaman kerajaan Syria pimpinan Bashar Al Assad yang telah menyiksa dan membunuh ribuan rakyat mereka pada hari Jumaat, 10 Februari 2012 di hadapan kedutaan Syria. 

DPPM berpandangan, isu kezaliman tentera Syria ke atas rakyatnya sendiri merupakan isu sejagat dan wajib atas umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan bantahan. Malah, mendiamkan diri dengan menyaksikan ribuan umat Islam di sana diseksa, dipenjara dan dibunuh merupakan suatu dosa besar disisi Islam. 

DPPM melihat kezaliman tentera Basyar Al Assad sudah sampai ke kemuncaknya. Umat Islam tidak tertahan melihat ribuan umat Islam yang tidak bersenjata dibunuh dengan ditembak atau dibom sesuka hati. Dalam hal ini, pemimpin UMNO yang memegang kuasa di negara ini tidak wajar hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa bantahan. Sekiranya benar pemimpin UMNO memperjuangkan aqidah ummat, kezaliman Basyar Al Assad tidak harus hanya dipandang sebelah mata atau ‘menutup mata’ dengan berpura-pura tidak mengetahui isu sebenar. Sepatutnya Perdana Menteri lebih dahulu bangkit bersuara lantang di peringkat antarabangsa bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan. PM juga seharusnya berbincang dengan negara-negara OIC agar melakukan tindakan tertentu demi menyelamatkan umat Islam di Syria daripada terus menjadi mangsa pembunuhan. 

DPPM bersama seluruh NGO Islam yang lain bertegas demonstrasi pada hari esok adalah suatu manifestasi umat Islam dari seluruh pelusuk dunia demi tidak mahu menyaksikan lebih banyak darah umat Islam tumpah di bumi Syria. Ayuh penuhkan ruang di Jalan Ampang dan Jalan U thant dengan kehadiran ribuan umat Islam di Malaysia ini. Umat Islam Malaysia bersamamu wahai rakyat Syria! 

Disediakan oleh; 

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Wednesday 8 February 2012

Berdebat Tunjuk Bukti Kebenaran Kerajaan

KENYATAAN MEDIA 
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

BERDEBAT BAGI BUKTIKAN KEBENARAN KERAJAAN
(8 Februari 2012) 

PAS Wilayah Persekutuan mengalu-alukan penerimaan cabaran debat oleh tiga pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang dikemukakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berhubung isu skim pembiayaan khas menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Cabaran itu diterima oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua selaku Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Dr. Dzulkefly Ahmad iaitu ahli jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor. 

Kesediaan ketiga-tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat ini menunjukkan sikap berani bersemuka pemimpin Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan kebenaran serta isu-isu rakyat di negara ini. Ini juga membuktikan bahawa Pakatan Rakyat benar-benar berpolitik secara telus, jujur dan bersih dengan tidak ada isu untuk diselindungkan dari pengetahuan rakyat. 

PAS WP juga menyokong pendirian pemimpin Pakatan Rakyat yang menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan dana KWSP bernilai RM1.5 bilion bagi membiayai Skim Pembiayaan Khas Penjualan PPR. PAS WP sependapat dengan pemimpin Pakatan Rakyat bahawa penggunaan dana tersebut tidak sesuai untuk digunakan. Ini memandangkan dana KWSP adalah dana pekerja, justeru kerajaan tidak wajar mengambil wang tersebut semata-mata mahu membantu penduduk PPR membuat pinjaman bagi memiliki kediaman mereka. Sebaliknya, kerajaan perlu memikirkan mekanisme lain bagi membantu rakyat membuat pinjaman bagi memiliki Projek Perumahan Rakyat (PPR). 

PAS WP melihat kerajaan seperti sudah kehilangan idea bagi membantu rakyat sedangkan di sisi lain Pakatan Rakyat mempunyai banyak resepi bagi membantu meringkan warga kota mendapatkan rumah mampu milik mereka sendiri. Memang objektif perjuangan Pakatan Rakyat untuk membantu rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah. Memastikan golongan ini mendapat rumah sendiri adalah hasrat PR tetapi bukan dengan mengambil dana lain seperti KWSP. Pastinya, idea ini boleh dikembangkan sekiranya Datuk Raja Nong Chik bersedia berdebat dengan pemimpin terbabit. 

PAS WP mengharapkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, YB Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin akan menerima pelawaan debat tersebut tanpa berdolak dalik lagi serat mencari helah atau alasan lain. YB Senator Datuk Raja Nong Chik boleh memilih sendiri salah seorang daripada ketiga-tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menawarkan diri berdebat dengan beliau. Sesungguhnya rakyat di seluruh Wilayah Persekutuan mengharapkan Menteri Wilayah Persekutuan menerima pelawaan debat ini sekiranya beliau merasakan beliau di pihak yang benar. 

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan 
PAS Wilayah Persekutuan 

Jangan Jadikan 'Valentine Day' Sebagai Hari Pemuas Nafsu

KENYATAAN MEDIA 
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN 

JANGAN JADIKAN ‘VALENTINE’S DAY’ SEBAGAI HARI PEMUAS NAFSU
(8 Februari 2012) 

PAS Wilayah Persekutuan berharap semua pihak terutama media-media utama di negara ini tidak memainkan peranan mempromosikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang biasa disambut pada 14 Februari setiap tahun kerana ia boleh menyumbang kepada gejala keruntuhan akidah dan akhlak khususnya remaja di negara ini. Dalam hal ini, PAS WP ingin memberi ingatan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwanya berkenaan hukum menyambut Valentine’s Day:

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.” 

Dengan gejala sosial yang semakin meningkat seperti pergaulan bebas lelaki dengan perempuan, berzina, bersekedudukan, pelacuran sehingga membawa kepada perlakuan jenayah seperti rogol, buang anak, dan lain-lain lagi, sudah tentu perayaan mengarut seperti Valentine’s Day ini juga menjadi penyumbang kepada peningkatan kadar gejala sosial yang semakin parah di negara ini. Tambahan pula, dengan kepesatan bandaraya besar seperti Kuala Lumpur ini yang menjadi pusat kepada kelab-kelab malam, pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, hotel bajet serta rumah tumpangan, disamping konsert-konsert yang dianjurkan, gejala sosial sudah seakan tidak terkawal.

PAS WP merasa bimbang dengan semua aktiviti hiburan yang diadakan di negara ini. Justeru, media tidak sewajarnya menambah rancakkan lagi promosi Hari Kekasih atau Valentine’s Day. Selain itu, PAS WP juga meminta pengusaha-pengusaha restoran, hotel, rumah tumpangan, dan lain-lain tidak mempromosikan hari tersebut dengan pelbagai tawaran menarik seperti diskaun, pakej tertentu, harga promosi dan lain-lain lagi. PAS WP mengingatkan bahawa usaha mempromosi hari tersebut boleh mengundang dosa kerana membantu mempromosikan aktiviti maksiat yang telah dihukumkan haram.

Akhirnya, PAS WP menasihati remaja dan belia di Wilayah Persekutuan agar menunjukkan akhlak dan tauladan yang baik dalam setiap masa. ‘Valentine’s Day’ bukan budaya umat Islam dan jangan jadikan hari tersebut sebagai hari melepas nafsu bersama pasangan masing-masing.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan 

Tuesday 7 February 2012

Najib Perlu Bersikap 'Gentleman'

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

NAJIB PERLU BERSIKAP ‘GENTLEMAN’ DAN TERIMA KEPUTUSAN 
RAKYAT DALAM PRU 13 
(7 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap ‘gentleman’ dan berjiwa besar dengan menerima apa juga keputusan yang bakal ditentukan oleh rakyat, sama ada beliau menang ataupun kalah dalam pilihanraya umum ke 13. Ini berikutan kenyataan ‘beramaran’ Datuk Seri Najib sebelum ini yang menyatakan mahu mempertahankan Putrajaya hingga ke titisan darah yang terakhir serta kenyataan beliau yang terbaru bahawa anggota Rela seramai 20,000 orang siap sedia mempertahankan Putrajaya. 

Kenyataan beliau ini seperti mengugut atau memberi amaran bahawa dalam apa juga keadaan beliau akan mempertahankan kerajaan beliau di Putrajaya. Dalam hal ini, DPPM melihat Datuk Seri Najib tidak seharusnya merasa gelabah, emosi, takut dan marah sekiranya Pakatan Rakyat mampu mengalahkan beliau dan menguasai Putrajaya. Datuk Seri Najib perlu sedar bahawa semua pemimpin di seluruh dunia mempunyai ‘pasang surut’ dalam perjuangan. Ada kalanya mereka menang dan ada kalanya mereka kalah. Tidak ada seorang pemimpin pun yang mampu untuk menang setiap masa dalam memegang kuasa mereka selama-lamanya. Jika ada pemimpin seperti ini, sudah pasti mereka akan dijatuhkan dengan kuasa rakyat seperti yang berlaku kepada dunia Arab ketika ini. 

Sebagai seorang pemimpin negara, beliau sepatutnya berlapang dada dan menerima keputusan pilihanraya umum ke 13 yang ditentukan oleh rakyat. Sekiranya kekalahan yang beliau terima, Datuk Seri Najib perlu bermuhasabah terhadap diri dan partinya dengan memperbaiki segala kelemahan yang berlaku. Ia sebagai proses pembersihan terhadap segala kesalahan serta kekurangan yang beliau lakukan selama memerintah negara ini. Selepas itu, barulah beliau bangkit kembali dengan segala pembaharuan dalam PRU ke 14 pula. 

Selain itu, Datuk Seri Najib juga tidak perlu merasa bimbang sekiranya beliau menjadi pembangkang pula suatu hari nanti kerana ini adalah proses biasa dalam amalan negara demokrasi. Sebagai Ketua Pembangkang, tugas beliau pula untuk menegur dan memperbetulkan segala kekurangan yang dilakukan oleh pemimpin Pakatan Rakyat sekiranya ia berlaku. 

DPPM menegaskan, sekiranya Datuk Seri Najib berani menerima perubahan di negara ini dengan ‘redha’ tanpa melakukan pelbagai strategi kotor dan jahat, beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang berjiwa besar dan berani melakukan perubahan sekalipun partinya tidak merestuinya. Sejarah akan menobatkan beliau sebagai negarawan ulung kerana mampu mengubah persepsi pemimpin UMNO-BN sebelum ini, bahawa hanya UMNO-BN sahaja layak memerintah dan tidak ada istilah mengalah pada sistem demokrasi yang bertapak di negara ini. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
 Dewan Pemuda PAS Malaysia 

DPPM Kecam Cubaan Bunuh Pemimpin Pas

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

CUBAAN MEMBUNUH PEMIMPIN PAS DIKECAM 
(4 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan pihak tertentu yang membakar kereta dan rumah milik Timbalan Peusurhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad semalam. DPPM menganggap tindakan tersebut dilakukan oleh individu yang bacul dan tidak bermaruah kerana hanya mampu ‘menyerang hendap’ pemimpin PAS Johor itu dan tidak berani berhadapan atau bersemuka dengan pemimpin tersebut. 

DPPM melihat kejadian membakar kereta dan rumah Sdr Dzulkefli Ahmad itu adalah sebagai cubaan sabotaj dengan niat untuk mencederakan atau membunuh pemimpin PAS. Sebelum ini pada tahun lepas, rumah Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dilontar Molotov Cocktail oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam cubaan membakar rumah beliau. Ini menunjukkan sudah ada usaha tindakan agresif dan kekerasan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap pemimpin PAS. 

DPPM merasa bimbang dengan tndakan ‘ala gangster atau mafia’ yang diamalkan oleh sesetengah pihak di negara ini. Menyedari bahawa pemimpin PAS lantang menyuarakan kebenaran dan menentang kezaliman, rumah dan aset mereka pula menjadi sasaran tindakan khianat. Ia sebagai suatu mesej dan amaran kepada pemimpin PAS supaya jangan sesekali berani bangkit membantah kezaliman kerana dendam kesumat itu akan disasarkan pula kepada mereka selepas ini dalam apa juga bentuk termasuk membaling bom dan membakar rumah mereka. 

Justeru, DPPM meminta pihak polis menyiasat kejadian ini secara terperinci dan berharap insiden ini tidak berlaku di masa depan. DPPM juga meminta Jabatan AMAL bersedia dalam setiap ketika untuk menjaga keselamatan pemimpin PAS terutama menjelang pilihanraya umum yang dijangka pada bila-bila masa. 

Akhirnya DPPM mendoakan semoga Dzulkefly Ahmad sekeluarga tabah menghadapi ujian yang melanda dan semga ujian ini akan menguatkan beliau dalam perjuangan ini. 

Disediakan oleh; 

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Thursday 2 February 2012

Jamuan Rakyat Kampung Baru bersama MB Selangor

Banner bantahan yang dinaikkan oleh penduduk Kampung Baru terhadap pengwujudan Akta Perbadan Pembangunan Kampung Baru oleh Menteri Dato' Raja Nong Chik.

MB Selangor, YAB Tan Sri Dato' Khalid Ibrahim meronda sekitar Kampung Baru, dengan berjalan kaki dari Masjid Jamek Kampung Baru ke tapak program jamuan bersama rakyat.

Banner bantahan yang dinaikkan oleh penduduk.

Kampung Baru yang berlatarkan belakang bangunan KLCC menjadi rebutan para kroni untuk mendapat habuan keuntungan yang berlipat kali ganda kerana tanah pemilik dan pewaris Kampung Baru bernilai tinggi.

YAB Tan Sri Khalid Ibrahim bersama Sdra. Ahmad Zamri, Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru sedang memberi taklimat dan menjawab persoalan yang dikemukakan oleh penduduk setempat.

Banner bantahan yang dinaikkan oleh penduduk di rumah masing-masing.

Sebahagian hadirin yang hadir bagi mendengar taklimat yang disampaikan oleh MB Selangor.

Hadirin sedang menjamu selera yang disediakan oleh penganjur.


Gambar sekitar pelancaran Gerakan Anak Muda Titiwangsa (GERAM)

Logo pada baju peserta Gerakan Anak Muda Titiwangsa (GERAM)

Peserta yang hadir di awal program

Dari kiri Sdra. Mohamad Suhaimi (Ketua Pemuda Pas Kawasan Titiwangsa), Sdra. Kamaruzaman Mohamad (Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan) dan Mejar (B) Ustaz Abdullah (Yang Dipertua Pas Kawasan Titiwangsa).

Peserta GERAM menyanyikan lagu Pas dan Amal.

Sdra Kamaruzzaman Mohamad menyampaikan ucapan dan melancarkan GERAM peringkat Titiwangsa.

Sdra Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi, Pengerusi Lujnah Undang-Undang Pemuda Pas Malaysia menyampaikan taklimat berkaitan undang-undang.


Jamil Khir Bakal Mengikut Jejak Khir Toyo?

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

JAMIL KHIR BAKAL MENGIKUT JEJAK KHIR TOYO? 
(2 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Datuk Seri Jamil Khir tampil memberi penjelasan di atas dakwaan terbaru seperti yang didedahkan oleh Sdr Mohd Nasaie Ismail, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bahawa beliau didakwa menggunakan wang Yayasan Taqwa untuk melaksanakan beberapa program di kawasan Jerai, Kedah.

DPPM melihat pendedahan ini amat berat kerana ia melibatkan nama baik dan reputasi beliau sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. DPPM merasakan jika benar dakwaan ini, ia merupakan suatu lagi skandal yang serius yang dilakukan oleh Datuk Seri Jamil Khir. Sebelum ini negara dihebohkan bagaimana dengan mudah dana zakat digunakan sebagai pendahuluan untuk membiayai kos guaman beliau bersama dua orang pegawainya.

Dalam dakwaan tersebut, dinyatakan bahawa dana daripada Yayasan Taqwa digunakan bagi melaksanakan beberapa program di kawasan Jerai, Kedah. Yayasan Taqwa pula adalah sebuah agensi yang berada di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan dananya adalah dari peruntukan MAIWP. Timbul persoalan adalah bagaimana wang Yayasan Taqwa boleh terlepas keluar sehingga sampai ke Jerai? Besar sangatkah dana yang sepatutnya dinikmati oleh umat Islam di Wilayah Persekutuan sehingga boleh sampai sehingga ke Jerai, Kedah? Lebih menggusarkan adalah beliau dikhabarkan akan bertanding di Parlimen tersebut, yang menyebabkan timbulnya tohmahan umum bahawa dana itu adalah untuk kegunaan peribadinya, bukan untuk rakyat. DPPM khuatir dakwaan ini akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap pemimpin-pemimpin negara kerana kerap terpalit dengan skandal yang memalukan.

Dalam hal ini, DPPM berpendapat Datuk Seri Jamil Khir perlu berterus terang dengan menjelaskan perkara sebenarnya dan membuktikan bahawa beliau tidak terlibat atau tidak menggunakan dana tersebut seperti yang didedahkan. Sebaliknya, jika beliau benar-benar menggunakannya, beliau perlu memohon maaf kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan dan mengembalikan dana yang digunakan di Parlimen Jerai kembali ke Yayasan Taqwa.

DPPM mengingatkan Datuk Seri Jamil Khir agar tidak mengikut jejak bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang telah didapati bersalah di mahkamah kerana kesalahan rasuah. Rakyat sedang memerhatikan setiap langkah beliau dan tidak mustahil beliau boleh terjerumus sama seperti Khir Toyo!

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Tergamak ada yang sanggup meletak kepala babi di masjid

KENYATAAN MEDIA
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN 
 
TERGAMAK ADA YANG SANGGUP MELETAK KEPALA BABI DI MASJID 
(2 Februari 2012) 

PAS Wilayah Persekutuan mengutuk tindakan pihak tertentu yang meletakkan kepala babi di Masjid Hidayah, Sentul semalam. Ia mengulangi episod setelah sebuah masjid di Rawang beberapa hari lepas menerima nasib yang sama apabila ada individu tidak bertanggungjawab melemparkan kepala babi di masjid tersebut. Pastinya tindakan ini bukan suatu kebetulan, melainkan perancangan licik dan jahat oleh mereka yang berhati syaitan. 

Bagi PAS WP, tindakan sedemikian merupakan suatu tindakan keterlaluan dan di luar batasan kemanusiaan. Meletakkan kepala babi di masjid seperti menghina rumah Allah dan agama Islam. Tindakan ini tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya ia akan mengundang kemurkaan Allah. 

Pelaku tindakan ini berniat jahat dengan menjadikan objek kepala babi sebagai bahan jenakanya bagi meruntun hati umat Islam. Orang ini seperti mahu mencetuskan sentimen ‘api perkauman’ atau keagamaan. PAS WP mengesyaki motif tindakan ini adalah untuk menghina dan mengguris hati umat Islam supaya umat Islam bangkit dan seterusnya akan menyebabkan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini tergugat. 

PAS WP bimbang sekiranya tindakan ini adalah suatu usaha berterusan bagi mencemarkan institusi penting umat Islam ini. Selepas ini, masjid mana pula akan menjadi mangsa dengan ‘serangan’ kepala babi seperti ini? Justeru itu, PAS WP meminta pihak polis mengambil tindakan segera dengan menyiasat petualang di sebalik kejadian-kejadian ini. Mereka yang terlibat perlu diambil tindakan tegas dan dihadapkan ke muka pengadilan. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pula diminta segera bertindak bagi memastikan keselamatan masjid-masjid di Wilayah Persekutuan terpelihara bagi mengelak kejadian sama berulang. 

Akhirnya, PAS WP bertegas bahawa tindakan ini adalah salah dan berdosa besar kerana ia mencemarkan rumah Allah SWT dan menghina agama Islam. Sekiranya individu yang melakukan perbuatan terkutuk tersebut adalah orang Islam, PAS WP meminta individu tersebut insaf dan bertaubat dengan segera. Tindakan ini bukan budaya masyarakat bertamadun di negara ini dan bukan ajaran Islam, dan rakyat sesekali tidak mengizinkan tindakan ini berlarutan. Jangan sampai umat Islam sendiri menangkap dan menghukum mereka yang terlibat dengan insiden ini! 

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan 
PAS Wilayah Persekutuan PAS Wilayah Persekutuan 

Wednesday 1 February 2012

PAS WP Ucap Selamat Menyambut Hari Wilayah.

KENYATAAN MEDIA 
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN 

SELAMAT MENYAMBUT HARI WILAYAH PERSEKUTUAN 
(1 Februari 2012) 

PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2012. 

Selayaknya warga Wilayah Persekutuan menyambut hari kebesaran mereka pada hari ini bagi meraikan usaha mereka bekerja keras membanting tulang dalam membangunkan Wilayah Persekutuan. Sebagai sebuah negeri dan menjadi ibu negara Malaysia pula, Wilayah Persekutuan tentunya menjadi perhatian dan tumpuan negara. Kepesatan negara hari ini ditentukan juga dengan kepesatan pembangunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kuala Lumpur sejak penubuhannya telah menjadi denyut nadi kepesatan dan pembangunan negara. 

Sumbangan warga Wilayah Persekutuan dalam memastikan kepesatan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia wajar dimartabat selayaknya. Pengorbanan dan sumbangan mereka menyumbang keringat, masa dan tenaga sehingga berjaya menjadikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepenting dan setaraf dengan bandaraya utama di dunia ini perlu diakui. Tanpa mereka sudah tentu Kuala Lumpur akan menjadi lesu, sepi dan tidak membangun seperti hari ini. 

Sempena hari WP, PAS WP meminta kerajaan membantu rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah sama ada pekerja di sektor kerajaan mahupun swasta. Umum mengetahui dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat, kesannya amat dirasai warga kota dan sukar bagi warga kota untuk terus hidup di ibu kota tanpa ada sokongan ‘luar’ bagi membantu meringankan hidup mereka. Kerajaan perlu memikirkan insentif khusus kepada mereka yang menetap di Kuala Lumpur seperti eluan khas yang tujuannya membantu meringkan beban mereka. Meskipun segelintir pekerja telah menikmati kemudahan ini, namun ramai juga yang tidak mendapat apa-apa bantuan terutama mereka yang bekerja sendiri ataupun bekerja di sektor swasta. 

Meskipun dengan kepesatan pembangunan, Wilayah Persekutuan masih memiliki kampung-kampung tradisi yang dihuni oleh penduduk asal ataupun peneroka awal yang berhijrah ke Kuala Lumpur. Lebih dari itu, kebanyakan penghuni kampung-kampung warisan adalah orang Melayu. Apa yang dikesalkan adalah penduduk kampung-kampung di sekitar Kuala Lumpur semakin terancam dengan pengusiran oleh pemaju-pemaju di atas nama pembangunan. Semakin banyak kampung yang dilenyapkan dalam peta bandaraya Kuala Lumpur, dan hanya tinggal nama dalam lipatan sejarah. Kampung Baru adalah tanda aras kepada permasalahan yang dihadapi oleh penduduk asal yang terpaksa menyerahkan nasib mereka ditentukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan pemaju tertentu. Tidak mustahil kampung lain seperti Kampung Padang Balang akan menyusul mengikut jejak Kampung Baru.

PAS WP benar-benar berharap kerajaan memelihara kampung-kampung warisan sekitar Wilayah Persekutuan bagi menjaga keaslian dan kepentingan penduduk asal. Istilah ‘mencemarkan kota’ tidak wujud sekiranya kampung-kampung ini dipelihara dengan baik sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara Barat. Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mesti menjamin tiada lagi usaha mengambil alih kampung-kampung, sebaliknya mesti menjaga hak dan kepentingan penduduk dengan memastikan keselamatan dan pemeliharaan kampung terbabit. 

Selain daripada itu, isu perumahan di bandaraya Kuala Lumpur merupakan isu besar yang perlu difikir dan ditangani secara serius oleh kerajaan. Rakyat sukar membeli rumah di sekitar bandaraya memandangkan kosnya amat tinggi berbanding dengan kawasan di luar bandaraya Kuala Lumpur. Kesannya, segelintir penduduk yang tidak mampu memiliki rumah terpaksa menetap di perumahan setinggan yang akhirnya mereka juga diusir kerana dianggap menetap di kawasan ‘haram’. Kampung Semarak, Kampung Berembang, Kampung Chubadak, Kampung Kerinchi, Indian Settelement di Kampung Pandan adalah mangsa kerakusan pembangunan ‘mapan’ kerajaan. Mereka akhirnya terpaksa memikirkan nasib dan masa depan mereka sendiri tanpa pembelaan yang sewajarnya. 

PAS WP mengharapkan kerajaan berusaha memberikan kemudahan terbaik kepada semua penduduk di Wilayah Persekutuan. Rakyat berhak dibantu untuk mendapatkan rumah-rumah di dalam atau kawasan sekitar Wilayah Persekutuan denga harga yang berpatutan. Selain dari Projek Perumahan Rakyat (PPR), rumah-rumah teres di taman perumahan juga perlu diusahakan dengan kawalan harga supaya rakyat berpendapatan sederhana dan rendah mampu memiliki rumah. 

PAS WP juga menggesa supaya kerajaan memastikan kejadian jenayah di Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur dapat diatasi. Dengan kadar jenayah di Wilayah Persekutuan semakin meningkat, ia menjadi suatu kerisauan kepada semua penduduknya. Ini menandakan Wilayah Persekutuan terutama Kuala Lumpur bukanlah destinasi yang selamat untuk dikunjungi. Kes-kes seperti penyalahgunaan dadah, bunuh, berzina, rogol, ragut, rempit, samun, rompak, curi kereta semakin menjadi-jadi dan pastinya ia amat membimbangkan semua pihak. 

Untuk itu, kerajaan perlu membanteras gejala sosial secara menyeluruh. PAS WP kesal kerana pusat-pusat hiburan, kelab malam, konsert-konsert, kedai judi dan menjual arak dibuka secara berleluasa tanpa pemantauan dan kawalan ketat. Gejala pelacuran dengan rumah-rumah urut beroperasi secara besar-besaran juga seakan menjadi lumrah di banyak tempat. PAS WP percaya antara usaha bagi mengurangkan jenayah adalah dengan mengawal pusat-pusat hiburan serta membanteras gejala sosial. 

Akhirnya, PAS WP mendoakan semoga warga Wilayah Persekutuan mendapat kesejahteraan, kemakmuran, keamanan dan hidup dalam masyarakat yang serba bertoleransi dan saling hormat menghormati. 

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan 
PAS Wilayah Persekutuan

JATI Sanggup Menebas Kemungkaran Umno?

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

JATI SANGGUP MENEBAS KEMUNGKARAN UMNO?
(1 Februari 2012)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Datuk Dr Hassan Ali benar-benar berperanan sebagai ‘kuasa ketiga’ dengan memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja-Raja dengan menubuhkan sebuah NGO –JATI dan tidak mewakili sentimen mana-mana pihak yang berkepentingan. 

DPPM mengalu-alukan sekiranya Dr Hassan benar-benar mahu menegakkan ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ tanpa mengira latar belakang sasarannya. Dalam hal ini, DPPM berpendapat JATI harus berdiri tegak atas platform nya sendiri dengan menjadi sebuah NGO yang bebas dari kongkongan mana-mana parti politik tertentu. Dr Hassan Ali sebagai pengemudinya harus bertindak rasional dalam memperjuangkan Islam di negara ini. Beliau tidak boleh memperpanjang sentimen isu pemecatannya kerana ia boleh dilihat sebagai agenda peribadi, bukan agenda umat Islam di negara ini. Beliau juga tidak boleh cenderung atau ‘bias’ kepada mana-mana pihak supaya dilihat benar-benar ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu. Jika tidak beliau hanya dilihat sebagai ‘budak suruhan’ kepada pihak tertentu terutama kepada parti pemerintah jika beliau hanya menjadikan Pakatan Rakyat dan pemimpinnya sebagai sasaran kecaman beliau. 

Apa yang menghairankan, beliau hanya menyerang pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, sedangkan kemungkaran lebih besar ada pada kuasa pemimpin utama di negara ini. DPPM kecewa kerana Dr Hassan Ali hanya melihat kesalahan yang ada dalam PAS dan menuduh segelintir pemimpin PAS sebagai ‘parasit’. Beliau juga agresif dalam menyerang PKR dan DAP. Namun kemungkaran besar dan ‘bapa parasit’ yang dilakukan oleh pemimpin UMNO-BN sedikitpun beliau tidak kisah. 

Jika betul beliau mahu memperjuangkan aqidah umat Islam, seharusnya UMNO terlebih dahulu dan patut diserang kerana ditangan pemimpin merekalah aqidah umat tergoncang. UMNO pemilik kuasa di negara ini telah memerintah berpuluh tahun dan mereka mempunyai kuasa dalam meluluskan Akta, Undang-Undang, dan penguatkuasaan di negara ini. Dr Hassan Ali elok bertanya kepada pemimpin UMNO apakah yang telah diperbuat setelah negara merdeka sekian lama, masalah aqidah umat Islam masih merupakan masalah utama kepada umat Islam. Cuba tanya pemimpin UMNO, mahukah mereka melaksanakan Hukum Islam secara menyeluruh dan bila lagi ianya hendak dilaksanakan? 

Jika pemimpin Pakatan Rakyat dituduh sebagai ejen Israel, Dr Hassan juga perlu menyemak latar belakang UMNO dan pemimpinnya. Mungkin JATI boleh menyemak penglibatan APCO di negara ini dan kaitannya dengan Israel serta syarikat AsiaSoft sebagai mengawal sistem komunikasi PDRM. Cuba semak siapa dibelakang syarikat ini dan kaitannya dengan Israel. 

Selain itu, isu penyelewengan wang zakat oleh pemimpin umat Islam wajar diberikan perhatian dan mesti dijadikan agenda bertindak oleh JATI. Wang zakat adalah milik asnaf umat Islam dan tidak wajar pemimpin umat Islam menyalahgunakan wang tersebut. 

DPPM mengajak JATI untuk turut lantang membantah isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah kerana ia juga adalah suatu ‘amar ma’aruf nahi mungkar’ yang perlu ditegakkan di negara ini. DPPM menasihatkan JATI dan Dr Hassan Ali supaya jangan mengambil sikap ‘semut seberang lautan nampak, tetapi gajah didepan mata tidak kelihatan’. Jika tidak, gelagat beliau dalam perjuangan JATI hanya menjadi bahan gelak ketawa rakyat sahaja. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
 Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Anwar Dituduh Ejen Israel, Umno Bagaimana?

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

ANWAR DITUDUH EJEN ISRAEL, UMNO PULA MACAMANA? 
 (31 Januari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Tun Dr Mahathir supaya tidak memutar belitkan fakta sebelum membaca sebenar kenyataan yang diucapkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hakikatnya, beliau perlu melihat dan membaca kenyataan tersebut secara jujur sebelum sesuatu ‘hukuman’ dijatuhkan terutama kepada musuh politik beliau sendiri. 

DPPM mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya melihat dulu ke cermin dahulu sebelum menuding jari menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel. Jika ejen Israel dengan mudah dilemparkan kepada Ketua Pembangkang, bagaimana pula dengan UMNO dan Barisan Nasional? Adakah Tun Dr Mahathir lupa segala hubungan dan keintiman beliau semasa menjadi perdana Menteri dan selepas peninggalan beliau? 

Sejarah membuktikan secara fakta bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri Dr Mahathir pernah mengupah Jack Abramoff, seorang ahli lobi Zionis sebanyak AS$1.2 juta untuk mengatur pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat George W. Bush. Abramoff pula dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Bush dan juga golongan ekstrem di Israel. Apakah Tun Dr Mahahtir mahu menafikan hakikat itu? 

Tun Dr Mahathir juga jangan melupakan bagaimana legasi peninggalannya, partinya mengupah APCO Worldwide, sebuah syarikat perunding imej berpangkalan di Amerika Syarikat sebanyak RM20 juta untuk memulih imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Rakyat kemudiannya didedahkan bahawa dibelakang APCO adalah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel. Apakah suatu kebetulan APCO menasihatkan kerajaan untuk menjulang gagasan 1Malaysia yang bersamaan pula dengan gagasan 1Israel di Negara Israel. APCO juga dilaporkan terlibat secara langsung dalam menentukan strategi 100 hari pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuklah mesej dan dasar utama seperti 1Malaysia dan inisiatif yang lain. 

Apakah pendirian Tun Dr Mahathir pula terhadap pelantikan sebuah syarikat Asiasoft (M) Sdn. Bhd dalam sistem komunikasi PDRM. Syarikat ini adalah milik penuh kepada syarikat tunggalnya iaitu Asiasoft Pte. Ltd. yang berpengkalan di Singapura. Yang amat mencurigakan adalah penyelidik syarikat yang bertanggungjawab membina sistem itu yang dikenalpasti sebagai Izhak David Naskar, seorang bekas tentera Israel yang berkhidmat sebagai programmer semasa di Israel. Malah penyelidik tersebut masih lagi mempunyai kewarganegaraan Israel. 

Paling membimbangkan ialah Izhak adalah ‘pakar’ sistem komputer yang telah memenangi anugerah daripada Kementerian Pertahanan Israel. Malah beliau juga bertanggungjawab membina sistem risikan berteknologi tinggi untuk pasukan pertahanan Israel sekitar 1970 hingga 1987. Seorang lagi rakan Izhak yang bertanggungjawab membina sistem komunikasi PDRM ialah Ido Sccheschter juga merupakan rakyat Israel dan masih lagi menjadi tentera Israel yang sah bukannya tentera pencen. 

Sebaiknya Tun Dr Mahathir turut lantang mengkritik dasar partinya sebagaimana beliau lantang menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak ada gunanya beliau menghentam pihak pembangkang yang kononnya ‘ejen Israel’ sedangkan partinya sendiri terpalit penuh dengan ‘akrab’ hubungan mereka dengan Israel. Sikap hipokrasi seperti ini amat dibenci oleh rakyat yang melihat sikap Tun Dr Mahathir bermotifkan politik sempit semata-mata. 

Dalam keadaan demikian, DPPM tetap bertegas sejak dahulu tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel biarkan siapa yang mendokongnya. Isu Palestin adalah isu umat Islam dan menjadi tanggungjawab setiap umat Islam memperjuangkan negara Palestin yang merdeka, serta menafikan hak dan kewujudkan Israel. DPPM sependapat dengan semua umat Islam bahawa Israel adalah sebuah negara haram yang wajib diperangi atas kezaliman yang mereka lakukan. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Rosmah Mansur Jadi Budak Suruhan Raja Rezza Shah?

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

ROSMAH MANSOR JADI BUDAK SURUHAN RAJA REZZA SHAH? 
(31 Januari 2012) 

Dewan pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat penjelasan Pengerusi Festival Fesyen Islam (IIF) Raja Rezza Shah melalui kenyataan beliau di media berhubung dakwaan perbelanjaan mewah Datin Seri Rosmah Mansor di Australia adalah jawapan melepas diri semata-mata bagi mengelak lebih banyak spekulasi buruk menimpa isteri Perdana Menteri itu. Menurut kenyataan Raja Rezza Shah, Datin Seri Rosmah Mansor tidak berbelanja sakan seperti yang didakwa ramai pihak, sebaliknya pakaian yang dibeli adalah stok untuk bekalan sebuah kedainya di London. 

DPPM menganggap jawapan yang diberikan oleh Raja Rezza Shah adalah jawapan lucu dan pelik. Beliau turut mengakui mengikuti rombongan Perdana Menteri dan isterinya ke Australia dalam kenyataannya itu. Persoalannya, bagaimana Raja Rezza Shah mendapat suatu keistimewaan boleh bersama-sama rombongan Perdana Menteri dan isteri ke Australia dalam suatu urusan kerajaan. Apa kelebihan beliau kepada Perdana Menteri sehingga beliau turut diundang bersama dalam rombongan tersebut? 

Persoalan kedua, bagaimana Datin Seri Rosmah boleh ‘menolong’ membeli 61 helai pakaian bagi pihak Raja Rezza Shah untuk stok kedainya di London. Seolah-olah Datin Seri Rosmah menjadi ‘budak suruhan’ Raja Rezza Shah untuk membeli pakaian di butiknya. Begitu hebatnya beliau sehingga boleh ‘mengarah’ atau ‘meminta tolong’ Datin Seri Rosmah membeli 61 helai pakaian untuk stok di kedainya? 

Jika beliau menyatakan pembelian tersebut adalah untuk stok butik kedainya di London, ini menunjukkan beliau menggunakan kepentingan peribadi melalui kabel politik pemimpin besar negara. Bagi DPPM, beliau tidak sepatutnya dibenarkan mengiringi rombongan PM dan isteri ke Australia kerana tujuan lawatan itu adalah kerana urusan rasmi kerajaan, sementara beliau menggunakan kesempatan rombongan ini untuk meraih kepentingan peribadi. 

Selain itu, Datin Seri Rosmah Mansor berkali-kali menafikan membuat pembelian tersebut dan menganggap ia sebuah fitnah yang direka-reka. Sedangkan penjelasan Raja Rezza Shah mengesahkan pembelian 61 helia pakaian itu benar-benar dibuat. Mengapa Datin Seri Rosmah Mansor tidak mengakui lebih awal atau terus meminta Raja Rezza Shah menjawab bagi pihaknya? Sudah hampir dua minggu tohmahan itu berlegar di kalangan rakyat, baru sekarang penjelasan diberikan. 

Jawapan Raja Rezza Shah bukan meleraikan dakwaan ‘pemborosan wang di luar negara’ Datin Seri Rosmah Mansor, sebaliknya lebih menjejaskan reputasi Datin Seri Rosmah. Lebih banyak penjelasan dituntut dari isteri PM itu berhubung rombongan beliau itu. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.