Tuesday, 29 January 2013

Panasss! Umno Titiwangsa mengaku guna dewan orang ramai sebagai bilik gerakan Umno!

UMNO TITIWANGSA MENGESAHKAN SALAH GUNA DEWAN ORANG RAMAI

Oleh: AHMAD ZAMRI ASA’AD KHUZAIMI ( Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa)

Saya membaca respons Datuk Johari Abdul Ghani, Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa di dalam akhbar Sinar Harian semalam apabila kenyataan saya mengenai penyalahgunaan dewan orang ramai di Parlimen Titiwangsa oleh UMNO bahagian disiarkan. Kenyataan Datuk Johari menyebut bahawa dewan-dewan itu hanya digunakan untuk Majlis Perasmian Gerak Kerja Pilihanraya di Zon Kampung Bharu, Zon Datuk Keramat, dan Zon Kampung Pandan dan bukannya bilik gerakan. 

Kenyataan Datuk Johari telah mengesahkan bahawa UMNO sememangnya telah menggunakan dewan-dewan tersebut untuk kegiatan parti mereka. Jika dewan tersebut digunakan hanya untuk majlis perasmian Gerak Kerja Pilihanraya, sudah tentu perasmian tersebut hanya memakan masa beberapa jam atau paling lewat sehari sahaja. Tetapi mengapa sehingga sekarang bendera UMNO-BN masih terpasang sekitar dewan-dewan manakala banner tertulis perasmian Bilik Gerakan masih digantung di depan dewan? Dalam erti kata lain, mengapa sehingga sekarang UMNO masih tidak kosongkan kesemua dewan-dewan orang ramai yang digunakan mereka? 

Tambahan pula, jika mereka menggunakan premis awam ini untuk majlis Perasmian Gerak Kerja Pilihanraya sahaja, mengapa pula dewan ini telah digunakan sejak bertahun dahulu? Isu penggunaan dewan oleh UMNO bukan sehari dua ini muncul, tetapi telah berbangkit sejak sekian lama. Malah Almarhumah Dr Lo’ Lo’ Datuk hj Ghazali selaku Ahli Parlimen Titiwangsa pernah membangkitkan perkara ini tetapi tiada reaksi apa-apa dari UMNO Bahagian. Saya mengambil inisiatif mendedahkan perkara ini kerana terlalu banyak rungutan daripada penduduk mengenai penyalahgunaan dewan orang ramai oleh UMNO Bahagian. Apakah Datuk Johari tidak menyedari perkara ini dan apakah beliau tidak merasa malu dengan tindakannya? 


 Klik untuk besarkan imej (Sumber: Sinar Harian)


Jika UMNO Titiwangsa dikatakan banyak membantu membiayai kos penyelenggaraan dewan-dewan orang ramai, sepatutnya mereka menjadikan dewan tersebut benar-benar diduduki oleh orang ramai untuk kepentingan rakyat, bukannya untuk UMNO. Banner, bendera serta dan sepanduk yang terpacak di depan dewan-dewan ini menjadikan orang ramai semakin takut untuk menghampirinya. Ini bukannya untuk membantu rakyat, tetapi lebih menyusahkan rakyat. Rakyat pasti merasa kesal kerana dewan komuniti yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti masyarakat seperti kenduri kendara tidak dapat digunakan kerana diambil alih oleh UMNO. 

Saya ingin mengingatkan UMNO Titiwangsa bahawa penyalahgunaan mana-mana premis awam untuk kepentingan parti politik dalam pilihanraya adalah suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. Mengikut tafsiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penyalahgunaan premis awam untuk kepentingan parti politik dianggap sebagai salahguna kuasa dan boleh diambil tindakan. 

Justeru, saya sekali lagi mencabar Datuk Johari dan UMNO Titiwangsa supaya segera mengosongkan dewan komuniti atau dewan orang ramai untuk kegunaan orang ramai. Carilah mana-mana premis eksklusif dengan biaya parti sendiri sebagaimana PAS lakukan. Mari kita bertanding di pentas politik pilihanraya di atas padang yang sama rata, baru kenal langit itu tinggi atau rendah.


.

Monday, 28 January 2013

Zamri selami suara hati peniaga di pasar Chow Kit

Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Titiwangsa telah menganjurkan program sarapan dan ziarah mesra ke pasar Chow Kit. Program yang diadakan pada pagi 26 Januari (Sabtu) ini diketuai oleh Penyelaras PKWR, Tuan Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan diiringi oleh petugas-petugas PAS Cawangan Chow Kit.

Antara rungutan peniaga-peniaga ialah laluan pejalan kaki yang sempit dan lantai pasar yang rosak dan banyak lopak. Selain itu, saluran pembuangan sisa bahan mentah juga tidak sempurna dan kebocoran bumbung yang menyebabkan pasar menjadi lecak apabila hujan. 

Ahmad Zamri turut bertanya khabar pengunjung dan penduduk tempatan yang datang membeli belah di pasar Chow Kit.

Pasar Chow Kit merupakan sebuah pasar yang bersejarah dan berusia puluhan tahun. Malah, lokasi ini turut merakamkan peristiwa bersejarah iaitu konsert Allayarham Sudirman yang mengumpulkan hampir 100,000 peminatnya. Di sinilah Surdiman menyanyikan lagu Chow Kit Road.

Rata-rata para peniaga melahirkan rasa bimbang dengan pembangunan yang dikatakan akan dilaksanakan di kawasan ini dan akan menyebabkan para peniaga kehilangan ruang berniaga mereka.


 Petugas berkumpul untuk memulakan program ziarah mesra di pasar Chow Kit. Turut kelihatan ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Titiwangsa, Mejar (B) Ust Abdullah.


Ahmad Zamri bertemu dengan peniaga ikan di pasar Chow Kit.





Ketibaan Ahmad Zamri diiringi petugas Cawangan Chow Kit sebelum bertemu dengan para peniaga.




 Bertanya khabar pengunjung..




.

Kaunter semakan daftar pemilih di Pasar Maluri


Petugas Zon Pandan meneruskan lagi siri penerangan dan perkhidmatan semakan daftar pemilih, kali ini bertempat di Pasar Maluri. 

Program berkala ini diambil sebagai langkah untuk meningkatkan kepekaan penduduk tempatan bahawa pilihanraya umum akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. Selain itu, risalah penerangan Suara Rakyat TItiwangsa dan Kalendar 2012 yang telah diedarkan kepada orang ramai. 

PAS Titiwangsa komited untuk mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa dan meneruskan perjuangan yang diwarisi oleh Almarhumah Dr. Lo’ Lo’ terutama dalam isu mempertahankan tanah Melayu Kampung Baru dan beberapa isu lain termasuk isu kos sara hidup yang dihadapi oleh warga kota. 

.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.