Friday 2 March 2012

Hubungan Dagang Malaysia-Israel : Umno Perlu Perjelaskan Kepada Rakyat.

KENYATAAN MEDIA 
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN 

HUBUNGAN DAGANG MALAYSIA- ISRAEL : UMNO PERLU PERJELASKAN KEPADA RAKYAT! 
(1 Mac 2012 / 8 Rabiulakhir 1433) 

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) melahirkan rasa terkejut dengan pendedahan suatu maklumat di Harakahdaily pada hari ini yang mendakwa bahawa Malaysia telah berdagang dengan negara haram Israel sejak tahun 2001 lagi ataupun lebih awal dari itu. 

Maklumat yang dikutip dari Data Statistik Perdagangan Komoditi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menunjukkan, pada tahun 2001 sahaja, Malaysia telah mengimport USD615.924 juta (RM1,847 juta) barangan Israel. Pada tahun itu, Malaysia telah mengeksport USD26.553 juta (RM79.65 juta) barangannya ke negara haram itu. Pada tahun 2010, Malaysia mengimport USD798.069 juta (RM2,394 juta) barangan Israel berbanding USD85.129 juta (RM255.38 juta) barangan yang dieksport Malaysia ke Israel. Malaysia pula dicatatkan menjadi negara ke 18 di dunia yang menerima barangan eksport dari Israel dengan Amerika menjadi negara paling banyak menerima barangan dari negara haram itu. Dengan kedudukan ke 18, nilai eksport Israel ke Malaysia jauh lebih tinggi berbanding Cyprus yang berrada di kedudukan ke-19, Kanada (20), Taiwan (21), Japan (22), Australia (23), Singapura (24) dan Thailand (25). 

PAS WP berpandangan, kedudukan ini menunjukkan bahawa Malaysia benar-benar serius mengadakan hubungan dengan Israel. Dengan fakta yang dikemukakan ini, apakah alasan lain yang boleh diberikan oleh pemimpin UMNO bagi menafikan maklumat ini. PAS WP merasa sedih kerana pemimpin UMNO tidak menjaga sensitiviti umat Islam dunia dan negara ini. Dalam keadaan umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan terhadap rejim Zionis yang zalim dan kejam itu, Malaysia pula tanpa segan silu mengadakan hubungan langsung dengan Israel. 

 Soalnya, apakah pemimpin UMNO menyedari perkara ini, atau pura-pura tidak sedar? Tidakkah mereka berfikir, wang yang dilaburkan hasil perniagaan tersebut boleh digunakan oleh Israel untuk membeli peluru buat membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa? Kemana perginya suara Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku penasihat agama kepada Perdana Menteri, bersama ulama’-ulama’ di dalam UMNO untuk menasihati Perdana Menteri agar tidak berhubungan dengan Israel? 

 Apa yang dikesalkan adalah, pemimpin UMNO-BN selama ini menuduh Pakatan Rakyat dan pemimpinnya sebagai ejen Israel. Mereka mempolitikkan isu Israel dan Palestin dengan membesar-besarkan isu ini di khalayak, seolah-olah mereka adalah pejuang sebenar rakyat Palestin, manakala pemimpin Pakatan Rakyat pula bersekongkol dengan rejim itu. Apa yang berlaku menunjukkan sebenarnya pemimpin UMNO adalah hipokrit, di depan rakyat ‘marah bukan main’ dengan rejim itu, di belakang pula bersalaman dan adakan hubungan langsung. 

Justeru itu, PAS WP merasakan UMNO tidak layak melaungkan perjuangan rakyat Palestin. PAS WP juga merasa yakin umat Islam di negara ini pasti tidak boleh menerima hakikat bahawa Malaysia sudah menjalin hubungan dengan Israel sejak sekian lama dan menolak pemimpin umat Islam seperti ini. 

Disediakan oleh; 

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan 
PAS Wilayah Persekutuan 

Umno Juga Gembira Bila Tol Dihapuskan

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

UMNO JUGA GEMBIRA BILA TOL DIHAPUSKAN 
(2 Mac 2012 / 9 Rabiulakhir 1433) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan kerajaan menghapuskan bayaran tol RM 1 di Plaza Tol Batu 9 menghala Kuala Lumpur dan 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala Kajang menunjukkan bahawa kerajaan sebenarnya mampu untuk menghapuskan tol di negara ini jika berbuat demikian. Tindakan kerajaan ini membuktikan bahawa kerajaan tidak rugi sekiranya tol-tol di negara ini dihapuskan sebagaimana dakwaan pemimpin mereka sebelum ini.

Ini juga membuktikan bahawa perjuangan Pakatan Rakyat selama ini yang berusaha menghapuskan tol di negara ini sebenarnya adalah benar dan tidak sia-sia. Janji di dalam Buku Jingga bukanlah suatu retorik atau janji palsu, tetapi merupakan realiti yang mampu dilakukan sekiranya kerajaan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. 

Namun demikian, DPPM merasa kesal kerana kerajaan tidak bersedia menghapuskan bayaran tol secara keseluruhan di kawasan terbabit. Pengurangan sebanyak 50 peratus dianggap sebagai suatu kejayaan besar kepada negara dengan publisiti meluas seolah-olah mereka telah mendapat kemenangan yang dramatik. Hakikatnya pencapaian kerajaan tidaklah boleh dibanggakan sangat memandangkan mereka hanya mampu mengurangkan bayaran sebanyak 50 peratus. Itupun keputusan ini diambil setelah bertahun-tahun lamanya pengguna lebuh raya di kawasan terbabit menanggung bebanan membayar tol. 

Sedangkan Pakatan Rakyat (PR) telah berjanji sekiranya PR memenangi Putrajaya dalam PRU ke 13 nanti, keseluruhan kadar tol di kawasan terbabit malah di seluruh negara akan dihapuskan. Malah, PR telah mengkaji implikasi terhadap syarikat konsesi tol dan merasa yakin, tol secara keseluruhannya mampu untuk dihapuskan. 

DPPM melihat sendiri bagaimana sorakan ahli dan pemimpin UMNO apabila tol di kawasan tersebut diumumkan dihapuskan semalam. Ia bererti ahli dan pemimpin UMNO sendiri bersetuju bahawa tol adalah suatu bebanan kepada rakyat dan bergembira apabila tol dihapuskan atau dikurangkan. Jika demikian, sudah tentu mereka akan merasa lebih puas jika Pakatan Rakyat pula yang telah berjanji sekarang akan menghapuskannya apabila mendapat mandat kerajaan kelak. 

Oleh itu, DPPM mencabar kerajaan supaya mengkaji balik semua perjanjian dengan syarikat konsesi tol dan mengumumkan kepada rakyat bila untuk dihapuskan tol di kesemua lebuhraya secara berperingkat. Jika tidak, mereka dianggap masih gagal menambat hati rakyat serta tidak mampu menandingi kemampuan Pakatan Rakyat dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. 

Disediakan oleh; 

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Tiada Erti Lapangan Terbang Taraf Dunia Jika MAS Terpaksa Gulung Tikar

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

TIADA ERTI LAPANGAN TERBANG TARAF DUNIA JIKA MAS TERPAKSA GULUNG TIKAR 
(1 Mac 2012 / 8 Rabiulakhir 1433) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak kerajaan melakukan sesuatu bagi mengelakkan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) terus mengalami kerugian. Dalam laporan terbaru menunjukkan MAS mencatat kerugian untuk tahun 2011 sebanyak RM2.52 bilion. 

DPPM mempersoalkan mengapa syarikat tersebut mengalami kerugian begitui banyak untuk tahun lepas. Apakah ia berpunca dari kelemahan dari segi urus tadbir dan strategi perniagaan yang tidak berkesan. Keadaan ekonomi global yang tidak berkembang dengan sihat tidak boleh dijadikan alasan mengapa MAS rugi kerana banyak lagi syarikat penerbangan negara serantau mencatat keuntungan yang baik. 

Bagi DPPM, MAS perlu dipulihkan bagi menyelamatkannya dari terus mengalami kerugian. MAS adalah sistem penerbangan utama negara, justeru ia tidak patut dibiarkan gulung tikar. Mungkin pihak pengurusan MAS belajar dengan syarikat penerbangan seperti Air Asia yang terus cemerlang dengan keuntungan. Air Asia yang baru ditubuhkan beberapa tahun lepas dan hanya mempunyai operasi perniagaan yang lebih kecil mampu membina empayar kejayaan mereka. Apakah rahsia kejayaan ini sehingga mampu melakar kejayaan bermakna sebaliknya MAS pula menanggung kerugian. 

MAS adalah identiti penerbangan utama negara, kegagalan MAS bererti kegagalan negara dalam melahirkan syarikat penerbangan bertaraf dunia. Imej negara pula akan jatuh di peringkat antarabangsa kerana gagal mengurus syarikat penerbangannya setanding dengan syarikat penerbangan negara-negara lainnya. 

Tidak ada ertinya kehebatan lapangan terbang negara ini bertaraf dunia dan mendapat pengiktirafan antarabangsa sekiranya syarikat yang menguruskan sistem penerbangan utama negara pula gagal menempatkan kedudukannya. Rakyat Malaysia pastinya malu apabila mendengar MAS terus mencatat kerugian buat beberapa tahun lagi dan akhirnya terpaksa menggulung tikar dan menyerah kalah. Apakah lagi kebanggan rakyat Malaysia pada industri penerbangan negara? 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.