Friday 2 March 2012

Hubungan Dagang Malaysia-Israel : Umno Perlu Perjelaskan Kepada Rakyat.

KENYATAAN MEDIA 
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN 

HUBUNGAN DAGANG MALAYSIA- ISRAEL : UMNO PERLU PERJELASKAN KEPADA RAKYAT! 
(1 Mac 2012 / 8 Rabiulakhir 1433) 

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) melahirkan rasa terkejut dengan pendedahan suatu maklumat di Harakahdaily pada hari ini yang mendakwa bahawa Malaysia telah berdagang dengan negara haram Israel sejak tahun 2001 lagi ataupun lebih awal dari itu. 

Maklumat yang dikutip dari Data Statistik Perdagangan Komoditi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menunjukkan, pada tahun 2001 sahaja, Malaysia telah mengimport USD615.924 juta (RM1,847 juta) barangan Israel. Pada tahun itu, Malaysia telah mengeksport USD26.553 juta (RM79.65 juta) barangannya ke negara haram itu. Pada tahun 2010, Malaysia mengimport USD798.069 juta (RM2,394 juta) barangan Israel berbanding USD85.129 juta (RM255.38 juta) barangan yang dieksport Malaysia ke Israel. Malaysia pula dicatatkan menjadi negara ke 18 di dunia yang menerima barangan eksport dari Israel dengan Amerika menjadi negara paling banyak menerima barangan dari negara haram itu. Dengan kedudukan ke 18, nilai eksport Israel ke Malaysia jauh lebih tinggi berbanding Cyprus yang berrada di kedudukan ke-19, Kanada (20), Taiwan (21), Japan (22), Australia (23), Singapura (24) dan Thailand (25). 

PAS WP berpandangan, kedudukan ini menunjukkan bahawa Malaysia benar-benar serius mengadakan hubungan dengan Israel. Dengan fakta yang dikemukakan ini, apakah alasan lain yang boleh diberikan oleh pemimpin UMNO bagi menafikan maklumat ini. PAS WP merasa sedih kerana pemimpin UMNO tidak menjaga sensitiviti umat Islam dunia dan negara ini. Dalam keadaan umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan terhadap rejim Zionis yang zalim dan kejam itu, Malaysia pula tanpa segan silu mengadakan hubungan langsung dengan Israel. 

 Soalnya, apakah pemimpin UMNO menyedari perkara ini, atau pura-pura tidak sedar? Tidakkah mereka berfikir, wang yang dilaburkan hasil perniagaan tersebut boleh digunakan oleh Israel untuk membeli peluru buat membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa? Kemana perginya suara Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku penasihat agama kepada Perdana Menteri, bersama ulama’-ulama’ di dalam UMNO untuk menasihati Perdana Menteri agar tidak berhubungan dengan Israel? 

 Apa yang dikesalkan adalah, pemimpin UMNO-BN selama ini menuduh Pakatan Rakyat dan pemimpinnya sebagai ejen Israel. Mereka mempolitikkan isu Israel dan Palestin dengan membesar-besarkan isu ini di khalayak, seolah-olah mereka adalah pejuang sebenar rakyat Palestin, manakala pemimpin Pakatan Rakyat pula bersekongkol dengan rejim itu. Apa yang berlaku menunjukkan sebenarnya pemimpin UMNO adalah hipokrit, di depan rakyat ‘marah bukan main’ dengan rejim itu, di belakang pula bersalaman dan adakan hubungan langsung. 

Justeru itu, PAS WP merasakan UMNO tidak layak melaungkan perjuangan rakyat Palestin. PAS WP juga merasa yakin umat Islam di negara ini pasti tidak boleh menerima hakikat bahawa Malaysia sudah menjalin hubungan dengan Israel sejak sekian lama dan menolak pemimpin umat Islam seperti ini. 

Disediakan oleh; 

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan 
PAS Wilayah Persekutuan 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.