Wednesday 9 May 2012

Mengapa Syor Bersih 2.0 Ditolak?

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

 MENGAPA SYOR BERSIH 2.0 DITOLAK 
(7 Mei 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus menyerang Perhimpunan Bersih 3.0, dengan dakwaan pembangkang menolak perhimpunan di dalam stadium serta mahu menggugat keamanan dan keselamatan negara. 

DPPM melihat Datuk Seri Najib keliru dengan kenyataannya yang mungkin kerana tekanan yang begitu kuat diterima oleh beliau oleh rakyat yang bangkit menentang beliau. Beliau mungkin bercakap dalam keadaan panik kerana suasana yang tidak memihak kepada beliau, lalu terpaksa mancari isu untuk di kambing hitamkan.

Dalam hal ini, PM sepatutnya menyedari apakah tuntutan Bersih 2.0 dan mengapa pula Bersih 2.0 memilih perhimpunan aman. Perhimpunan aman diadakan setelah hampir semua proses rundingan bagi mencari penyelesaian tidak dilaksanakan. Oleh kerana pelbagai desakan telah dibuat, daripada pertemuan, mesyuarat, serahan memorandum, dialog, bantahan umum, pendedahan di media, akhirnya Bersih 2.0 memilih perhimpunan bagi menyampaikan isi hati mereka. Perhimpunan 3.0 sebenarnya adalah opsyen terakhir bagi rakyat bagi menyelamatkan PRU ke 13 daripada dicemari oleh penipuan terancang secara beras-besaran. Ia pula diadakan secara aman dan tenteram dengan tema ‘duduk bantah’ bagi menggambarkan rakyat hadir secara rileks dan tenang. 

Bersih 2.0 pula telah memilih lokasi Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunannya. DPPM tidak menganggap Dataran Merdeka sebagai kawasan haram dan berbahaya bagi rakyat kerana sudah berpuluh tahun ia disitu dan telah bermacam aktiviti diadakan di sana. Jika alasan kesesakan jalan raya dijadikan punca, kerajaan boleh mengeluarkan notis penutupan jalan serta melencongkan jalan kepada pengguna trafik, sama seperti aktiviti lain yang diadakan di situ. DPPM merasa hairan, mengapa PM tidak bersedia menghormati keputusan dan kehendak Bersih 2.0 untuk adakan perhimpunan aman di Dataran Merdeka. 

Dalam pada itu, kerajaan pula memberikan option di stadium yang tidak digemari oleh Bersih 2.0. PM merasa marah kepada Perhimpunan Bersih 3.0 kerana tidak memilih stadium, sebaliknya duduk di tempat awam di Dataran Merdeka. Tetapi PM tidak pernah melihat dirinya menjadi punca kemarahan rakyat kerana tidak berusaha mereformasi sistem pilihan raya. Samalah juga seperti kerajaan menolak syor dan cadangan Bersih 2.0, serta tidak melaksanakan tuntutan rakyat. Sedangkan Bersih 2.0 telah memberikan kerajaan pelbagai option supaya memperbaiki sistem pilihan raya. 

Justeru, DPPM meminta PM untuk melihat ke cermin bagi menilik diri beliau sendiri. Jika PM tidak lagi mahu rakyat turun ke perhimpunan aman di jalan raya, hanya satu option yang beliau boleh lakukan, iaitu perbaiki segera sistem pilihan raya sebelum PRU 13. Rakyat sudah semakin cerdik dan tidak rela harungi Pru ke 13 dengan siri pemipuan sekali lagi. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.