Wednesday 9 May 2012

Berita Lucah Disiar, Skandal Rasuah PM Disenyapkan

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

BERITA LUCAH DISIAR, SKANDAL RASUAH PM DISENYAPKAN 
(8 Mei 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar media arus perdana di Malaysia untuk menyiarkan berita dan maklumat mengenai skandal kapal selam Scorpene serta dakwaan rasuah USD 1 bilion terhadap Perdana Menteri Malaysia yang sedang hangat di bicarakan di mahkamah Perancis sekiranya media-media utama negara ini benar-benar bebas dari kongkongan UMNO-BN. 

Bagi DPPM, berita mengenai skandal ini lebih penting untuk difokus kerana ia melibatkan maruah pemimpin tertinggi negara. Maklumat dan berita ini amat berharga memandangkan faktanya diyakini benar kerana sedang dalam proses pendakwaan di mahkamah. Mustahil mahkamah Perancis mengambil fakta berbaur fitnah yang tidak ada nilai kerana mereka mempunyai kredibiliti yang perlu dijaga. Ia lebih baik daripada berita fitnah mengenai aksi lucah terhadap pemimpin Pakatan Rakyat. 

DPPM hairan, mengapa tidak sedetik pun media perdana di Malaysia memaparkan berita seperti ini sedangkan media antarabangsa sedang heboh membicarakannya. Mungkinkah media-media telah diarahkan oleh kerajaan untuk menapis dan tidak menayangkan walau sesaat berita ini supaya rakyat di negara ini tidak tahu menahu berita mengenainya? Sebaliknya agak pelik apabila media diberikan ‘lampu hijau’ untuk memaparkan berita fitnah berunsur lucah terhadap pemimpin PR. Adakah ia bagi mengalih isu utama yang sedang membelit pemimpin negara? 

Jika fakta ini benar, DPPM berasa amat kecewa kerana media di negara ini masih diperkudakan sedemikian rupa demi kepentingan pihak penguasa. Ini menunjukkan bahawa demokrasi di Malaysia hanyalah khayalan yang diimpikan. Tidak hairanlah jika rakyat sanggup bangkit berhimpun bagi mendesak sebuah sebuah demokrasi yang yang tulen. 

Akhirnya, DPPM menegaskan bahawa tugas media adalah memaparkan kebenaran untuk maklumat dan pengetahuan rakyat. Kebenaran perlu disingkap meskipun ia amat pahit untuk ditelan dan melibatkan pemimpin tertinggi negara. Media perlu dibebaskan dari pengaruh mana-mana pihak supaya mereka dapat membuat liputan secara adil. DPPM yakin, media akan mendapat kebebasan sepenuhnya hanya jika Pakatan Rakyat memerintah kelak. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
 Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.