Wednesday 9 May 2012

Tuduhan TGNA Kafir: Mana Suara Majlis Fatwa?

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

TUDUHAN TUAN GURU NIK AZIZ KAFIR : MANA SUARA MAJLIS FATWA? 
  (8 Mei 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menarik balik kenyataannya yang menuduh YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bapa kafir kerana menyesatkan umat Islam dengan menyatakan bahawa menyertai perhimpunan Bersih 3.0 sebagai suatu jihad. Kenyataan Tan Sri Rahim Noor telah disiarkan di New Straits Times (NST) pada hari ini. 

Bagi DPPM, tuduhan Tan Sri Rahim amat keterlaluan dan bersifat kurang ajar. Beliau dengan semberono menuduh ulama’ seperti YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebagai kafir dan menyesatkan. Menuduh seseorang itu kafir adalah tuduhan yang berat, terlebih lagi jika yang dituduh itu adalah alim ulama’. 

Soalnya, siapakah Tan Sri Rahim untuk menghukumkan YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebagai sesat dan kafir? Apakah latar belakang beliau jika hendak dibandingkan dengan ulama’ ini dan sejauh mana kefahaman Islam beliau sehingga boleh mengeluarkan pandangan seseorang itu sesat atau betul? 

Kenyataan beliau dengan jelas menghina institusi ulama’. Realitinya bukan YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang berpendirian demikian, malah ramai para ulama’ turut mendokong perjuangan menegakkan kebenaran ini. Buktinya, ramai para ulama’ turut hadir dalam perhimpunan Bersih 3.0 tempohari. Adakah para ulama’ ini tidak memahami Islam atau mungkin mereka juga telah disesatkan oleh kenyataan YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz? Tan Sri Rahim Noor lebih faham Islam daripada ulama’-ulama’ yang hadir dalam Bersih 3.0? 

DPPM merasa kesal kerana kenyataan Tan Sri Rahim Noor disiarkan oleh media-media utama tanpa tapisan. DPPM turut kesal kerana para ulama’ dalam UMNO serta Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mendiamkan diri apabila para ulama’ dihina dan ditohmah sesuka hati. Mungkin inilah nasib para ulama’ yang memperjuangkan kebenaran, dicaci dan dihina oleh mereka yang menolak Islam. 

Oleh itu, DPPM meminta supaya Tan Sri Rahim supaya bertaubat dan beristighfar dengan segera. Menuduh seorang ulama’ yang berjuang demi menegakkan Islam serta mempertahankan kebenaran dengan tuduhan kafir dan sesat adalah suatu dosa yang besar di sisi Islam. Para ulama’ adalah pewaris Nabi dan Nabi Muhammad SAW sendiri mengiktirafnya, sebaliknya, menghina ulama’ yang benar sama seperti menghina Nabi Muhammad SAW. DPPM bimbang, kenyataan beliau akan memakan tuan dan mengena balik kepada dirinya! 

DR RAJA AHMAD AL HISS 
Naib Ketua 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.