Sunday 24 February 2013

Dr. Raja Iskandar desak Zahid Hamidi dan Hishamuddin letak jawatan

Oleh: DR RAJA AHMAD AL HISS (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Lajnah Antarabangsa DPPM) 

ISU PENCEOBOHAN DI LAHAD DATU: MENTERI PERTAHANAN DAN MENTERI DALAM NEGERI PERLU LETAK JAWATAN

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius isu pencerobohan warga asing di Lahad Datu, Sabah. Bagi DPPM, isu sekumpulan warga asing yang lengkap bersenjata masuk ke negara ini adalah suatu ancaman besar kepada kedaulatan dan keselamatan negara. 

DPPM merasa kecewa dengan usaha kerajaan menangani isu pencerobohan warga asing ini kerana sehingga ke hari ini tiada tindakan tegas dan tepat diambil terhadap kesemua mereka. 

Mereka masih dibenarkan berada di dalam negara malah kerajaan sanggup pula membenarkan tuntutan mereka diraikan walaupun rakyat kita di Lahad Datu dalam ketakutan. 

Sepatutnya, sejurus kerajaan mengetahui kehadiran mereka, pasukan tentera lebih awal memintas mereka dan memberikan amaran keras. 

Mereka sepatutnya telah dihantar pulang setelah itu dan sekiranya mereka enggan pihak tentera tidak teragagak-agak boleh mengambil tindakan ketenteraan. 

Dalam hal ini, isu keselamatan rakyat khususnya penduduk di Felda Sahabat 17, Lahad Datuk perlu menjadi keutamaan berbanding pasukan bersenjata asing ini. Apakah kerajaan tidak merasa bimbang kumpulan ini boleh membahayakan keselamatan penduduk setempat dengan melepaskan tembakan ke arah penduduk atau menjadikan rakyat Sabah sebagai tebusan? 

Kes ini menjadi bukti betapa lemahnya sistem pertahanan negara. Pasukan risikan (Intelligent) tentera serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) gagal mengesan sebarang pergerakan pengganas dari awal sehingga mereka dengan mudah menerobos masuk ke perairan negara. 

Rakyat melihat perkembangan ini dengan perasaan gelisah kerana sempadan negara terlalu mudah diceroboh oleh pihak luar atau pengganas. Mungkinkah lebih ramai warga asing atau pengganas mendarat di negara ini dan menjadikan negara ini sebagai pengkalan mereka? 

DPPM merasa kesal kerana pasukan keselamatan negara hanya disibukkan dengan urusan politik termasuk menjadi risikan terhadap prestasi semasa parti politik dan analisa PRU ke 13 berbanding menjaga perbatasan. 

DPPM juga merasa kesal kerana Kementerian Pertahanan telah membelanjakan berbilion ringgit membeli peralatan canggih termasuk membeli kapal selam dan jet tempur terkini namun gagal mengesan operasi khas puak bersenjata warga asing. 

Justeru, DPPM mendesak Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab terhadap perkara ini dan meletakkan jawatan atas kelemahan mereka mengurus tadbir pasukan keselamatan. 

Bagi DPPM, soal kedaulatan dan keselamatan negara bukan isu yang boleh dipolitikkan atau boleh bertolak ansur. 

Rakyat menganggap Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri telah gagal menguruskan isu pencerobohan warga asing dan meletakkan jawatan adalah langkah terbaik dari mengelakkan berlakunya kejadian serupa di masa hadapan.

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.