Monday, 13 February 2012

Budaya Samseng Semakin Menjadi-jadi

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

SEMAKIN HAMPIRI PRU KE 13 , BUDAYA SAMSENG SEMAKIN MENJADI-JADI. 
(13 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan kekesalan di atas sikap segelintir pihak yang menggangu ceramah yang diadakan oleh sekumpulan mahasiswa di atas isu kebebasan akademik yang diadakan di Kampung Idaman, Klang kelmarin. DPPM menganggap tindakan sekumpulan pemuda yang menggangu ceramah tersebut sebagai tindakan tidak bertamadun dan tidak rasional. Lebih mendukacitakan apabila kumpulan samseng itu menganggu ceramah sekumpulan mahasiswa, yang sudah tentu mereka ini bukanlah lawan ‘fizikal’ yang layak bagi samseng terbabit. 

DPPM merasa kecewa kerana insiden ini berlaku buat kali kedua selepas ceramah ‘Asalkan bukan UMNO (ABU)’ yang diadakan di Jalan Kebun, Klang beberapa minggu lalu telah diganggu dengan serangan ganas oleh sekumpulan pemuda yang memukul dan mencederakan peserta ceramah tersebut. Insiden kedua pula berlaku di kawasan yang tidak jauh dengan insiden pertama, seolah-olah ada kawasan tertentu menjadi ‘ sarang kumpulan samseng’ yang akan menggangu ceramah siapa sahaja daripada pihak pembangkang atau rakyat. 

Apa yang menghairankan, bagaimana kumpulan samseng boleh dibiarkan hidup bermaharajalela tanpa pemantauan atau tindakan tegas dibuat? Adakah mereka ini sengaja ‘dibela’ atau ditaja oleh pihak tertentu dengan tujuan bagi ‘memutihkan’ kawasan berdekatan daripada ceramah aktivis atau pemimpin Pakatan Rakyat serta menghalang rakyat daripada mendengar ceramah mereka? Lebih dari itu, tindakan keganasan dilihat semakin menjadi-jadi menjelang pilihanraya umum ke 13. Seakan-akan ada suatu tekanan daripada pihak tertentu yang merasa terancam dengan sokongan dan sambutan rakyat. 

Lebih membimbangkan adalah budaya samseng dengan menjadikan keganasan, ugutan, pukul dan mencederakan ini semakin menular bagi menyekat kebebasan bersuara rakyat. DPPM menganggap ini merupakan langkah terdesak pihak tertentu bagi menghalang suara rakyat dalam menyampaikan pandangan mereka dan seterusnya menafikan rakyat daripada mendengar kebenaran daripada hujah yang dikemukakan. DPPM bimbang sekiranya budaya ini tidak dicegah, semakin kuat tindakan jahat dan kotor dilakukan oleh kumpulan samseng sehingga boleh membahayakan nyawa sesiapa sahaja. 

Oleh itu, DPPM meminta pihak keselamatan mengambil tindakan terhadap pelaku keganasan dalam insiden tersebut dan memastikan kejadian itu tidak berlaku lagi. Sepatutnya insiden pertama menjadi panduan bahawa kawasan terbabit atau berdekatan dengannya memerlukan pengawasan ketat supaya mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh sesiapa juga perlu dilindungi bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini. 

Disediakan oleh; 

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia


Sunday, 12 February 2012

Sambutan Valentine's Day : Mana Suara Pemimpin Umno?

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

SAMBUTAN VALENTINE’S DAY : MANA SUARA PEMIMPIN UMNO? 
(13 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak pendirian rasmi UMNO dalam isu sambutan Valentine’s Day (Hari Kekasih) yang disambut setiap tahun di negara ini. Ini kerana sejak isu ini timbul tidak sedikitpun suara pemimpin UMNO kedengaran bagi menyatakan pendirian berhubung isu yang menjadi pertikaian umat Islam sejak dahulu. 

Dalam hal ini, DPPM menyatakan pendirian PAS sejak dahulu sehingga kini tetap bertegas bahawa sambutan Hari kekasih adalah haram untuk umat Islam dan tidak wajar bagi kerajaan mempromosikan hari tersebut kepada masyarakat khususnya kepada umat Islam. Ini telah dikuatkan lagi dengan fatwa daripada Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah menghukumkan haram terhadap sambutan itu. Ketegasan PAS tetap dipegang sekalipun yang menentangnya adalah rakan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan PAS tidak pernah mengikut telunjuk atau menjadi kuda tunggangan mana-mana pihak. PAS adalah parti Islam sejak dahulu sehingga kini dan tetap berpegang kepada prinsip dan dasarnya walau dengan siapa ia berkawan. 

Namun demikian, DPPM merasa kesal kerana media utama hanya sibuk mencari titik perbalahan antara parti dalam Pakatan Rakyat. Sebaliknya UMNO yang menjadi tunjang dalam kerajaan tidak sedikitpun mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung sambutan hari tersebut. Malahan pemimpin UMNO diam seribu bahasa dengan mengambil sikap jalan selamat demi mengelakkan persengketaan dalaman antara parti komponen dalama Barisan Nasional. 

Bagi DPPM, pemimpin UMNO tidak wajar berdiam diri tanpa mengeluarkan sebarang pendirian rasmi berhubung sambutan Valentine’s Day. Sebagai pemimpin umat Islam di negara ini pemimpin utama UMNO wajib menyatakan pendirian mereka. Kemungkaran mesti dicegah walau ditentang oleh rakan-rakan sekutunya kerana ia adalah perintah Allah SWT. Tambahan lagi umat Islam di negara ini pasti akan merasa kecewa sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri membiarkan terus polemik ini berlalu tanpa sebarang kenyataan mahupun tindakan tegas diambil. Lebih dikesali apabila ulama’ dalam UMNO serta Menteri Di jabatan Perdana Menteri yang menjaga urusan hal ehwal agama Islam di negara ini turut berdiam diri berhubung isu ini. 

Akhirnya DPPM mengharapkan umat Islam di negara ini membuka mata dengan melihat sikap sebenar UMNO dalam soal mempertahankan syariat Islam. Dalam keadaan seluruh negara riuh rendah dengan penolakan dan penentangan terhadap isu ini, pemimpin-pemimpin UMNO menutup mulut dan terus membiarkan kemungkaran berleluasa. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Kehadiran Najib di Batu Caves : Para Mufti Perlu Bersuara

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

KEHADIRAN NAJIB DI BATU CAVES : PARA MUFTI PERLU BERSUARA 
 (11 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana berani menyatakan kebenaran dengan membantah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Batu Caves sempena perayaan Thaipusam pada hari Selasa. Dalam satu kenyataan, beliau melahirkan rasa terkilan kerana Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup ‘menggadai akidah’ apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam di Batu Caves. 

DPPM melihat keberanian inilah yang perlu ditunjukkan oleh para Mufti di negara ini apabil melihat kemungkaran berlaku di depan mata tanpa mengira siapa pun pelakunya. Soal aqidah umat mesti menjadi keutamaan dan para ulama’ tidak harus berdiam diri apabila melihat aqidah umat rapuh atau runtuh. 

Kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam sememangnya mengundang kegelisahan umat Islam di negara ini. Meskipun Datuk Seri Najib hadir atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada penganut agama Hindu, disisi Islam perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan. Walaupun agama Islam tidak pernah melarang penganut agama lain merayakan perayaan masing-masing, namun Islam tetap mengharamkan umatnya menyambut perayaan agama lain kerana ia boleh menjejaskan aqidah umat Islam. Kehadiran Datuk Seri Najib dikhuatiri akan merosakkan aqidah beliau dan umat Islam yang lain memandangkan beliau adalah Perdana Menteri di negara ini, dan tindakan beliau pasti akan diikuti oleh rakyat jelata. Perdana Menteri tidak perlu hadir ke Batu Caves hanya untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan atau menyerahkan kepada pemimpin MIC untuk mengucapkan selamat menyambutnya. 

Tindakan Perdana Menteri itu menunjukkan beliau amat kemaruk untuk mendapatkan pengaruh dan populariti bagi mengekalkan kuasa beliau sehingga sanggup melanggar syariat dan aqidah. DPPM hairan mengapa penasihat agama beliau termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir tidak tampil lebih awal memberikan nasihat supaya beliau tidak hadir ke Batu Caves bagi mengelakkan kritikan rakyat. 

Oleh itu, DPPM meminta lebih ramai para mufti, para ulama’ dan agamawan di negara ini bersuara bagi menyatakan kebenaran di sebalik isu ini. Bagi DPPM, apa juga pandangan ulama’ perlu diambil kira biarpun hasilnya pahit untuk ditelan. Demi aqidah umat, tiada siapa harus berdiam diri atau menyembunyikan kebenaran! 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.