Sunday 12 February 2012

Kehadiran Najib di Batu Caves : Para Mufti Perlu Bersuara

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

KEHADIRAN NAJIB DI BATU CAVES : PARA MUFTI PERLU BERSUARA 
 (11 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana berani menyatakan kebenaran dengan membantah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Batu Caves sempena perayaan Thaipusam pada hari Selasa. Dalam satu kenyataan, beliau melahirkan rasa terkilan kerana Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup ‘menggadai akidah’ apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam di Batu Caves. 

DPPM melihat keberanian inilah yang perlu ditunjukkan oleh para Mufti di negara ini apabil melihat kemungkaran berlaku di depan mata tanpa mengira siapa pun pelakunya. Soal aqidah umat mesti menjadi keutamaan dan para ulama’ tidak harus berdiam diri apabila melihat aqidah umat rapuh atau runtuh. 

Kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam sememangnya mengundang kegelisahan umat Islam di negara ini. Meskipun Datuk Seri Najib hadir atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada penganut agama Hindu, disisi Islam perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan. Walaupun agama Islam tidak pernah melarang penganut agama lain merayakan perayaan masing-masing, namun Islam tetap mengharamkan umatnya menyambut perayaan agama lain kerana ia boleh menjejaskan aqidah umat Islam. Kehadiran Datuk Seri Najib dikhuatiri akan merosakkan aqidah beliau dan umat Islam yang lain memandangkan beliau adalah Perdana Menteri di negara ini, dan tindakan beliau pasti akan diikuti oleh rakyat jelata. Perdana Menteri tidak perlu hadir ke Batu Caves hanya untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan atau menyerahkan kepada pemimpin MIC untuk mengucapkan selamat menyambutnya. 

Tindakan Perdana Menteri itu menunjukkan beliau amat kemaruk untuk mendapatkan pengaruh dan populariti bagi mengekalkan kuasa beliau sehingga sanggup melanggar syariat dan aqidah. DPPM hairan mengapa penasihat agama beliau termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir tidak tampil lebih awal memberikan nasihat supaya beliau tidak hadir ke Batu Caves bagi mengelakkan kritikan rakyat. 

Oleh itu, DPPM meminta lebih ramai para mufti, para ulama’ dan agamawan di negara ini bersuara bagi menyatakan kebenaran di sebalik isu ini. Bagi DPPM, apa juga pandangan ulama’ perlu diambil kira biarpun hasilnya pahit untuk ditelan. Demi aqidah umat, tiada siapa harus berdiam diri atau menyembunyikan kebenaran! 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.