Monday 13 February 2012

Budaya Samseng Semakin Menjadi-jadi

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

SEMAKIN HAMPIRI PRU KE 13 , BUDAYA SAMSENG SEMAKIN MENJADI-JADI. 
(13 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan kekesalan di atas sikap segelintir pihak yang menggangu ceramah yang diadakan oleh sekumpulan mahasiswa di atas isu kebebasan akademik yang diadakan di Kampung Idaman, Klang kelmarin. DPPM menganggap tindakan sekumpulan pemuda yang menggangu ceramah tersebut sebagai tindakan tidak bertamadun dan tidak rasional. Lebih mendukacitakan apabila kumpulan samseng itu menganggu ceramah sekumpulan mahasiswa, yang sudah tentu mereka ini bukanlah lawan ‘fizikal’ yang layak bagi samseng terbabit. 

DPPM merasa kecewa kerana insiden ini berlaku buat kali kedua selepas ceramah ‘Asalkan bukan UMNO (ABU)’ yang diadakan di Jalan Kebun, Klang beberapa minggu lalu telah diganggu dengan serangan ganas oleh sekumpulan pemuda yang memukul dan mencederakan peserta ceramah tersebut. Insiden kedua pula berlaku di kawasan yang tidak jauh dengan insiden pertama, seolah-olah ada kawasan tertentu menjadi ‘ sarang kumpulan samseng’ yang akan menggangu ceramah siapa sahaja daripada pihak pembangkang atau rakyat. 

Apa yang menghairankan, bagaimana kumpulan samseng boleh dibiarkan hidup bermaharajalela tanpa pemantauan atau tindakan tegas dibuat? Adakah mereka ini sengaja ‘dibela’ atau ditaja oleh pihak tertentu dengan tujuan bagi ‘memutihkan’ kawasan berdekatan daripada ceramah aktivis atau pemimpin Pakatan Rakyat serta menghalang rakyat daripada mendengar ceramah mereka? Lebih dari itu, tindakan keganasan dilihat semakin menjadi-jadi menjelang pilihanraya umum ke 13. Seakan-akan ada suatu tekanan daripada pihak tertentu yang merasa terancam dengan sokongan dan sambutan rakyat. 

Lebih membimbangkan adalah budaya samseng dengan menjadikan keganasan, ugutan, pukul dan mencederakan ini semakin menular bagi menyekat kebebasan bersuara rakyat. DPPM menganggap ini merupakan langkah terdesak pihak tertentu bagi menghalang suara rakyat dalam menyampaikan pandangan mereka dan seterusnya menafikan rakyat daripada mendengar kebenaran daripada hujah yang dikemukakan. DPPM bimbang sekiranya budaya ini tidak dicegah, semakin kuat tindakan jahat dan kotor dilakukan oleh kumpulan samseng sehingga boleh membahayakan nyawa sesiapa sahaja. 

Oleh itu, DPPM meminta pihak keselamatan mengambil tindakan terhadap pelaku keganasan dalam insiden tersebut dan memastikan kejadian itu tidak berlaku lagi. Sepatutnya insiden pertama menjadi panduan bahawa kawasan terbabit atau berdekatan dengannya memerlukan pengawasan ketat supaya mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh sesiapa juga perlu dilindungi bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini. 

Disediakan oleh; 

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.