Wednesday 8 February 2012

Berdebat Tunjuk Bukti Kebenaran Kerajaan

KENYATAAN MEDIA 
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

BERDEBAT BAGI BUKTIKAN KEBENARAN KERAJAAN
(8 Februari 2012) 

PAS Wilayah Persekutuan mengalu-alukan penerimaan cabaran debat oleh tiga pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang dikemukakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berhubung isu skim pembiayaan khas menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Cabaran itu diterima oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua selaku Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Dr. Dzulkefly Ahmad iaitu ahli jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor. 

Kesediaan ketiga-tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat ini menunjukkan sikap berani bersemuka pemimpin Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan kebenaran serta isu-isu rakyat di negara ini. Ini juga membuktikan bahawa Pakatan Rakyat benar-benar berpolitik secara telus, jujur dan bersih dengan tidak ada isu untuk diselindungkan dari pengetahuan rakyat. 

PAS WP juga menyokong pendirian pemimpin Pakatan Rakyat yang menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan dana KWSP bernilai RM1.5 bilion bagi membiayai Skim Pembiayaan Khas Penjualan PPR. PAS WP sependapat dengan pemimpin Pakatan Rakyat bahawa penggunaan dana tersebut tidak sesuai untuk digunakan. Ini memandangkan dana KWSP adalah dana pekerja, justeru kerajaan tidak wajar mengambil wang tersebut semata-mata mahu membantu penduduk PPR membuat pinjaman bagi memiliki kediaman mereka. Sebaliknya, kerajaan perlu memikirkan mekanisme lain bagi membantu rakyat membuat pinjaman bagi memiliki Projek Perumahan Rakyat (PPR). 

PAS WP melihat kerajaan seperti sudah kehilangan idea bagi membantu rakyat sedangkan di sisi lain Pakatan Rakyat mempunyai banyak resepi bagi membantu meringkan warga kota mendapatkan rumah mampu milik mereka sendiri. Memang objektif perjuangan Pakatan Rakyat untuk membantu rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah. Memastikan golongan ini mendapat rumah sendiri adalah hasrat PR tetapi bukan dengan mengambil dana lain seperti KWSP. Pastinya, idea ini boleh dikembangkan sekiranya Datuk Raja Nong Chik bersedia berdebat dengan pemimpin terbabit. 

PAS WP mengharapkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, YB Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin akan menerima pelawaan debat tersebut tanpa berdolak dalik lagi serat mencari helah atau alasan lain. YB Senator Datuk Raja Nong Chik boleh memilih sendiri salah seorang daripada ketiga-tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menawarkan diri berdebat dengan beliau. Sesungguhnya rakyat di seluruh Wilayah Persekutuan mengharapkan Menteri Wilayah Persekutuan menerima pelawaan debat ini sekiranya beliau merasakan beliau di pihak yang benar. 

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan 
PAS Wilayah Persekutuan 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.