Wednesday 1 February 2012

JATI Sanggup Menebas Kemungkaran Umno?

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

JATI SANGGUP MENEBAS KEMUNGKARAN UMNO?
(1 Februari 2012)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Datuk Dr Hassan Ali benar-benar berperanan sebagai ‘kuasa ketiga’ dengan memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja-Raja dengan menubuhkan sebuah NGO –JATI dan tidak mewakili sentimen mana-mana pihak yang berkepentingan. 

DPPM mengalu-alukan sekiranya Dr Hassan benar-benar mahu menegakkan ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ tanpa mengira latar belakang sasarannya. Dalam hal ini, DPPM berpendapat JATI harus berdiri tegak atas platform nya sendiri dengan menjadi sebuah NGO yang bebas dari kongkongan mana-mana parti politik tertentu. Dr Hassan Ali sebagai pengemudinya harus bertindak rasional dalam memperjuangkan Islam di negara ini. Beliau tidak boleh memperpanjang sentimen isu pemecatannya kerana ia boleh dilihat sebagai agenda peribadi, bukan agenda umat Islam di negara ini. Beliau juga tidak boleh cenderung atau ‘bias’ kepada mana-mana pihak supaya dilihat benar-benar ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu. Jika tidak beliau hanya dilihat sebagai ‘budak suruhan’ kepada pihak tertentu terutama kepada parti pemerintah jika beliau hanya menjadikan Pakatan Rakyat dan pemimpinnya sebagai sasaran kecaman beliau. 

Apa yang menghairankan, beliau hanya menyerang pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, sedangkan kemungkaran lebih besar ada pada kuasa pemimpin utama di negara ini. DPPM kecewa kerana Dr Hassan Ali hanya melihat kesalahan yang ada dalam PAS dan menuduh segelintir pemimpin PAS sebagai ‘parasit’. Beliau juga agresif dalam menyerang PKR dan DAP. Namun kemungkaran besar dan ‘bapa parasit’ yang dilakukan oleh pemimpin UMNO-BN sedikitpun beliau tidak kisah. 

Jika betul beliau mahu memperjuangkan aqidah umat Islam, seharusnya UMNO terlebih dahulu dan patut diserang kerana ditangan pemimpin merekalah aqidah umat tergoncang. UMNO pemilik kuasa di negara ini telah memerintah berpuluh tahun dan mereka mempunyai kuasa dalam meluluskan Akta, Undang-Undang, dan penguatkuasaan di negara ini. Dr Hassan Ali elok bertanya kepada pemimpin UMNO apakah yang telah diperbuat setelah negara merdeka sekian lama, masalah aqidah umat Islam masih merupakan masalah utama kepada umat Islam. Cuba tanya pemimpin UMNO, mahukah mereka melaksanakan Hukum Islam secara menyeluruh dan bila lagi ianya hendak dilaksanakan? 

Jika pemimpin Pakatan Rakyat dituduh sebagai ejen Israel, Dr Hassan juga perlu menyemak latar belakang UMNO dan pemimpinnya. Mungkin JATI boleh menyemak penglibatan APCO di negara ini dan kaitannya dengan Israel serta syarikat AsiaSoft sebagai mengawal sistem komunikasi PDRM. Cuba semak siapa dibelakang syarikat ini dan kaitannya dengan Israel. 

Selain itu, isu penyelewengan wang zakat oleh pemimpin umat Islam wajar diberikan perhatian dan mesti dijadikan agenda bertindak oleh JATI. Wang zakat adalah milik asnaf umat Islam dan tidak wajar pemimpin umat Islam menyalahgunakan wang tersebut. 

DPPM mengajak JATI untuk turut lantang membantah isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah kerana ia juga adalah suatu ‘amar ma’aruf nahi mungkar’ yang perlu ditegakkan di negara ini. DPPM menasihatkan JATI dan Dr Hassan Ali supaya jangan mengambil sikap ‘semut seberang lautan nampak, tetapi gajah didepan mata tidak kelihatan’. Jika tidak, gelagat beliau dalam perjuangan JATI hanya menjadi bahan gelak ketawa rakyat sahaja. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
 Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.