Thursday 2 February 2012

Jamil Khir Bakal Mengikut Jejak Khir Toyo?

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

JAMIL KHIR BAKAL MENGIKUT JEJAK KHIR TOYO? 
(2 Februari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Datuk Seri Jamil Khir tampil memberi penjelasan di atas dakwaan terbaru seperti yang didedahkan oleh Sdr Mohd Nasaie Ismail, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bahawa beliau didakwa menggunakan wang Yayasan Taqwa untuk melaksanakan beberapa program di kawasan Jerai, Kedah.

DPPM melihat pendedahan ini amat berat kerana ia melibatkan nama baik dan reputasi beliau sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. DPPM merasakan jika benar dakwaan ini, ia merupakan suatu lagi skandal yang serius yang dilakukan oleh Datuk Seri Jamil Khir. Sebelum ini negara dihebohkan bagaimana dengan mudah dana zakat digunakan sebagai pendahuluan untuk membiayai kos guaman beliau bersama dua orang pegawainya.

Dalam dakwaan tersebut, dinyatakan bahawa dana daripada Yayasan Taqwa digunakan bagi melaksanakan beberapa program di kawasan Jerai, Kedah. Yayasan Taqwa pula adalah sebuah agensi yang berada di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan dananya adalah dari peruntukan MAIWP. Timbul persoalan adalah bagaimana wang Yayasan Taqwa boleh terlepas keluar sehingga sampai ke Jerai? Besar sangatkah dana yang sepatutnya dinikmati oleh umat Islam di Wilayah Persekutuan sehingga boleh sampai sehingga ke Jerai, Kedah? Lebih menggusarkan adalah beliau dikhabarkan akan bertanding di Parlimen tersebut, yang menyebabkan timbulnya tohmahan umum bahawa dana itu adalah untuk kegunaan peribadinya, bukan untuk rakyat. DPPM khuatir dakwaan ini akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap pemimpin-pemimpin negara kerana kerap terpalit dengan skandal yang memalukan.

Dalam hal ini, DPPM berpendapat Datuk Seri Jamil Khir perlu berterus terang dengan menjelaskan perkara sebenarnya dan membuktikan bahawa beliau tidak terlibat atau tidak menggunakan dana tersebut seperti yang didedahkan. Sebaliknya, jika beliau benar-benar menggunakannya, beliau perlu memohon maaf kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan dan mengembalikan dana yang digunakan di Parlimen Jerai kembali ke Yayasan Taqwa.

DPPM mengingatkan Datuk Seri Jamil Khir agar tidak mengikut jejak bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang telah didapati bersalah di mahkamah kerana kesalahan rasuah. Rakyat sedang memerhatikan setiap langkah beliau dan tidak mustahil beliau boleh terjerumus sama seperti Khir Toyo!

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.