Monday 14 January 2013

Meter pukal dikunci, bil tetap tinggi di Desa Pandan

Meter pukal dikunci, bil tetap tinggi - Sinar Harian
 
Ahmad Zamri turun padang melihat sendiri masalah yang dihadapi rakyat.



DESA PANDAN - Perbadanan Pengurusan Anggerik E2, Desa Pandan mempersoalkan bil air meter pukal di pangsapuri tersebut melambung enam kali ganda dari bil bulanan biasa yang diterima setiap bulan. 

Ketua Blok E 15, Zainal Abu Samah berkata, kebiasaannya bil meter pukal adalah RM36 sebulan tetapi telah mencecah RM200 setiap bulan. 

Menurutnya, dia telah merujuk perkara tersebut sebanyak tiga kali kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) namun tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberi. 

“Dalam kes ini, Syabas memberi alasan berkemungkinan berlakunya paip bocor atau badan pengurusan menggunakan air untuk membasuh tangga. 

“Bagaimanapun, meter pukal ini telah dikunci oleh pengurusan dan tiada sesiapa yang menggunakan meter ini,” katanya. 

Turut hadir Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa (PKWR), Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi yang meninjau permasalahan yang dihadapi oleh pengurusan. 

Zainal berkata, sebelum ini pun, walaupun meter ini tidak pernah digunakan, badan pengurusan tetap membayar bil berjumlah RM36 setiap sebulan yang dibilkan oleh Syabas. 

Katanya, bagaimanapun caj bil yang mencecah sehingga RM200 setiap bulan sangat tidak munasabah kerana meter telah dikunci. 

"Pihak pengurusan juga pernah mencadangkan supaya meter pukal dialihkan tetapi Syabas tidak membenarkannya kerana menyalahi akta. 

“Bagaimanapun, Syabas telah mengambil tiga meter lama untuk dibuat uji kaji dan memasang meter baru untuk pangsapuri,” katanya.

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.