Monday 7 January 2013

Zamri cabar Umno Titiwangsa berdebat isu 'Umno gadai tanah Kg. Baru'

Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa (PKWR), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi telah mencabar Umno Titiwangsa, terutama Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani untuk berdebat tentang isu 'Umno gadai tanah Kampung Baru'.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) melontarkan cabaran debat itu di dalam satu ceramah di perkarangan pejabat PKWR Titiwangsa di Kampung Baru pada Sabtu lalu. 

Menurut beliau, Umno sengaja membodohkan orang Melayu di Kampung Baru dengan memutar belitkan fakta sebenar. Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2012 telah diluluskan secara tergesa-gesa, dibahas hanya dalam masa 4 jam dan terus diluluskan di Parlimen. 

Akta Perbadanan Pembangunan Kg. Baru 2012 telah memberikan kuasa penuh kepada seorang Menteri, iaitu Raja Nong Chik yang boleh digelar sebagai Raja Kampung Baru. 

Zamri mengulangi pendirian bahawa Pakatan Rakyat akan memastikan satu-satunya tanah orang Melayu di tengah kota Kuala Lumpur ini akan dipelihara sepenuhnya hak pemilik dan pewaris yang asal. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan penduduk Melayu di Kampung Baru agar tidak termakan penipuan Umno dalam usaha merampas tanah warisan mereka. 

"Kita tidak mahu tanah milik orang Melayu di Kampung Baru menerima nasib sama seperti tanah Kg. Abdullah Hukum dan Kg. Kerinchi. Orang Melayu merempat di tanah sendiri, kononnya mahu dibuat  pembangunan. Walhal ia adalah gedung-gedung mewah untuk golongan kaya," ujar beliau.

"Saya cabar Umno Titiwangsa untuk berdebat, kamu bentangkan fakta kamu dan kita akan kemukakan segala fakta bahawa Umno sedang menggadaikan tanah orang Melayu di Kuala Lumpur untuk kaut keuntungan kepada kroni," jelas beliau yang juga merupakan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Pemuda PAS Malaysia.

Terdahulu, Presiden PAS Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan bahawa jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2012 akan dibatalkan dan tanah warisan itu akan dikembalikan kepada penduduk, pemilik dan pewaris yang asal.


 Dato' Mahfuz menutup tirai ceramah Pra Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kampung Baru.


Turut sama dalam program ceramah itu ialah Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar yang menjelaskan secara terperinci berkenaan kes saman AES. Selain itu, turut berucap ialah Ketua Cabang Titiwangsa, Sdra Zahir Hasan, Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Salleh dan Ketua Penerangan PAS Titiwangsa, Sdr. Abdul Hadi.



.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.