Wednesday 23 January 2013

Panasss!! Umno Titiwangsa guna dewan orang ramai jadi bilik gerakan parti!

UMNO GUNAKAN DEWAN ORANG RAMAI UNTUK BILIK GERAKAN MEREKA 

Oleh : AHMAD ZAMRI ASA’AD KHUZAIMI (Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa)

PAS Kawasan Titiwangsa (PAS Titiwangsa) mengecam tindakan UMNO Titiwangsa yang menggunakan dewan orang ramai untuk kepentingan Barisan Nasional. Tinjauan petugas PAS Titiwangsa mendapati kebanyakan dewan orang ramai telah ditukar menjadi hak milik UMNO sejak sekian lama serta menjadi Bilik Gerakan UMNO di beberapa tempat. 

Antaranya adalah dewan orang ramai Pandan Baiduri, Kg Paya di Kg Bharu, Sg Bharu di Kg Bharu, Kg Padang di Kampung Bharu, serta Datuk Keramat. Kesemua dewan ini tertulis dewan orang ramai kecuali di Kampung Padang. Kebanyakan dewan ini pula telah menjadi bilik gerakan UMNO dengan majlis perasmiannya dirasmikan oleh Datuk Johari Abd Ghani, Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa. PAS Titiwangsa merasa kesal kerana UMNO telah menyalahgunakan harta awam menjadi hak milik mereka sendiri. 

PAS Titiwangsa difahamkan ada antara dewan tersebut dimiliki oleh pihak masjid dan tanahnya juga dimiliki oleh masjid. Jika benar dakwaan tersebut, ini bermakna UMNO telah menyalahgunakan harta masjid untuk kepentingan mereka. 

PAS Titiwangsa merasa musykil bagaimana dewan yang sepatutnya menjadi milik orang ramai telah bertukar menjadi hak milik parti UMNO dan ia bertukar sekelip mata menjadi bilik gerakan pula. Sudah tentu bilik gerakan adalah tempat sulit yang tidak boleh dimasuki oleh orang awam. 

Jika penguasaan politik untuk diambil kira, PAS Titiwangsa lebih berhak menguasai dewan-dewan sekitar parlimen Titiwangsa. Ini kerana PAS yang memenangi Parlimen Titiwangsa dan majoriti Parlimen di Wilayah Persekutuan juga dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Namun demikian, PAS dan PR tidak menyalahgunakan dewan orang ramai untuk kepentingan sendiri. PR menghormati hak rakyat dan sanggup berkongsi dewan orang ramai untuk disewa seperti mana rakyat biasa. 

Dalam keadaan dewan orang ramai yang terhad di Kuala Lumpur ini, rakyat terpaksa berkongsi menyewa dewan komuniti untuk pelbagai aktiviti seperti majlis kenduri kahwin, majlis kesyukuran, program kemasyarakatan dan lain-lain. UMNO Titiwangsa seperti tidak merasa sensitif dengan masalah rakyat dan sanggup mengenepikan kepentingan rakyat untuk diri mereka. 

Justeru, PAS Titiwangsa mencabar UMNO Titiwangsa untuk mengosongkan dewan-dewan tersebut demi kebaikan rakyat. Jika PAS Titiwangsa sanggup menggunakan markaz, rumah kedai dan rumah ahli PAS yang diinfakkan di jalan Allah untuk kegunaan bilik gerakan PAS, jangan pula UMNO Titiwangsa memalukan ahli dan partinya. Mustahil jika UMNO Titiwangsa tidak mampu menyewa atau membeli mana-mana pejabat atau rumah untuk menjadi bilik gerakan mereka. 

PAS Titiwangsa menegaskan bahawa Pakatan Rakyat memberi komitmen jika PR memerintah Putrajaya kelak, semua dewan orang ramai akan dipulangkan kembali kepada rakyat untuk kegunaan semua pihak. Tidak ada dewan yang akan diselewengkan dan semua pihak boleh menggunakannya untuk kepentingan bersama.









.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.