Thursday 26 January 2012

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek Ketinggalan Zaman

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

DATUK SERI DR CHUA SOI LEK KETINGGALAN ZAMAN 
(25 Januari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa sokongan kepada DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa adalah suatu kenyataan provokasi dan penuh sentimen kebencian terhadap PAS. 

DPPM merasakan Datuk Seri Dr Chua cuba menanamkan sikap prejudis antara kaum supaya timbul perasaan tidak senang komuniti Tionghua terhadap PAS. Sedangkan rakyat umumnya mahukan kesejahteraan, keadilan dan kemakmuran di dalam sistem politik baru yang sedang dibawa oleh Pakatan Rakyat lebih dari sentimen politik sempit perkauman. Kenyataan Datuk Seri Dr Chua sebenarnya adalah kenyataan lapuk yang telah ditolak oleh masyarakat yang peka dan arif dengan perkembangan politik negara. Datuk Seri Dr Chua kelihatan seperti ketinggalan zaman dengan kenyataan-kenyataan ‘usang’ yang cuba diolah kembali bagi ‘menghidupkan’ kembali politik beliau yang telah dilupakan orang. 

DPPM menegaskan, PAS adalah sebuah Parti Islam di Malaysia yang bercita-cita mahu menegakkan sebuah negara dan pemerintahan berlandaskan Islam. Semua rakyat mengetahui hala tuju dan matlamat PAS sejak ia ditubuhkan. PAS tidak pernah menyembunyikan identitinya bahkan ia dihebahkan kepada umum. Islam adalah agama rahmat untuk sekalian manusia. Ia membawa cahaya kebenaran, keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada semua kaum. Islam tidak pernah menyekat kebebasan kaum lain untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing. Malah, tidak pernah dalam sejarah ketamadunan, pemerintahan Islam melakukan kezaliman kepada bangsa atau agama yang lain. 

Di samping itu, PAS bersama Pakatan Rakyat tetap komited memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme, kezaliman, penyelewengan, penindasan serta sikap rasis sesetengah pihak. Pakatan Rakyat bertekad mahu membebaskan rakyat dari belenggu rejim korup UMNO-BN yang sedang menanti rebah. Adakah ini yang sangat ditakuti oleh pemimpin seperti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek? 

DPPM amat yakin, sekiranya semua kaum mengerti matlamat perjuangan PAS, mereka tidak akan membantah, malah akan terus memberikan sokongan kepada PAS. Oleh kerana itu, PAS memiliki Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang terus memberikan sokongan meskipun mereka tahu PAS meletakkan perjuangan Islam sebagai matlamatnya. 

Justeru, DPPM menasihatkan Datuk Seri Dr Chua agar bermain politik secara bijak dan matang. Rakyat mahu melihat apakah hasil dari perjuangan yang telah diusahakan oleh beliau dan partinya, bukan hanya berkokok tidak tentu pasal. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.