Wednesday 25 January 2012

Tingkatkan Keselamatan Elak Kejadian Culik dan Tawan Berulang

KENYATAAN MEDIA 
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN 
 
TINGKATKAN KESELAMATAN ELAK KEJADIAN CULIK DAN TAWAN BERULANG 
(25 Januari 2012) 

PAS Wilayah Persekutuan melahirkan rasa simpati di atas kejadian culik dan tawan selama enam jam terhadap Fifi Ramadhani Safruddin, kanak-kanak berusia 10 tahun di Kampung Baru kelmarin. PAS WP merasa terkejut kerana insiden tersebut yang biasanya berlaku di negara-negara barat atau di dalam filem benar-benar berlaku di Kuala Lumpur dan di negara ini. PAS WP juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) kerana bertindak cepat bagi menggagalkan usaha ini sehingga berjaya menangkap penjenayah terbabit. Sudah tentu, usaha ini tidak akan berlaku sekiranya tiada sokongan dan bantuan penduduk tempatan yang turut bertindak dalam insiden baru-baru ini. 

Dengan kejadian ini, PAS WP merasa bimbang dengan kadar jenayah yang berlaku di negara ini. Kadar jenayah bukan semakin menurun, malah semakin bertambah dari tahun ke tahun, dan ianya berlaku secara amat tragis dan di luar perikemanusiaan. Jenayah pembunuhan, rogol, samun, pecah rumah, culik, ragut dan sebagainya sudah menjadi berita lumrah kepada masyarakat. Seolah-olah segelintir masyarakat yang terlibat dengan jenayah tidak merasa gentar atau takut dengan pelaksanaan undang-undang sedia ada. 

Justeru, PAS WP mengharapkan PDRM meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan terbabit dan kawasan sekitar supaya kejadian yang sama tidak berulang. Kawasan kediaman seperti Kampung Baru amat terdedah dengan bahaya jenayah memandangkan ianya terletak di pusat bandar Kuala Lumpur dan orang awam mudah akses dengan kawasan tersebut sebagai laluan penting di bandaraya ini. 

PAS WP juga menasihatkan supaya penduduk setempat mengadakan kawalan keselamatan di rumah mereka dan di kawasan kediaman mereka. Pintu rumah tidak harus dibiarkan terbuka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Rumah perlu dikunci setiap kali penghuni mahu meninggalkan rumah dan memesan kepada jiran tetangga supaya memerhatikan keselamatan rumah mereka. Selain itu, rondaan keselamatan oleh penduduk setempat adalah amat perlu terutama di waktu malam. Ini menunjukkan kebersamaan penduduk kampung dalam menangani isu keselamatan. 

Akhirnya, PAS WP mendoakan semoga keluarga mangsa bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian yang berlaku dan semoga mereka lebih berhati-hati di masa akan datang. 

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan 
PAS Wilayah Persekutuan 

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.