Friday 27 January 2012

Jangan Gadai Tanah dan Masa Depan Peneroka Felda

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

NASIHAT BUAT KERAJAAN NEGERI : 
JANGAN GADAI TANAH DAN MASA DEPAN PENEROKA FELDA 

(27 Januari 2012) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik tindakan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Kelantan yang berkeras tidak akan menyerahkan tanah Felda milik negeri-negeri kepada Felda Global Venture (FGV) dengan tidak menandatangani perjanjian antara kerajaan negeri dengan syarikat terbabit. 

Tindakan ini penting bagi memastikan hak peneroka serta tanah milik mereka terjaga dan tidak akan tergadai begitu sahaja. Lebih dari itu, DPPM merasa bimbang dengan pendedahan Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak), saudara Mazlan Aliman bahawa Felda Holdings Berhad (Felda) akan mengalami defisit sejumlah RM1.5 billion setahun sekiranya rancangan penyenaraian Felda Global Venture Berhad (FGVH) diteruskan. Faktanya seperti yang dinyatakan oleh Sdr Mazlan Aliman bahawa, Felda pada tahun lepas, secara purata memperolehi pendapatan sekitar RM2.4 bilion setahun dengan kos perbelanjaan sejumlah RM2 bilion dimana Felda akan memperoleh lebihan pendapatan dan keuntungan sebanyak RM400 juta. 

Sebaliknya, selepas penyerahan untuk pajakan kepada FGVH, Felda hanya akan menerima purata pendapatan sekitar RM251 juta hasil pajakan tanah seluas 880,000 hektar dan 15 peratus hasil Minyak Sawit Mentah (MSM) iaitu sejumlah RM257 juta dengan kadar RM2,900 se tan. Jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM508 juta setahun akan menjadikan Felda mengalami defisit ekoran kos pengeluaran lebih tinggi daripada nilai pendapatan. 

Hakikat ini perlu disemak secara teliti oleh setiap Menteri Besar kerajaan-kerajaan negeri. Kerajaan negeri terdedah kepada risiko kerugian hasil perjanjian ini dan boleh menyebabkan peneroka akan hilang hak mereka. DPPM mensarankan sebaiknya Menteri Besar atau Ketua Menteri dapatkan khidmat nasihat pakar dan mereka yang berkelayakan sebelum memutuskan perkara sepenting ini. Lebih meyakinkan lagi sekiranya ketua-ketua kerajaan negeri dapatkan respons dahulu dari peneroka felda bagi mendapatkan persetujuan mereka kerana ia melibatkan hak mereka. 

DPPM mendesak agar kerajaan negeri mengambil langkah serupa dengan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah, Kelantan dan Selangor sekiranya kerajaan negeri benar-benar prihatin terhadap kebajikan dan masa depan tanah peneroka. Kerajaan negeri sepatutnya memikirkan langkah lain yang lebih menguntungkan peneroka daripada memikirkan keuntungan yang bakal diperolehi oleh segelintir golongan yang tamak dan berkepentingan. 

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.