Tuesday 10 January 2012

Hi Tea Pas Titiwangsa kutip RM45,000

Oleh : Hedzer Bin Ibrahim (Setiausaha PAS Kawasan Titiwangsa)



PAS Kawasan Titiwangsa berjaya mengumpul dana berjumlah RM 45,000.00 dalam program Hi Tea anjuran Jentera Pilihanraya PAS Kawasan Titiwangsa baru-baru ini. Meskipun jumlah sasaran keseluruhan sebanyak RM 100,000.00 bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13 belum mencukupi, namun PAS Titiwangsa merasa yakin jumlah itu akan dapat dicapai menjelang PRU ke 13.

Hi Tea PAS Titiwangsa yang dianjurkan pada hari Ahad, 8 Januari 2012 bertempat di dataran Darul Ummah, Markaz PAS Titiwangsa di Kampung Pandan, bermula seawal jam 5.30 petang dilangsungkan dengan suasana sederhana tetapi penuh kemeriahan. Seramai 150 orang tetamu jemputan hadir bagi memeriahkan program. Kupon yang dijual berharga RM 50.00 hampir habis terjual memandangkan banyak kerusi yang dipenuhi oleh pengunjung-pengunjung.

Antara tetamu utama yang hadir adalah Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Majlis dimulakan dengan ucapan ringkas oleh Yang Di Pertua PAS Kawasan, Mej (B) Ustaz Abdullah Abdul Wahab diikuti oleh Ucapan Perasmian dan amanat penting oleh Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Dalam amanatnya, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim menyentuh peranan infak fi sabilillah sebagai salah satu jihad penting bagi memenangkan Islam. Beliau turut menyebut mengenai sirah perjuangan Rasulullah SAW yang mengharungi kehidupan dalam mendaulatkan Islam dengan penuh liku dan seruan Baginda supaya menginfakkan harta di jalan Allah. Hadirin tersentuh hati mendengar kisah seorang sahabat Nabi SAW yang kudung kedua tangan dan kakinya yang bekerja menceduk air untuk mendapatkan upah bagi membiayai jihad fi sabilillah. Pengorbanannya dibalas dengan pahala yang sangat tinggi di sisi Allah SWT meskipun beliau hanya mampu infak beberapa buah tamar sahaja.

Program diakhiri dengan serahan banting sumbangan dana PRU ke 13 kepada Unit-Unit Peti Undi dan Dewan-Dewan. Hampir keseluruhan cawangan PAS di Titiwangsa memberi sumbangan sekurang-kurangnya RM 500.00 dengan tunai mahupun berbentuk akujanji. Ini termasuk Dewan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa yang menyumbangkan sebanyak RM 500 manakala Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa menyumbangkan RM 1000. Selain itu, sumbangan individu telah mengumpul sebanyak RM 7186.00 sementara akujanji dari individu-individu dan agensi PAS Kawasan Titiwangsa mencecah sebanyak RM 30,000.00.

PAS Kawasan Titiwangsa mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah berbesar hati memberi sumbangan bagi mendanai jentera pilihanraya PAS Kawasan Titiwangsa. Bagi mereka yang ingin terus menyumbang ke tabung pilihanraya PAS Kawasan Titiwangsa, boleh salurkan terus ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama PAS Kawasan Titiwangsa melalui no akaun : 14032010012772.

Sumber : Pemuda Pas Wilayah

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.