Saturday 21 January 2012

Pas WP Sokong Isytihar Harta Menteri

KENYATAAN MEDIA
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

ISYTIHARKAN ASET MENTERI KABINET KEPADA UMUM

(18 Januari 2012)

PAS Wilayah Persekutuan menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan mewajibkan ahli keluarga dan pasangan menteri kabinet unuk mengisytiharkan harta dan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PAS WP melihat tindakan ini merupakan suatu permulaan yang baik bagi memastikan integriti dalam pentadbiran kerajaan. Usaha ini boleh mengelakkan berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah dari kalangan pemimpin-pemimpin negara. Ia juga bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dalam keadaan baik, bersih dan telus.

Selama ini pemimpin negara sering menjadi bahan cemuhan masyarakat sama ada di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa kerana mempunyai reputasi yang tidak baik. Ada kalangan pemimpin negara yang berstatus menteri mempunyai aset dan harta yang mencecah puluhan juta ringgit. Ada di antara pemimpin negara yang dilaporkan memiliki rumah di dalam dan di luar negara yang bernilai berjuta ringgit, jauh daripada pendapatan mereka. Selainnya, ada yang mempunyai perhiasan mewah, kenderaan-kenderaan mewah, syarikat-syarikat atau kepentingan dalam syarikat, saham serta pelbagai aset yang amat tinggi nilainya. Sehingga ada pemimpin negara yang dipalitkan dengan pelbagai kes rasuah serta penyelewengan kuasa dan dihadapkan ke mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman.



PAS WP juga mengesyorkan supaya aset pemimpin negara dan pasangannya diisytiharkan juga kepada umum supaya masyarakat boleh akses dan melihat dengan sendiri maklumat tersebut. Ia bagi memberi kepercayaan kepada masyarakat bahawa menteri kabinet benar-benar telus dan bersih dari sebarang skandal yang mengaibkan mereka. Lebih dari itu, rakyat meyakini bahawa SPRM benar-benar berusaha memastikan pemimpin-pemimpin negara bersih dari sebarang penyelewengan dan tiada maklumat mengenai aset pemimpin negara yang diselindungkan daripada pengetahuan masyarakat.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan 

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.