Monday 30 January 2012

Tingkatkan kawalan keselamatan, elak kes curi bertambah

KENYATAAN MEDIA 
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

TINGKATKAN KAWALAN KESELAMATAN, ELAK KES CURI KERETA BERTAMBAH
(30 Januari 2012) 

PAS Wilayah Persekutuan melahirkan kebimbangan dengan kejadian curi kereta di negara ini dengan laporan terkini yang menyatakan sebanyak 150 buah kenderaan dicuri setiap hari. Dalam laporan tersebut juga dinyatakan bahawa terdapat 112,503 buah kereta berjaya dicuri sejak 2010 manakala kira-kira 55,041 kes pada September 2011 dan kebanyakan kenderaan baru yang dicuri seperti paduan empat roda dieksport ke negara Timur Tengah. 

Kes ini menggambarkan kepada masyarakat bahawa negara Malaysia bukan sebuah negara yang selamat untuk pemilik kenderaan terutama kereta import atau mewah. Bagi pelancong, negara ini bukan suatu destinasi selamat kerana risiko kenderaan yang mudah dicuri selain dari kadar peningkatan jenayah yang lain. Tambah membimbangkan lagi adalah penduduk kawasan sekitar Kuala Lumpur yang rata-rata penduduknya memiliki kenderaan sendiri. Kawasan padat dan trafik sesak seperti Kuala Lumpur mungkin menjadi ‘syurga’ buat penjenayah curi kereta menyebabkan pemilik kereta merasa amat khuatir mengenai tahap keselamatan kenderaan mereka. 

PAS WP meminta supaya kerajaan mengambil langkah segera dalam memastikan kejadian curi kereta dapat diatasi. Dalam hal ini, PAS WP meminta pasukan keselamatan mengetatkan kawalan keselamatan mereka terutama di kawasan kediaman penduduk di sekitar Kuala Lumpur. Kekhuatiran ini dirasai lebih lagi oleh penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana kenderaan mereka diletakkan di tempat awam yang risiko kecuriannya amat tinggi. Dalam keadaan tiada pengawal keselamatan, dan tiada pemantauan ketat, tiada jaminan kereta yang mereka letakkan di kawasan perumahan mereka tidak dicuri.

Selain itu, kompleks membeli belah, kawasan pejabat, serta kawasan parkir kereta awam adalah kawasan berpotensi besar kejadian curi kereta berlaku. Seharusnya di setiap kawasan terbabit mempunyai pengawal keselamatan atau kamera litar tertutup (CCTV) supaya setiap penghuninya merasa selamat dan terkawal. Mana-mana kawasan gelap perlu diterangi supaya boleh dilihat oleh orang ramai. Kawasan-kawasan ‘hitam’ pula perlu dibuat pemantauan ketat dengan kekerapan rondaan dilakukan. Setiap kenderaan keluar masuk di kawasan terbabit bersama pemandunya dikenalpasti supaya kejadian curi kereta tidak berlaku . 

Akhirnya, PAS WP benar-benar berharap kejadian curi kereta di negara ini dapati diatasi dengan pelbagai kaedah dan kawalan keselamatan yang dipertingkatkan. Apa yang paling dirisaukan adalah timbulnya persepsi yang negatif dari kalangan masyarakat terhadap keselamatan mereka dan harta mereka di negara ini yang semakin terdedah dengan pelbagai bahaya jenayah.

Disediakan oleh; 

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.