Wednesday 21 November 2012

Calon Pas Wilayah setuju, sedia isytihar harta

Ahmad Zamri
Calon PAS Wilayah Persekutuan akan isytihar harta, Umno bagaimana?

Oleh: AHMAD ZAMRI ASA’AD KHUZAIMI (Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan)

PAS Wilayah Persekutuan menyokong penuh gesaan Dewan Pemuda PAS Malaysia supaya semua calon PAS yang bertanding dalam PRU ke 13 dapat mengisytiharkan harta. PAS WP menganggap cadangan tersebut amat baik bagi memastikan ketelusan dan prinsip akauntabiliti dapat diterjemahkan oleh semua calon PAS dalam PRU ke 13. 

PAS WP melihat pemimpin parti politik perlu menjadi contoh kepada rakyat dengan mendahului amalan ini tanpa ragu. Dalam hal ini, PAS telah terkehadapan dalam membuktikan komitmen untuk memerangi korupsi dan rasuah. PAS tidak bersembang kosong atau berjanji retorik sebaliknya membuktikan dengan kata-kata dan tindakan secara serius. 

Apa yang membanggakan lagi adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia sendiri tampil ke hadapan dengan mengisytiharkan hartanya di hadapan perwakilan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia dan rakyat sekaliannya. Di sisi PAS, tidak ada apa yang perlu diselindungkan kerana PAS sememangnya mahu semua calonnya berkhidmat untuk rakyat sepenuh masa tanpa ada apa-apa kepentingan peribadi yang lain. PAS WP percaya rakyat juga mengharapkan wakil rakyat mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan kehidupan mereka, bukan mengambil kesempatan di atas jawatan yang mereka miliki. 

PAS WP juga bersetuju pengisytiharan harta dapat diluaskan ke semua penjawat awam supaya amalan rasuah, pecah amanah serta penyalahgunaan wang dapat dihapuskan. Tindakan mengiystiharkan harta dapat membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugas mereka menjalankan siasatan sekiranya ada dakwaan rasuah. Tidak timbul di kemudian hari ada pegawai kerajaan yang berbelanja di luar kemampuan atau memiliki harta yang jauh dari pendapatan mereka. 

Justeru, PAS WP akan menyambut saranan ini dengan memastikan semua calon PAS yang bertanding di parlimen di Wilayah Persekutuan akan mengisytiharkan harta secara terbuka sebelum proses penamaan calon berlangsung. PAS WP juga mencabar supaya semua calon UMNO-BN khususnya di Wilayah Persekutuan dapat melakukan langkah serupa dengan mengsiytiharkan harta masing-masing sebelum PRU ke 13. 


.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.