Tuesday 20 November 2012

Zamri ketuai peguam PAS bantu mangsa saman AES

KUALA LUMPUR, 21 Nov - PAS telah melancarkan Kaunter Penerimaan Saman AES di lobi Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut berkuatkuasa hari ini. Pelancaran ini adalah seperti yang telah diumumkan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar sebelum ini yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE).  

Wakil dari JUHAM berucap dalam majlis Pelancaran Kaunter Penerimaan Saman AES. Turut hadir Ahmad Zamri (paling kiri) dan YB Mohd Taufek (paling kanan).

Tuan Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) DPPM merangkap Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa telah memberi taklimat berkenaan saman AES dari sudut undang-undang kepada mangsa penganiayaan kerajaan Umno yang hadir pada pelancaran kaunter tengahari tadi.

Turut hadir ialah YB Mohd Taufek, ADUN Paroi yang juga Ahli Jawatankuasa KASE. 

Ahmad Zamri memaklumkan bahawa untuk fasa pertama, pihak JUHAM akan membuka dua kaunter iaitu di Ipoh yang akan diurus oleh JUHAM Perak dan juga di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut oleh JUHAM Wilayah Persekutuan dan Pusat pada setiap Sabtu mulai 1 Disember, jam 12 tengahari hingga 1 petang.


Tuan Ahmad Zamri sedang menyampaikan taklimat berkenaan Saman AES.



Mangsa penganiayaan rejim Umno datang untuk mendengar taklimat dan membuat pengaduan berkenaan saman AES.


Sebelum ini, dalam satu kenyataan media, JUHAM telah mengumumkan untuk memfailkan semakan kehakiman ke atas pelaksanaan Saman AES yang telah dilancarkan oleh rejim Umno.

PERLAKSANAAN AES: JUHAM AKAN FAIL SEMAKAN KEHAKIMAN 

Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) telah menjalinkan kerjasama bersama Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) untuk membela pihak orang kena saman (OKS) bagi kes Saman AES. 

Satu perjumpaan telah diadakan pada 7/11/2012 di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut oleh pihak jawatankuasa KASE bersama wakil Peguam-peguam JUHAM dari seluruh Malaysia untuk memberikan penerangan kepada wakil-wakil Peguam yang hadir untuk disebarkan kepada negeri masing-masing di mana kedua-dua pihak turut telah berdialog bagi mencapai persetujuan tindakan bersama dalam menangani Saman AES ini. 

Melalui mesyuarat bersama Jawatankuasa KASE yang turut dihadiri dan dipengerusikan oleh YB Dato’ Hj. Mahfuz Omar pada 8/11/2012, 3 resolusi telah dicapai seperti berikut: 

1) KASE bersama barisan Peguam dari JUHAM akan membuka Kaunter Aduan Rakyat untuk 2 minggu sekali bermula dari 21 November 2012 ini di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut. Semua penerima Saman AES dijemput hadir pada waktu tersebut untuk mendapatkan nasihat serta khidmat guaman secara percuma sekiranya OKS memilih untuk ke Mahkamah 

2) Peguam dari JUHAM akan mewakili orang kena saman (OKS) di Mahkamah di mana para Peguam akan memohon mitigasi untuk mengurangkan kadar denda sekiranya OKS memilih untuk mengaku bersalah serta akan mewakili OKS secara percuma sepanjang tempoh perbicaraan sekiranya OKS memilih untuk tidak mengaku bersalah dan pohon dibicarakan. 

3) JUHAM turut akan memfailkan Semakan Kehakiman untuk mencabar kutipan saman yang dikongsi pihak kerajaan dengan syarikat swasta yang mengendalikan serta memasang sistem AES ini. Dalam semakan kehakiman ini, JUHAM akan mencabar sama ada perkara ini dibenarkan di sisi undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan. 

NOORAZMIR BIN ZAKARIA 
Ketua Unit Media / Penerangan
Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia
Dewan Pemuda PAS Malaysia

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.