Wednesday 28 November 2012

Zamri: Kaunter saman AES dibuka di PKWR Titiwangsa mulai 3 Dis

Pas Wilayah buka kaunter serahan saman AES

Oleh: AHAMD ZAMRI ASA’AD KHUZAIMI (Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan & Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia)

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) dengan kerjasama Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Wilayah Persekutuan akan menggerakkan usaha memberikan maklumat yang betul kepada masyarakat mengenai pelbagai kepincangan yang timbul dalam pelaksanaan sistem Automated Enforcement System (AES). Bagi PAS WP, rakyat perlu mengetahui maklumat sebenar mengenai AES serta rahsia sebalik pelaksanaan AES yang amat meragukan banyak pihak. 

PAS WP sependapat dengan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang menentang pelaksanaan AES kerana merasakan pelaksanaan AES dibuat secara terburu-buru. Dalam keadaan rakyat tidak tahu secara tiba-tiba AES pula diperkenalkan dan ramai pula pemandu yang menjadi mangsanya. Soalnya, mengapa saman menjadi satu-satunya solusi dalam menyelesaikan isu kemalangan dan keselamatan di jalan raya. Apakah kerajaan sudah membuat kajian sceara mendalam kesan pelaksanaan AES dan benarkah ia adalah pendidikan terbaik bagi mengajar pemandu di jalan raya? 

Apa yang memusykilkan, daripada apa yang diketahui, dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd & ATES Sdn Bhd yang menjalankan projek AES ini akan mendapat RM 16 bagi setiap saman yang dibayar oleh pesalah. Dalam hal ini, mengapa pula kedua syarikat ini boleh mendapat komisyen yang tinggi bagi setiap saman yang dibayar oleh pesalah, dan apakah istimewanya syarikat ini sehingga boleh dapat begitu mudah duit daripada saman trafik? 


PAS WP juga menyambut usaha KASE dan JUHAM mengadakan perkhidmatan aduan saman khusus untuk membantu mangsa saman AES. Dalam hal ini PAS WP akan memastikan para peguam di WP turun membantu mangsa saman AES mendapatkan khidmat nasihat secara percuma. Malah, peguam daripada JUHAM di WP bersedia untuk mewakili mangsa saman AES dalam perbicaraan di mahkamah tanpa apa-apa kos guaman. 

Justeru, Bagi mereka yang mendapat notis saman di mahkamah sama ada di Kuala Lumpur mahupun di Putrajaya, PAS WP bersedia membantu mereka dengan membuka kaunter khidmat serahan AES yang bertempat di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) di Parlimen Titiwangsa, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Kaunter tersebut akan dibuka bermula 3 Disember 2012 dan beroperasi pada hari Isnin- Rabu mulai jam 10 pagi – 1 tengahari sahaja. JUHAM juga akan membuka kaunter serahan saman AES di Pejabat Agung PAS mulai Sabtu 1 Disember 2012 dari jam 12 tengahari – 1 tengahari. 


.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.