Monday 19 November 2012

Saf kepemimpinan PAS siap sedia menuju Putrajaya

Muktamar ke-58: PAS di Landasan Terbaik Pimpin Negara
 
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
(Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan)

PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan syabas dan tahniah kepada PAS Pusat di atas penganjuran Muktamar Tahunan PAS Pusat ke 58 yang berakhir semalam. PAS tanpa ragu dan gentar tetap mengadakan Muktamar menurut jadual yang telah ditetapkan disebalik desas-desus pilihanraya umum ke 13 yang semakin hampir. 

PAS WP merasa bangga dengan komitmen setiap perwakilan serta pimpinan dalam perbahasan mereka yang menyatakan kesediaan menghadapi pilihanraya umum ke 13 ke tahap paling maksima. Daripada ucapan dasar Presiden, perbahasan ucapan dasar, sehinggalah kepada usul Muktamar menunjukkan bahawa PAS bukan setakat bersedia menghadapi Pru ke 13, malah dilihat mampu mengemudi negara jika diberikan mandat oleh rakyat kelak. Muktamar PAS ke 58 ini juga memperlihatkan kewibawaan serta keterbukaan pemimpin PAS menerima kritikan secara terbuka oleh semua pihak. Selain itu, Muktamar ini juga berjaya menyatukan ukhuwwah ahli-ahli dan pimpinan PAS segenap peringkat. 

Pimpinan utama Parti Islam Se-Malaysia siap sedia memimpin parti menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

PAS WP juga menyanjung tinggi sikap merendah diri Presiden PAS yang menolak kerusi Perdana Menteri sekalipun dicadang oleh perwakilan. Presiden PAS mengajar semua pihak supaya dalam keadaan sekarang yang paling penting adalah bekerja keras bagi memenangi pilihanraya umum ke 13. Soal siapa akan menjadi Perdana Menteri akan diputuskan jika PR memenangi Putrajaya kelak. Presiden PAS sendiri sanggup untuk tidak dicalonkan sebagai PM jika pemimpin PR tidak memilih beliau. 

Seharusnya sikap sebeginilah yang perlu ada kepada setiap pemimpin supaya bersabar dan tidak tamak mengejar jawatan. Elok benar juga jika Perdana Menteri serta seluruh pemimpin UMNO belajar sikap zuhud, sabar, ikhlas dan tawaddhu’ seperti yang ditunjukkan oleh Presiden PAS. Jika sifat sedemikian mampu ditonjolkan oleh pemimpin UMNO-BN dalam memerintah negara ini, sudah tentu negara ini akan aman dari amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, cah keting, sabotaj calon atau parti, lompat parti serta sikap diktator. Pemimpin negara perlu memahami bahawa jawatan Perdana Menteri adalah suatu amanah yang berat yang pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, dikejar atau suatu peluang untuk mencari kemewahan hidup. 

Lebih 40,000 penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu dalam program Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dianjurkan sempena Muktamar PAS Ke-58.

Akhirnya, PAS WP merasa yakin rakyat kini sudah bersedia menyerahkan mandat kepimpinan negara kepada Pakatan Rakyat. Melihat kepada sambutan rakyat khususnya dari kelompok pegawai tinggi kerajaan, golongan selebriti, artis, karyawan, sehinggalah kepada pemimpin politik dan NGO, rakyat meletakkan harapan dan sandaran baru kepada PAS dan PR untuk memimpin negara dalam landskap baru politik negara ini, Insyaallah.


.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.