Monday 1 April 2013

Belangsungkawa buat sahabat seperjuangan Titiwangsa, Almarhum Hafiz Harun

Oleh: AHMAD ZAMRI ASA’AD KHUZAIMI (Penyelaras Parlimen Titiwangsa) 

BELASUNGKAWA BUAT SAHABAT SEPERJUANGAN, ALMARHUM HAFIZ HARUN

Warga kerja Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Titiwangsa merasa terkejut dan pilu dengan berita kembalinya sdr Mohd Hafiz Harun ke rahmatullah pada hari Jumaat yang lepas. 

Tiada kata-kata dapat dilafazkan membaca berita mengenai tragedi lemasnya beliau di Pantai Chendering bersama anak kesayangannya serta abangnya. 

Berita kembalinya almarhum ke rahmatullah cepat tersebar melalui media rangkaian sosial dan merebak ke seluruh negara. Jentera Pilihan raya PAS Kawasan Titiwangsa yang bermesyuarat pada malam tersebut juga terkejut lalu segera menghadiahkan surah Al Fatihah kepada beliau, anak serta abangnya. 

Almarhum Hafiz adalah insan yang kami kenali di pejabat PKWR sejak awal amlarhumah Dr Lo Lo menang di Parlimen Titiwangsa. Beliau hadir memberikan khidmat sebagai pegawai khas selepas 2009 dan sempat berkhidmat beberapa bulan lamanya. 

Dengan perwatakan beliau yang sederhana serta senang didekati, amat mudah almarhumah YB Dr Lo Lo memberikan kepercayaan kepadanya. 

Apatah lagi pengalaman beliau yang luas dalam jamaah PAS di Terengganu serta menjadi anak kepada pimpinan PAS Terengganu (Ustaz Harun Jusoh), beliau senang mendapat tempat di sisi kami. 

Beliau adalah sosok pendiam, namun peramah. Dengan berlatar belakangkan tarbiyah yang tinggi, beliau memiliki ciri-ciri pemuda yang mampu memikul amanah. Berilah apa juga yang dipertanggungjawabkan, insyaallah beliau tunaikan dan itulah yang beliau telah buktikan di PKWR. 

Saya menjangkakan beliaulah pemimpin masa depan khususnya buat PAS di Terengganu buat beberapa tahun akan datang. 

Kemahiran dan kelebihan beliau yang paling tinggi adalah pada aspek keselamatan, dan itu juga adalah kegemaran beliau. Beliau lebih memilih menjadi petugas keselamatan berbanding berceramah, pendamping pimpinan serta pembantu sekiranya ada tugasan khas yang diperlukan. 

Selain itu, beliau kaya dengan idea mendekati pengundi khususnya golongan muda. Pelbagai pandangan dicurahkan meresapi pemikiran serta gerak kerja kami. Hasilnya, PKWR menjadi lebih mesra pengunjung. 

Malah PKWR menjadi organisasi penghubung masyarakat dengan PAS, di mana kami sering turun padang bertemu dengan masyarakat, membuka kaunter bergerak, petugas mengikut jadual serta banyak mempromosikan PKWR di khalayak. Sebahagian tindakan tersebut adalah cetusan idea dari almarhum Hafiz. 

Sejak beliau pulang ke Terengganu, kami hilang informasi mengenai beliau. Saya hanya mendengar berita beliau hadir ke Kuala Lumpur sekali-sekala dalam masa beberapa bulan. Kali terakhir saya bertemu dengan beliau adalah pada Hari Terbuka PAS Pusat di Kelab Sultan Sulaiman beberapa bulan yang lepas. 

Beliau membantu PAS Terengganu menyiapkan nasi dagang untuk hidangan pengunjung hari terbuka tersebut, yang dianggap paling ramai dalam sejarah penganjuran Hari terbuka PAS Pusat. Kami sempat berbual, bersembang sambil berjenaka sebelum berpapasan pulang menguruskan kehidupan diri lewat petang tersebut. 

Hari ini saya dikejutkan dengan pemergian almarhum ke rahmatullah dalam suatu tragedi yang tidak disangka-sangka. Begitu awal beliau dijemput oleh kekasihNya, tanda beliau adalah insan terpilih. 

Pilu mengenangkan hilangnya sebutir lagi mutiara pejuang Islam di negara ini yang mewakafkan hidupnya untuk perjuangan Islam. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, anak dan abangnya sebagai insan soleh jua. Alfatihah..

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.