Thursday 24 January 2013

Dr. Raja Iskandar desak Najib iktiraf Hamas, putuskan hubungan dengan Israel

Oleh: DR RAJA ISKANDAR AL HISS (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak segera mengiktiraf HAMAS sebagai sebuah organisasi Islam serta kerajaan Palestin yang sah di bumi Palestin. Dalam kunjungan Najib ke bumi Gaza semalam, beliau bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Haniyeh yang mewakili kerajaan HAMAS. 

Kunjungan PM seharusnya diterjemahkan dengan hubungan akrab antara Malaysia dengan kerajaan HAMAS. HAMAS perlu dikeluarkan dari rekod sebagai kumpulan pengganas antarabangsa dan Malaysia perlu membersihkan nama HAMAS di pentas dunia. DPPM juga kesal kerana sehingga sekarang kerajaan gagal mengiktiraf HAMAS sebagai sebuah kerajaan yang sah mewakili rakyat negara itu. 

Selain itu, DPPM meminta kerajaan supaya membuka kedutaan Palestin di Kuala Lumpur yang diwakili oleh HAMAS sebagai entiti rasmi kerajaan negara itu. Tambahan lagi wakil HAMAS perlu dijemput dalam setiap program rasmi melibatkan kerajaan luar yang dianjurkan di negara ini. 

Umat Islam di negara ini mengharapkan peranan lebih besar disalurkan kepada bumi berdarah Palestin serta Syria daripada sekadar kunjungan PM. Kerajaan Malaysia mempunyai kapasiti untuk bertindak sebagaimana yang dilakukan oleh negara Turki dan Mesir yang lantang memberi amaran keras kepada Israel. Malaysia sepatutnya menjadi contoh kepada negara serantau yang bertindak tegas termasuk memboikot Israel dan negara sekutu dengannya. 

Selain itu, PM perlu bertindak tegas dengan menghentikan sebarang hubungan dengan Israel sama ada secara langsung atau tidak langsung. Antaranya PM perlu menamatkan segera kontrak dengan syarikat yang ada kepentingan dengan Israel, APCO sebagai perunding imej PM. Jangan ada sikap talam dua muka antara Malaysia dengan HAMAS, di depan nampak akrab dan menangisi umat Islam Gaza, tetapi dibelakang menjalin hubungan intim pula dengan musuh umat Islam Palestin, iaitu Israel. 


.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.