Sunday 13 January 2013

Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulama PAS berkenaan isu kalimah Allah



Majlis Syura: Semua boleh guna tetapi tidak boleh terjemah nama Allah 

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah namun Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini.

Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

 "Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.

"Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah," kata kenyataan rasmi Majlis Syura Ulamak yang bermesyuarat malam tadi.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Dr Haron Din. Berikut adalah kenyataan penuh Majlis Syura Ulamak.

Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulamak 

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut: 

1) Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan. 

2) Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini. 

3) Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah. 

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah. 

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS. 

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3. 

Ditandatangan oleh:

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat 
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia 

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din 
 Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia 

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.