Wednesday, 1 February 2012

PAS WP Ucap Selamat Menyambut Hari Wilayah.

KENYATAAN MEDIA 
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN 

SELAMAT MENYAMBUT HARI WILAYAH PERSEKUTUAN 
(1 Februari 2012) 

PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2012. 

Selayaknya warga Wilayah Persekutuan menyambut hari kebesaran mereka pada hari ini bagi meraikan usaha mereka bekerja keras membanting tulang dalam membangunkan Wilayah Persekutuan. Sebagai sebuah negeri dan menjadi ibu negara Malaysia pula, Wilayah Persekutuan tentunya menjadi perhatian dan tumpuan negara. Kepesatan negara hari ini ditentukan juga dengan kepesatan pembangunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kuala Lumpur sejak penubuhannya telah menjadi denyut nadi kepesatan dan pembangunan negara. 

Sumbangan warga Wilayah Persekutuan dalam memastikan kepesatan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia wajar dimartabat selayaknya. Pengorbanan dan sumbangan mereka menyumbang keringat, masa dan tenaga sehingga berjaya menjadikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepenting dan setaraf dengan bandaraya utama di dunia ini perlu diakui. Tanpa mereka sudah tentu Kuala Lumpur akan menjadi lesu, sepi dan tidak membangun seperti hari ini. 

Sempena hari WP, PAS WP meminta kerajaan membantu rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah sama ada pekerja di sektor kerajaan mahupun swasta. Umum mengetahui dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat, kesannya amat dirasai warga kota dan sukar bagi warga kota untuk terus hidup di ibu kota tanpa ada sokongan ‘luar’ bagi membantu meringankan hidup mereka. Kerajaan perlu memikirkan insentif khusus kepada mereka yang menetap di Kuala Lumpur seperti eluan khas yang tujuannya membantu meringkan beban mereka. Meskipun segelintir pekerja telah menikmati kemudahan ini, namun ramai juga yang tidak mendapat apa-apa bantuan terutama mereka yang bekerja sendiri ataupun bekerja di sektor swasta. 

Meskipun dengan kepesatan pembangunan, Wilayah Persekutuan masih memiliki kampung-kampung tradisi yang dihuni oleh penduduk asal ataupun peneroka awal yang berhijrah ke Kuala Lumpur. Lebih dari itu, kebanyakan penghuni kampung-kampung warisan adalah orang Melayu. Apa yang dikesalkan adalah penduduk kampung-kampung di sekitar Kuala Lumpur semakin terancam dengan pengusiran oleh pemaju-pemaju di atas nama pembangunan. Semakin banyak kampung yang dilenyapkan dalam peta bandaraya Kuala Lumpur, dan hanya tinggal nama dalam lipatan sejarah. Kampung Baru adalah tanda aras kepada permasalahan yang dihadapi oleh penduduk asal yang terpaksa menyerahkan nasib mereka ditentukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan pemaju tertentu. Tidak mustahil kampung lain seperti Kampung Padang Balang akan menyusul mengikut jejak Kampung Baru.

PAS WP benar-benar berharap kerajaan memelihara kampung-kampung warisan sekitar Wilayah Persekutuan bagi menjaga keaslian dan kepentingan penduduk asal. Istilah ‘mencemarkan kota’ tidak wujud sekiranya kampung-kampung ini dipelihara dengan baik sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara Barat. Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mesti menjamin tiada lagi usaha mengambil alih kampung-kampung, sebaliknya mesti menjaga hak dan kepentingan penduduk dengan memastikan keselamatan dan pemeliharaan kampung terbabit. 

Selain daripada itu, isu perumahan di bandaraya Kuala Lumpur merupakan isu besar yang perlu difikir dan ditangani secara serius oleh kerajaan. Rakyat sukar membeli rumah di sekitar bandaraya memandangkan kosnya amat tinggi berbanding dengan kawasan di luar bandaraya Kuala Lumpur. Kesannya, segelintir penduduk yang tidak mampu memiliki rumah terpaksa menetap di perumahan setinggan yang akhirnya mereka juga diusir kerana dianggap menetap di kawasan ‘haram’. Kampung Semarak, Kampung Berembang, Kampung Chubadak, Kampung Kerinchi, Indian Settelement di Kampung Pandan adalah mangsa kerakusan pembangunan ‘mapan’ kerajaan. Mereka akhirnya terpaksa memikirkan nasib dan masa depan mereka sendiri tanpa pembelaan yang sewajarnya. 

PAS WP mengharapkan kerajaan berusaha memberikan kemudahan terbaik kepada semua penduduk di Wilayah Persekutuan. Rakyat berhak dibantu untuk mendapatkan rumah-rumah di dalam atau kawasan sekitar Wilayah Persekutuan denga harga yang berpatutan. Selain dari Projek Perumahan Rakyat (PPR), rumah-rumah teres di taman perumahan juga perlu diusahakan dengan kawalan harga supaya rakyat berpendapatan sederhana dan rendah mampu memiliki rumah. 

PAS WP juga menggesa supaya kerajaan memastikan kejadian jenayah di Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur dapat diatasi. Dengan kadar jenayah di Wilayah Persekutuan semakin meningkat, ia menjadi suatu kerisauan kepada semua penduduknya. Ini menandakan Wilayah Persekutuan terutama Kuala Lumpur bukanlah destinasi yang selamat untuk dikunjungi. Kes-kes seperti penyalahgunaan dadah, bunuh, berzina, rogol, ragut, rempit, samun, rompak, curi kereta semakin menjadi-jadi dan pastinya ia amat membimbangkan semua pihak. 

Untuk itu, kerajaan perlu membanteras gejala sosial secara menyeluruh. PAS WP kesal kerana pusat-pusat hiburan, kelab malam, konsert-konsert, kedai judi dan menjual arak dibuka secara berleluasa tanpa pemantauan dan kawalan ketat. Gejala pelacuran dengan rumah-rumah urut beroperasi secara besar-besaran juga seakan menjadi lumrah di banyak tempat. PAS WP percaya antara usaha bagi mengurangkan jenayah adalah dengan mengawal pusat-pusat hiburan serta membanteras gejala sosial. 

Akhirnya, PAS WP mendoakan semoga warga Wilayah Persekutuan mendapat kesejahteraan, kemakmuran, keamanan dan hidup dalam masyarakat yang serba bertoleransi dan saling hormat menghormati. 

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan 
PAS Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.