Thursday, 2 February 2012

Tergamak ada yang sanggup meletak kepala babi di masjid

KENYATAAN MEDIA
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN 
 
TERGAMAK ADA YANG SANGGUP MELETAK KEPALA BABI DI MASJID 
(2 Februari 2012) 

PAS Wilayah Persekutuan mengutuk tindakan pihak tertentu yang meletakkan kepala babi di Masjid Hidayah, Sentul semalam. Ia mengulangi episod setelah sebuah masjid di Rawang beberapa hari lepas menerima nasib yang sama apabila ada individu tidak bertanggungjawab melemparkan kepala babi di masjid tersebut. Pastinya tindakan ini bukan suatu kebetulan, melainkan perancangan licik dan jahat oleh mereka yang berhati syaitan. 

Bagi PAS WP, tindakan sedemikian merupakan suatu tindakan keterlaluan dan di luar batasan kemanusiaan. Meletakkan kepala babi di masjid seperti menghina rumah Allah dan agama Islam. Tindakan ini tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya ia akan mengundang kemurkaan Allah. 

Pelaku tindakan ini berniat jahat dengan menjadikan objek kepala babi sebagai bahan jenakanya bagi meruntun hati umat Islam. Orang ini seperti mahu mencetuskan sentimen ‘api perkauman’ atau keagamaan. PAS WP mengesyaki motif tindakan ini adalah untuk menghina dan mengguris hati umat Islam supaya umat Islam bangkit dan seterusnya akan menyebabkan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini tergugat. 

PAS WP bimbang sekiranya tindakan ini adalah suatu usaha berterusan bagi mencemarkan institusi penting umat Islam ini. Selepas ini, masjid mana pula akan menjadi mangsa dengan ‘serangan’ kepala babi seperti ini? Justeru itu, PAS WP meminta pihak polis mengambil tindakan segera dengan menyiasat petualang di sebalik kejadian-kejadian ini. Mereka yang terlibat perlu diambil tindakan tegas dan dihadapkan ke muka pengadilan. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pula diminta segera bertindak bagi memastikan keselamatan masjid-masjid di Wilayah Persekutuan terpelihara bagi mengelak kejadian sama berulang. 

Akhirnya, PAS WP bertegas bahawa tindakan ini adalah salah dan berdosa besar kerana ia mencemarkan rumah Allah SWT dan menghina agama Islam. Sekiranya individu yang melakukan perbuatan terkutuk tersebut adalah orang Islam, PAS WP meminta individu tersebut insaf dan bertaubat dengan segera. Tindakan ini bukan budaya masyarakat bertamadun di negara ini dan bukan ajaran Islam, dan rakyat sesekali tidak mengizinkan tindakan ini berlarutan. Jangan sampai umat Islam sendiri menangkap dan menghukum mereka yang terlibat dengan insiden ini! 

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ 
Ketua Penerangan 
PAS Wilayah Persekutuan PAS Wilayah Persekutuan 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.