KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
AYUH AHLI DAN PEMIMPIN UMNO TURUN BERDEMO ESOK!
(9 Februari 2012)
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak seluruh pemimpin dan ahli UMNO serta NGO-NGO di bawahnya seperti Perkasa dan Pekida untuk turut serta bersama PAS serta NGO-NGO Islam yang lain dalam himpunan aman membantah kekejaman kerajaan Syria pimpinan Bashar Al Assad yang telah menyiksa dan membunuh ribuan rakyat mereka pada hari Jumaat, 10 Februari 2012 di hadapan kedutaan Syria.
DPPM berpandangan, isu kezaliman tentera Syria ke atas rakyatnya sendiri merupakan isu sejagat dan wajib atas umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan bantahan. Malah, mendiamkan diri dengan menyaksikan ribuan umat Islam di sana diseksa, dipenjara dan dibunuh merupakan suatu dosa besar disisi Islam.
DPPM melihat kezaliman tentera Basyar Al Assad sudah sampai ke kemuncaknya. Umat Islam tidak tertahan melihat ribuan umat Islam yang tidak bersenjata dibunuh dengan ditembak atau dibom sesuka hati. Dalam hal ini, pemimpin UMNO yang memegang kuasa di negara ini tidak wajar hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa bantahan. Sekiranya benar pemimpin UMNO memperjuangkan aqidah ummat, kezaliman Basyar Al Assad tidak harus hanya dipandang sebelah mata atau ‘menutup mata’ dengan berpura-pura tidak mengetahui isu sebenar. Sepatutnya Perdana Menteri lebih dahulu bangkit bersuara lantang di peringkat antarabangsa bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan. PM juga seharusnya berbincang dengan negara-negara OIC agar melakukan tindakan tertentu demi menyelamatkan umat Islam di Syria daripada terus menjadi mangsa pembunuhan.
DPPM bersama seluruh NGO Islam yang lain bertegas demonstrasi pada hari esok adalah suatu manifestasi umat Islam dari seluruh pelusuk dunia demi tidak mahu menyaksikan lebih banyak darah umat Islam tumpah di bumi Syria. Ayuh penuhkan ruang di Jalan Ampang dan Jalan U thant dengan kehadiran ribuan umat Islam di Malaysia ini. Umat Islam Malaysia bersamamu wahai rakyat Syria!
Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment