KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN TITIWANGSA
MEMBUKA KEANGGOTAAN M.A.S SUATU LANGKAH POSITIF
(19 Januari 2012)
Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) menyambut baik usaha Menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk melakukan penambahbaikan terhadap Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Kampung Baru bagi menjaga kepentingan penduduk tersebut. Antara usaha beliau seperti yang diumumkannya adalah dengan membuka keanggotaan MAS kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional supaya ia lebih berkesan dalam memastikan kepentingan pemilik tanah dapat dipertahan.
DPPKT menganggap keputusan Menteri Besar Selangor itu amat baik dan berpetapatan pada masanya. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat amat prihatin terhadap nasib rakyatnya yang jauh mendahului kerajaan UMNO-BN. Menteri Besar Selangor membuktikan bahawa Kampung Baru tidak tertinggal dalam agenda pembangunan negeri Selangor malah ianya masih menjadi perhatian utama negeri tersebut sehingga beliau sendiri turun menjenguk dan berdialog dengan rakyat semalam.
Keanggotaan MAS dibuka kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional amat baik supaya peranan MAS benar-benar dapat digerakkan oleh mereka yang berkelayakan serta berniat untuk menjaga kepentingan penduduk. MAS perlu memainkan peranan yang penting selaku organisasi perantara antara pihak kerajaan dengan suara penduduk. MAS perlu menyampaikan suara penduduk kepada pihak kerajaan disamping sebagai pemudah cara antara pihak berkuasa dengan penduduk.
Selain itu, keberadaan MAS sebagai badan pendesak bagi memastikan kepentingan penduduk terpelihara. DPPKT tidak mahu tragedi Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang diluluskan di Parlimen dan Dewan Negara tempohari dengan mudah tanpa campurtangan dan bantahan oleh MAS.
DPPKT mengharapkan, meskipun keanggotaan ini dibuka kepada pelbagai kelompok masyarakat dan profesional, ianya dikawal dan dihadkan hanya kepada pemilik serta pewaris Kampung Baru sahaja dan bukan untuk mereka yang lain selain dari warga itu. Ahli Jawatankuasa MAS pula dipilih dari suara majoriti pemilik tanah Kampung Baru tanpa adanya campurtangan dari mana-mana pihak. DPPKT menaruh harapan agar Mas benar-benar bebas daripada campurtangan pihak luar supaya tiada ‘tangan hitam’ yang menggerakkan organisasi tersebut.
Disediakan oleh;
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa
.
No comments:
Post a Comment