PAS Kawasan Titiwangsa berjaya menganjurkan sumbangan kepada masyarakat Tionghua sempena Sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Majlis ini diadakan pada 14 Januari 2012, Sabtu bertempat di Dewan Orang Ramai, Projek Perumahan Rakyat, Desa Rejang, Setapak.
Majlis bermula pada jam 8.00 malam dengan ucapan perasmian oleh Ustaz Nur Raihan Abdul Aziz, Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Titiwangsa. Seramai 150 orang penerima sumbangan dari kalangan masyarakat Tionghua Desa Rejang hadir bagi memeriahkan majlis ini.
Hadirin kaum Tionghua yang hadir ke program |
Ustaz Raihan dalam ucapan perasmian menekankan persoalan kesamaan hidup masyarakat di Malaysia antara setiap kaum. Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan bangsa, perasaan hormat menghormati perlu disemai supaya semua pihak dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Beliau juga menambah bahawa budaya masyarakat hari ini menolak semangat perkauman sempit yang cuba ditiupkan oleh sesetengah pihak. Baginya, usaha ini merupakan suatu usaha yang sia-sia memandangkan masyarakat di negara ini memahami dan bertoleransi antara semua kaum. Justeru, setiap kaum berhak merayakan hari-hari kebesaran kaum dan bangsa mereka.
Majlis itu diakhiri dengan serahan sumbangan kepada semua penerima yang hadir dan disampaikan oleh Ustaz Nur Raihan Abdul Aziz. Setiap penerima menerima sumbangan berupa beras 5 kilogram, ang pau, kad raya, serta beberapa biji buah limau. Selain itu, 50 kanak-kanak Tionghua turut menerima sumbangan angpau di majlis tersebut.
PAS Titiwangsa mengharapkan majlis sumbangan ini mampu memberikan keceriaan kepada warga Tionghua khususnya dari PPR Desa Rejang dalam merayakan Sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 23 Januari 2012.
Rentetan dari itu, PAS Titiwangsa akan turut mengedarkan sumbangan buah limau dan kad raya Cina kepada warga Tionghua di kawasan Taman Maluri pada 21 Januari 2012 bermula jam 9.00 pagi. Untuk edaran ini, PAS Titiwangsa telah menyiapkan 10,000 biji limau serta kad raya untuk diedarkan kepada masyarakat Tionghua. Majlis ini menandakan keprihatinan PAS Titiwangsa terhadap semua kaum di kawasan ini dan semoga kaum Tionghua dapat merayakan Sambutan Tahun Baru dengan penuh kemeriahan.
.
No comments:
Post a Comment