KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN TITIWANGSA
‘GERAM’: PLATFORM ANAK MUDA MELAKUKAN PERUBAHAN
(26 Januari 2012)
Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) akan melancarkan Gerakan Anak Muda (GERAM) Kuala Lumpur bagi menerajui kebangkitan anak-anak muda khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan. Majlis Pelancaran GERAM akan diadakan pada 28 Januari 2012, bermula jam 8.0 malam bertempat di Darul Ummah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan akan disempurnakan oleh Sdr Kamaruzaman Mohamad, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Dijangka seramai 150 anak-anak muda sekitar Kuala Lumpur akan hadir pada majlis tersebut.
Sesuai dengan namanya, GERAM adalah platform bagi anak muda melepaskan amarah dan amukan mereka melihat segala kebobrokan dan keabsahan yang berlaku dalam negara ini. Anak Muda pastinya GERAM melihat telatah pemimpin negara yang meratah harta rakyat demi kepentingan diri mereka sendiri. Isu penyelewengan wang zakat, penyelewengan kuasa dalam isu skandal Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC), kelulusan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang mengenepikan hak penduduk, rampasan tanah-tanah orang Melayu di Kuala Lumpur, Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Akta Pekerja dan lain-lain adalah episod kemarahan anak muda terhadap pemerintah.
Selain itu, kadar pengangguran yang meningkat, kos sara hidup yang bertambah serta kadar jenayah terutama di ibu kota yang bertambah semakin menaikkan suhu kemarahan anak-anak muda. Anak Muda merasa GERAM kerana selama berpuluh tahun negara merdeka, dan dengan limpahan kekayaan harta negara, kehidupan rakyat di ibu kota masih tidak berubah. Masih ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan, gagal memiliki rumah sendiri, keselamatan mereka dan keluarga sentiasa terancam, serta pendapatan yang jauh dari kemampuan sebenar mereka. Kebanyakan anak muda merasa hampa kerana pemerintah yang mereka letakkan harapan untuk membela mereka gagal membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat yang semakin terbelenggu dengan faktor kemiskinan bandar.
GERAM adalah landasan terbaik mengumpulkan anak-anak muda bagi menyatakan noktah terakhir kepada UMNO-BN dalam PRU ke 13. Bermula dari titik itu, GERAM akan terus meluncur laju sesuai dengan kehendak anak-anak muda. Taqwim aktiviti disajikan sebagai menarik anak-anak muda menyertai GERAM. Antaranya Hi Tea Anak-anak Muda PPR Jelatek bersama artis terkenal serta Pimpinan PAS Pusat pada 19 Februari 2012, Santai Anak Muda dan BBQ di Desa Pandan pada 24 Februari 2012, ‘Lunch Hour’ Anak Muda Alam Shah pada 25 Februari 2012 di kawasan sekitar Masjid Alam Shah, Konvoi dan Rehlah Anak Muda Kampung Baru di Sungai Sendat pada 4 Mac 2012, serta Pertandingan Futsal Inter Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Titiwangsa pada 25 Mac 2012. Kemuncak daripada ini adalah Program Talk Show yang akan menampilkan Ustaz Azhar Idrus bersama artis terkenal tanahair yang akan diumumkan tarikhnya kelak.
GERAM bertekad mahu membina sebuah lanskap baru politik Malaysia yang bersih dan bebas dari penyelewengan dan mengangkat pemimpin yang cakna kebajikan rakyat terutama anak-anak muda. Anak Muda wajib berubah, demi selamatkan Malaysia!
Disediakan oleh;
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa
.
No comments:
Post a Comment