Wednesday, 18 January 2012

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

SISTEM PILIHANRAYA DI MALAYSIA PERLU REFORMASI MENYELURUH
(18 Januari 2012)


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kenyataan Tan Sri Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir bahawa Barisan Nasional (BN) membeli undi dengan wang tunai dalam kempen pilihanraya umum dengan taktik yang dikenali sebagai ‘bom’ bagi memenangkan mereka dalam pilihanraya.

Bagi DPPM, dakwaan ini amat berat kerana melibatkan penyelewengan kuasa dan rasuah yang melibatkan UMNO dan Barisan Nasional. Tambahan pula dakwaan ini dilontarkan oleh bekas Menteri Kabinet dan merupakan bekas pemimpin UMNO. Pengakuan beliau berdasarkan kepada pengalaman beliau semasa menjadi anggota Kabinet dan beliau mendakwa melihat sendiri aktiviti pembelian undi dilakukan.

Dakwaan Tan Sri Datuk Abdul Kadir membenarkan telahan ramai bahawa selama ini BN sememangnya menggunakan wang tunai untuk membeli undi setiap kali pilihanraya. Oleh kerana itu, tidak salahlah keraguan yang timbul dalam fikiran rakyat terhadap perjalanan pilihanraya di negara ini yang berlangsung dalam suasana tidak sihat selama ini.

Justeru, DPPM mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat termasuk pemimpin tertinggi yang mengarahkan operasi ini dilakukan. SPRM perlu menyiasat dan membongkar penyelewengan ini supaya rakyat mengetahui bahawa siapa yang mengikut arus demokrasi yang tulen dan siapa pula yang berbohong kepada rakyat melalui pilihanraya. Rakyat juga ingin mengetahui sejak bilakah aktiviti ini dilakukan dan berapakah jumlah dana yang diperuntukkan oleh UMNO-BN bagi aktiviti haram ini.

Dengan demikian, DPPM merasakan sewajarnya juga himpunan Bersih 3 digerakkan sekiranya semua tuntutan Bersih 2 termasuk syor dan cadangan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen (PSC) tidak dilaksanakan. Hanya dengan reformasi menyeluruh akan memastikan perjalanan pilihanraya di negara ini berlangsung dengan bersih, adil dan telus. DPPM melihat tidak ada gunanya penyertaan Pakatan Rakyat dalam setiap kali pilihanraya sekiranya reformasi tidak dilakukan kerana ia sekadar mengulangi episod penipuan seperti yang berlaku sebelum ini. Akhirnya, DPPM juga percaya tidak ada sesiapa pun rakyat di negara ini rela dengan sistem pilihanraya yang kotor, busuk dan jahat seperti yang ada sekarang ini.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.