Monday, 12 November 2012

5 contoh kes bukti Umno sanggup jadi munafik demi kepentingan politik

Umno dan putar belit kenyataan pemimpin lawannya memang tidak boleh dipisahkan. Semuanya bertujuan untuk membodohkan rakyat, dengan harapan jika rakyat menjadi bodoh mereka akan mengundi Umno dan BN dalam Pilihanraya Umum ke-13. 

Umno akan menggunakan apa sahaja media yang dikuasai olehnya untuk menggambarkan kepada umum bahawa pemimpin Pakatan Rakyat bermasalah dan hanya pemimpin Umno sajalah yang mulia dan suci daripada korupsi. Tidak hairan Utusan Malaysia sudah beberapa kali disaman dan terpaksa membayar saman setelah diputuskan bersalah oleh mahkamah. Yang terbaru ialah kes YB Dato Seri Nizar dalam isu nombor plat WWW1. 

Berikut adalah 5 kes contoh bagaimana Umno cuba mencipta gelombang kebencian terhadap Pakatan Rakyat dengan cara memutar belit, dan mengulas sesuatu isu tanpa berfikir panjang, asalkan rakyat terus bodoh dan akan mengundi mereka dalam pilihanraya. 


Kes 1: Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Kerajaan Perpaduan 


Semasa timbul isu Kerajaan Perpaduan, antara orang yang tegas mempertahankan hubungan Pakatan Rakyat ialah TGNA. Beliau bertegas untuk menolak kerjasama dengan Umno atas sebab-sebab tertentu. 

Melihat TGNA sebagai tonggak utama keutuhan Pakatan Rakyat, pemimpin Umno dan cybertrooper Umno mula menyerang tubuh TGNA untuk menjatuhkan kredibiliti beliau. Antara isu yang dibangkitkan ialah isu kesihatan, isu tajaan Haji sebanyak RM65,000 sehingga TGNA membatalkan hasratnya untuk menunaikan haji, isu perlantikan menantu beliau, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), dan isu-isu lain. Umno juga beria melaga-lagakan dua orang pemimpin utama PAS iaitu TGNA dan Tuan Guru Haji Hadi.

Setelah disiasat, langsung tiada sabit kesalahan ke atas TGNA. Sebaliknya pemimpin Umno hanya berkokok siang malam agar rakyat melihat TGNA adalah liabiliti kepada Pakatan Rakyat. Dengan itu, Pakatan Rakyat akan menjadi lemah dan Umno kononnya akan semakin kukuh.


Kes 2: Mat Sabu dan isu Mat Indera 


Gempar satu Negara apabila Mat Sabu membangkitkan isu Mat Indera adalah pejuang Negara sebenar walaupun beliau menyertai komunis. Pemimpin Umno tidak tidur siang dan malam kerana sibuk membodohkan rakyat dengan cara memutar belitkan kenyataan Mat Sabu dalam satu ceramah. Media Utusan Malaysia dan TV3 bagai orang gila, setiap malam menghasut rakyat agar membenci Mat Sabu. 

Demi menutup malu Umno, seorang Profesor (kankung?) versi Umno telah mengeluarkan kenyataan yang melucukan bahawa Negara Malaysia tidak pernah dijajah. 

Anak-anak muda yang dahagakan kebenaran dengan pantas menganjurkan pelbagai wacana bagi mendedahkan pelbagai sumber sejarah Negara yang telah digelapkan. Rupa-rupanya gelombang kesedaran Sejarah yang dicipta oleh Mat Sabu telah membuatkan Umno menggelejat. Akhirnya Umno sendiri yang meredakan isu ini kerana dilihat akan memakan diri sendiri dan tembelang sejarah Umno dan hubungannya dengan British akan diketahui oleh generasi muda. 


Kes 3: Nizar dan kontroversi WWW1 


Hanya beberapa patah ayat di twitter tanpa maksud menghina pun, kenyataan Dato’ Seri Nizar terus diputar belit dan diberi persepsi buruk. Pemimpin Umno mengulas seperti orang tiada akal, mengaitkan apa sahaja isu luar asalkan rakyat menjadi bodoh. 

Media TV3 dan Utusan juga seperti biasa. Mengambil perspektif jahat dalam ulasan beritanya. Akhirnya Utusan disaman dan Dato’ Seri Nizar menang dalam perbincaraan. Umno sendiri yang meredakan isu ini. Kerana mereka tahu, apabila mereka memainkan isu istana, sejarah kebiadapan Umno dengan institusi kesultanan akan dibongkar semula untuk tatapan generasi baru. 


Kes 4 : Ahli Parlimen Serdang masuk ke surau


Baca berita yang dikeluarkan oleh Utusan di bawah. Utusan menggunakan perkataan ‘tazkirah’, seolah-olah wakil rakyat bukan Islam itu menyampaikan pesanan-pesanan agama di dalam surau. Sengaja Utusan menghasut pembaca agar menafsirkan secara negatif perbuatan Ahli Parlimen Serdang ini dengan pemilihan perkataan yang berniat jahat.

KOTA BHARU 28 Ogos — Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas. 

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam. 

"Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini. 

Beliau diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit. 

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut. —Bernama (Sumber)

Apabila wakil rakyat Pakatan Rakyat yang bukan beragama Islam masuk ke surau, seolah-olah dunia hendak kiamat. Pelbagai fatwa haram dan sesat dijatuhkan agar rakyat membenci Pakatan Rakyat. Antara alasannya ialah tidak memakai tudung dan tidak bersih. 

Walhal, Rosmah Mansur isteri Najib yang beragama Islam pun masuk ke masjid tanpa memakai tudung. Hadirin pun tidak pakai tudung! 


Apabila isunya melibatkan Umno, ustaz-ustaz dan lebai Umno akan menjadi bisu, buta dan tuli. Dan secara automatik, ianya tidak menjadi isu. 


Kes 5: Kenyataan Nurul Izzah berkenaan isu murtad 

 

Terbaru, isu kenyataan Nurul Izzah dalam suatu forum. Berikut merupakan penjelasan lanjut dan pendirian yang dikeluarkan oleh beliau.
Saya ucapkan terima kasih di atas pertanyaan lanjutan yang diterima setelah saya menghadiri satu forum bertajuk “Islamic State: Which version? Whose responsibility?” sebagai seorang panelis. 

Sewaktu sesi soal jawab, salah satu soalan ditanya kepada saya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu. Jawapan saya menegaskan ungkapan – “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….” – daripada ayat suci Al Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia. 

Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Saya kesal kerana ada percubaan memutarbelitkan kenyataan saya seolah-olah saya meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad. 

Saya cenderung mendukung program pendididkan dan daawah untuk memperkukuh aqidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam. 

Saya berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama. 

Nurul Izzah Anwar 
KENYATAAN MEDIA 
6 November 2012 

Sudah dibuat penjelasan, mengapakah pemimpin Umno dan medianya masih gila meroyan, mengheret Jais dan pelbagai pihak seolah-olah Nurul Izzah sudah jatuh sesat dan kufur? Seolah-olah kenyataannya akan mempengaruhi seluruh umat Islam agar murtad sedangkan Umno mempunyai Jakim, Ikim, Menteri Agama, dan sebagainya? 

Beginilah cara Umno membodohkan rakyat agar rakyat membenci Pakatan Rakyat dan mengundi mereka. Demi kepentingan politik, Umno mampu akan menjadi munafik. Apa sahaja isu yang melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat akan diputar belit, meskipun perilaku dan korupsi yang dilakukan oleh pemimpin Umno dan BN jauh lebih mengaibkan dan mengheret Malaysia menjadi negara yang hina. Umpamanya seorang pemimpin MCA yang mengaku terlibat dalam skandal seks dan videonya tersebar, masih boleh diangkat menjadi pemimpin dan dijulang oleh Umno sebagai sekutu rapatnya. 

Malang sekali, Umno tidak sedar rakyat lebih cerdik dan hanya melihat aksi pemimpin Umno dari jauh sambil bergelak ketawa. 


Sambungan akan datang: 6 kaedah bagaimana Umno membodohkan rakyat dalam sesuatu isu.


.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.