AES: Kaunter Kase diserbu orang ramai
Salmiyah Harun , 21 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kaunter saman AES yang baru dilancarkan hari ini oleh Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dengan Kerjasama Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS Pusat, diserbu orang ramai.
Hampir 100 orang kena saman (OKS) hadir sambil membawa salinan surat saman untuk diserahkan kepada Kase dan Juham.
Kaunter yang dibuka di lobi Pejabat Agung PAS akan beroperasi dua minggu sekali bermula 1 Disember ini, dari jam 12.00 hingga 1.00 tengah hari.
Orang ramai juga diberi taklimat prosiding asas oleh wakil Juham iaitu bagaimana mereka berhadapan dengan proses mahkamah nanti.
Dalam pertemuan itu, OKS berkesempatan mengajukan soalan-soalan kepada wakil Juham berhubung saman AES.
Presiden Kase Datuk Mahfuz Omar yang turut merasmikan kaunter saman AES berkata, sehingga hari ini seramai 200 OKS mendaftar melalui emel ditambah pula sambutan pada hari ini amat menggalakkan.
"Hari ini, yang datang dari pelbagai bangsa Cina, Melayu dan India. Malah ada juga yang datang termasuk pemandu kereta kerajaan dan kakitangan kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, pendakwaan kes yang pertama berhubung saman AES akan disebut di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 6 Disember ini.
Menurut Pengarah Juham Zamri Asa'ad Khuzami, mereka akan mengiringi OKS tersebut dan akan memohon pada mahkamah untuk cabar AES di Mahkamah Tinggi.
Katanya, orang ramai tidak perlu takut untuk cabar di mahkamah sebagaimana ia ditawarkan dalam surat saman.
"Tuan-tuan jangan takut sebab saman trafik adalah kesalahan yang kecil. Pesalah tidak duduk dalam kandang. Sebab itu ia dibawa dalam mahkamah Majistret," katanya.
Melalui inisiatif membuka kaunter, jelas Peguam Juham Dr Zulqarnain Lukman sebagai usaha untuk mengajar orang ramai supaya jangan takut dengan mahkamah.
"Kita kena tahu implikasi apabila kita melalui proses mahkamah, sama ada mengambil masa tiga atau empat kali ulang alik ke mahkamah, mungkin akan ambil masa yang banyak, tapi kita kena sedia menempuhnya.
"Apabila sampai ke mahkamah daftar dahulu, kemudian polis yang bertugas akan 'frame'kan caj kita, pertuduhan akan dibaca kepada kita. Tuan-tuan akan diberi pilihan, pilihlah tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan. Ini tidak perlu jamin sebab ini kes kecil sahaja. Bila tetap tarikh jadi pendakwaan bermula.
"Kalau pendakwaraya tidak bersedia, kes ditangguh. Jikalau tertangguh sebanyak 3 kali biasanya mahkamah akan buang kes. Apa yang kita tahu pendakwaan nampaknya masih kabur kerana tidak tahu SOP mana yang perlu digunakan," terang beliau kepada OKS.
Kase menyediakan lebih 100 peguam untuk membantu orang ramai yang menjadi mangsa sistem pemantauan trafik itu.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari Facebook Kase atau emel kempenantisamanekor@gmail.com
.
No comments:
Post a Comment