Tuesday 11 December 2012

SPR jadi parti komponen Barisan Nasional?

Oleh : MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ (Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan)

SPR : Elakkan Memegang Jawatan Politik Ketika Berkhidmat

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) meminta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) benar-benar menjadi sebuah badan yang bebas dari sebarang kecenderungan terhadap mana-mana parti politik di negara ini. Ini berikutan pendedahan Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu mengenai Timbalan Pengerusi SPR Sabah, Aksyah Nasrah adalah merupakan Ketua Penerangan UMNO Kinabatangan, Sabah. 

Dalam hal ini, PAS WP sependapat dengan gesaan Lahirul supaya Aksyah Nasrah melepaskan jawatan beliau di dalam Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai Timbalan Pengarah SPR Sabah atau meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kinabatangan. Ini bagi mengelakkan tanggapan buruk masyarakat bahawa beliau bersikap berat sebelah dalam mengendalikan pilihanraya umum ke 13 di negeri itu. 

Sebagai sebuah badan yang mengendalikan pilihanraya di negara ini, SPR sepatutnya menjaga integriti dan kredibilit badan tersebut supaya mereka benar-benar diyakini. Ini termasuklah tindakan SPR, ucapan mereka, keterlibatan secara langsung pemimpin SPR dalam parti politik dengan memegang apa juga jawatan serta keputusan-keputusan yang dilihat memihak pada satu-satu parti politik. 

Meskipun Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi SPR menjelaskan bahawa tidak salah mana-mana pegawai SPR menyertai mana-mana parti politik kerana ia adalah hak demokrasi, namun bagi PAS WP Pegawai SPR hanya boleh menyertai parti politik sahaja, dan bukan memegang apa-apa jawatan dalam parti politik tersebut. Keterlibatan pegawai SPR dengan memegang jawatan dalam parti politik akan menyebabkan mereka terperangkap dalam ‘conflict of interest’ yang dikhuatiri boleh menjejaskan kredibiliti SPR sendiri. Walaupun tiada bukti pegawai terbabit berpihak kepada UMNO, namun persepsi rakyat sudah mengesahkan bahawa pegawai tersebut akan berusaha bagi memenangkan parti beliau dalam pilihanraya umum ke 13. 


Justeru, PAS WP menasihatkan SPR supaya menyaring dahulu mana-mana pegawai terutama yang berpangkat tinggi di jabatan tersebut agar mereka tidak memegang jawatan di dalam parti politik. Mereka bebas menganggotai atau menyokong parti politik, namun tidak perlu menjelaskan sokongan mereka. Mereka juga berhak memegang apa juga jawatan dalam parti politik, namun setelah mereka tamat perkhidmatan kelak. Tunjukkan profesionalisme dan ketelusan SPR terhadap semua parti politik, serta mereka sanggup mengadili sebuah pilihanraya umum ke 13 dengan sebaik mungkin tanpa sebarang kontroversi. 


.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PERINGATAN: Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di dalam blog ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT). DPPKT tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.